Aktres yang dikenali menerusi filem Tentang Bulan, Fatin Afeefa atau nama penuhnya Nur Afifah Shamsudin mendedahkan dia pernah menghadapi fasa kemurungan sejurus pulang dari umrah baru-baru ini kerana kesemua pakaian yang dimilikinya seksi dan tidak menutup aurat.
Menurut Fatin Afeefa, suaminya Aliff Awang atau Opai begitu memahami dan banyak membantu dirinya mengatasi masalah tersebut.
Niatnya untuk berhijrah adalah kerana mahu menjadi seorang yang lebih baik berbanding sebelumnya!
Kemurungan Sampai Enggan Jumpa Sesiapa
“Masa pertama kali saya balik umrah, saya kemurungan sampai taknak jumpa siapa-siapa. Sebab semua baju yang saya ada semua seksi sampai rasa tak mahu keluar.
“Tapi suami saya cakap, tak apa lah jom kita shopping online. Jadi dia memberi galakkan dan sokongan hingga membuatkan saya rasa tersentuh,” katanya.
Tambahnya lagi, dia kini sedang berjinak-jinak untuk mengenakan hijab dan menutup aurat meskipun belum sepenuhnya.
“Kita mencuba sebenarnya, saya tak akan kata yang saya dah berhijab sepenuhnya. Tapi saya akui saya sedang cuba untuk menjadi seorang yang lebih baik luar dan dalam.
“Jadi, kita cuba perlahan-lahan lah. Tak berani nak cakap sebab iman sesorang turun naik. Sebab tu saya tak berani nak cakap yang saya dah sepenuhnya berhijab. Lagi pun nak gapai istiqamah itu tak mudah.
“Jadi bila saya dah keluarkan kenyataan yang saya dah berhijrah kerana perkara ini atau perkara itu. Orang dah expect yang saya kena jadi ustazah terus dan saya tak suka macam tu.
“Jadi saya nak penghijrahan saya ini adalah kerana nak menjadi individu yang lebih baik,” ujarnya.
Nyatakan Hasrat Mahu Berhijab Kepada Suami
Ketika disoal apakah reaksi pertama suami, ketika dia mengutarakan hasrat murninya untuk mengenakan hijab. Ini respon yang diberikan Opai kepada Fatin Afeefa.
“Suami saya sangat-sangat gembira bila tahu saya nak pakai tudung. Dia orang yang paling bahagia sekali. Sebab dia tak pernah paksa saya atau cakap “eh pakailah tudung, tak sayang laki ke.”
“Tapi dia sangat menyokong la. Masa saya cuba pakai tudung tu, suami cakap “baby nak beli jubah ke? Belilah..” jelasnya.
Perkara berkenaan dimaklumkan sendiri oleh Fatin ketika ditemubual oleh Media Hiburan, sewaktu menghadiri majlis resepsi perkahwinan rakan baiknya, Intan Najuwa pada 18 Ogos lalu.
Fatin Afeefa merupakan antara gadis dulang yang membawa hantaran bagi hari persejarah buat Intan Najuwa yang akhirnya membina mahligai cinta bersama jejaka pilihan hatinya, Datuk Ahmad Asraf.
Sumber: Instagram Fatin Afeefa & Media Hiburan