Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berpanjangan sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Banyak punca berlakunya kemurungan dalam diri seseorang. Menurut Portal Kementerian Kesihatan Malaysia antaranya disebabkan oleh perubahan kimia dalam otak iaitu berlaku ketidakseimbangan kimia (Neurotransmitter Serotonin dan Neropinephine). Ada juga yang mewarisi kemurungan daripada generasi keluarganya terdahulu atau persekitaran hasil daripada peristiwa hidup seperti kegagalan, kematian, atau bencana yang melanda dan kekurangan sokongan keluarga dan sosial.
Kemurungan turut boleh terjadi apabila seseorang mempunyai penyakit-penyakit lain seperti gangguan fungsi thyroid hypothyroidism atau penyakit kronik lain. Kemurungan juga secara psikologinya berpunca daripada gaya dan corak pemikiran seseorang yang melibatkan bagaimana persepsi seseorang kepada diri sendiri, kehidupan dan dunia keseluruhannya. Pakar psikologi dan perubatan mencadangkan banyak langkah pencegahan dan pembetulan yang perlu diambil secara proaktif dalam membendung kemurungan daripada menjadi kronik, Antaranya
PUNCA PENYAKIT – Ketahui penyakit kita dengan cara berjumpa dengan pakar psikiatri atau doktor dan mendapatkan konsultasi daripada mereka.
UBAT-UBATAN – Makan ubat-ubatan dan rawatan susulan andai dinasihatkan sebegitu oleh pakar perubatan.
BERFIKIR SECARA POSITIF – Amalkan cara berfikir yang positif dan tenang dan menguruskan konflik-konflik yang boleh memekarkan tekanan dan kemurungan.
GAYA HIDUP – yang sihat perlu menjadi amalan dengan cara bersukan, berekreasi atau melakukan aktiviti fizikal yang boleh membuat kita rasa gembira, dapat bersosial dengan keluarga dan rakan-rakan, dan memenuhi hobi atau aktiviti kegemaran kita.
Begitu pun, Islam memberikan panduan yang berbeza dalam pemerihalan usaha mengatasi masalah kemurungan. Manusia secara fitrahnya dipengaruhi oleh unsur dalaman yang terdiri daripada perasaan, jiwa dan nafsu.
Sekiranya unsur-unsur tersebut mengalami gangguan, maka ia seterusnya akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatannya. Penyembuhan kemurungan dan masalah mental cara islam adalah secara kerohanian.
ZIKIR – Alternatif terbaik untuk merawat penyakit-penyakit mental ini dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran, mendirikan solat, bacaan zikir, doa-doa lazim dan khusus, bermunajat dan melakukan amar maa’ruf sebagaimana yang digariskan oleh syariat Islam.
SOLAT – Allah SWT akan membantu dan melindungi kita sebagai hamba-Nya mengatasi sebarang permasalahan termasuk masalah mental dan kemurungan dengan syarat kita berusaha dan berdoa dengan penuh
kesabaran dan tidak sesekali culas melaksanakan solat.
BERWUDUK & SELAWAT – Untuk terapi jiwa gunakan pendekatan Islam amalan membaca al-Quran, berwudhu’, dan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW sebagai satu bentuk usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
MENJAGA KESIHATAN – Islam menggalakkan kita meyeimbangkan juga usaha membendung penyakit mental ini secara fisiologi atau lahiriah. Antaranya ialah menjaga kesihatan diri melalui pemakanan seimbang dan mengikut sunnah dan aktiviti fizikal dan riadah secara tekal.
KOMUNIKASI YANG BAIK – Islam juga menyarankan melalui panduan Sunnah Rasulullah SAW yang sangat banyak dalam hal pembentukan silaturrahim dan hubungan sosial yang baik dalam masyarakat. ‘Kera sumbang’ adalah terma dan petunjuk kepada kecenderungan penyakit mental di mana kurangnya asimilasi, komunikasi, dan perkongsian aspirasi bersama pihak lain secara kolektif.
KELUARGA – Hubungan yang erat antara ahli keluarga dan masyarakat sekeliling berupaya merangsang pemikiran, emosi dan perasaan yang lebih seimbang, bersemangat dan bermotivasi dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Saranan Islam yang dinamakan ‘hidup berjemaah’ yang sangat cocok dalam merungkai kehebatan penyakit sosial seperti kemurungan dan tekanan perasaan. Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan perasaan dan kemurungan, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.
Doa adalah senjata orang mukmin. Doa dapat memberikan kekuatan pada orang yang lemah, membuat orang tidak percaya menjadi kuat keyakinannya dan memberikan keberanian pada orang yang ketakutan.
Berikut adalah himpunan doa penenang hati dari Al-Quran dan hadis yang boleh diamalkan.
Doa 1
اَللّٰهُمَّ اِنِّىْ اَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِالْبَلَاءِ وَدَرْكِ الشَّقَاءِ وَسُوْءِ الْقَضَاءِ و شَمَاتَةِ الْاَعْدَاءِ
(Allahumma inni a’uuzubika min jahdil bala’. Wa darkish shaqa’. Wa suu il qadhaa’. Wa shamaamatil a’daa’.)
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari menemui penderitaan, dari takdir yang buruk & dari keberhasilan musuh
– Sahih Bukhari
Doa 2
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْث
(Yaa hayyu yaa qayyuumm. Bi rahmatika astaghiiths.)
Maksudnya: Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat-Mu aku meminta pertolongan.
– Hadis Riwayat Tirmidzi
Doa 3
اللهُمَّ لا سَهْلَ إلا مَا جَعَلتَهُ سَهْلا وَ أنتَ تَجْعَلُ الحزْنَ إذا شِئْتَ سَهْلا
(Allahumma la sahla illa ma ja’altahu sahla wa anta taj’alul hazna iza syi’ta sahla)
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah dan perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah apabila Engkau mengkehendakinya.”
– Sahih Ibnu Hibban
Doa 4
اَللَّهُمَّ اِنِّى اَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ
وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ
وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ
Doa 5
لا إلهَ إلا أنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظّالِمِيْنَ
(Laa ilaaha illa anta subhaanaka inni kuntu minaz zholimin.)
Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari pada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.
– Surah Al-Anbiya’ Ayat 87
Doa 6
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي
(Rabbish rahli sadri. Wayassirli amri. Wahlul uqdatam millisani. Yafqahu qauli)
Maksudnya: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku urusanku, dan lancarkanlah lidahku supaya mereka faham ucapanku.
– Surah Taha Ayat 25-28
Doa 7
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
(Hasbunallah wanikmal wakil)
Maksudnya: Cukuplah Allah sebagai Pelindung kami
– Surah Al-Imran Ayat 173
SUMBER : USIM