Selain anak perempuan Fauzi Nawawi, Didie Alias atau Norman Hakim yang menjadi viral kerana cantik dan berpelajaran, seorang lagi anak selebriti juga yang turut mencuri tumpuan. Hijabi muda Nyssa Ghazali yang merupakan anak perempuan kepada Saida Tarudin yang juga kakak kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza. Sekali dilihat Nyssa Ghazali seperti ibu dan kakak dengan ibunya yang juga bekas peserta Akademi Fantasia. Ternyata Nyssa mewarisi kecantikan dan kejelitaan ibunya yang juga kelihatan awet muda biarpun usianya sudah mencecah 42 tahun.
Dalam satu temu bual bersama Nona, Nyssa tidak menganggap dirinya cantik tetapi bersyukur kerana mewarisi kecantikan ibunya. Malah dia turut menganggap ibunya yang bukan sahaja cantik luaran tetapi juga dalaman.
Tambah gadis ini, ibunya dianggap seperti seorang superwomen, seorang tegas tetapi ibu yang sangat penyayang.
“Saya sebenarnya obsess dengan kecantikan dan fesyen kerana sejak kecil saya sering melihat Mak Iti (Datuk Seri Siti Nurhaliza) bersolek sebelum membuat persembahan. Dari situ saya mula minat dengan solekan. Kemudian saya belajar sendiri teknik solekan di laman sesawang YouTube.
“Saya juga suka pinjam muka ibu untuk praktis dan jadi bahan eksperimen. Dan sekarang saya kerap menyolek ibu dan Mak Erah (Siti Saerah) untuk ke majlis-majlis yang dihadiri,” jelas Nyssa yang turut berkongsi petua awet muda dan kecantikan diamalkan ibunya.
“Salah satu amalan yang dipesan oleh ibu adalah sentiasa murah dengan senuman ikhlas. Barulah kecantikan dalaman terserlah sekaligus menampakkan seseorang itu awet muda. Lagi satu kekalkan sikap positif dalam diri kita.
“Itu satu-satunya yang ibu pesan dan selebihnya bergantung diri sendiri. Saya juga aktif di media sosial dan sangat suka bidang kecantikan dan fesyen.
“Ibu pula tidak kisah saya jana pendapatan melalui medium sosial ini,” tambahnya yang turut menjadikan ibunya sebagai sahabat baik dan boleh berkongsi segala suka mahupun duka bersama.
SUMBER: NONA
KREDIT FOTO: INSTAGRAM NYSSA GHAZALI