Syada Amzah bukanlah asing dalam industri seni tanahair. Adik kepada penyanyi terkenal Shila Amzah ini pernah menyertai program realiti nyanyian Big Stage musim kedua.
Sebelum ini, Syada atau nama penuhnya Nursyuhada Amir Amzah banyak menghasilkan cover lagu-lagu popular di saluran YouTube miliknya.
Bukan hanya lagu-lagu berbahasa Melayu dan Inggeris, Syada juga boleh menyanyikan lagu dalam bahasa Arab, Thailand dan Tamil.
Wah memang berbakat besar, sama seperti kakaknya Shila Amzah.
Namun, baru-baru ini nama Syada Amzah tiba-tiba trending
di media sosial gara-gara isu keluarganya yang menjadi perbualan hangat dan sasaran kecaman netizen.Enggan melayan segala kecaman yang boleh mematahkan semangat, Syada tetap menghargai dan membalas setiap komen netizen.
Pada 14 Januari lalu genaplah usia anak bongsu daripada empat adik beradik ini yang ke-26 tahun.
Syada berkongsi momen manis sambutan ulangtahun kelahirannya menerusi hantaran di Insragram peribadinya.
Memetik perkongsian Syada, ibunya Fauziah Sarman telah membuat ‘kejutan’ dengan membawanya ke sebuah majlis usrah.
Tanpa diduga, namanya disebut oleh ustaz dalam doa yang dibacakan ketika itu.
“Ceritanya ibu ajak pergi Usrah… tengah doa doa, ustaz doakan nama saya, ya Allah syukur.”
Syada turut menzahirkan ucapan terima kasih buat mereka yang mendoakannya serta mengharapkan rezeki dan jodohnya dipermudahkan.
“Terima kasih atas doa doa yang baik, semoga kita semua dapat imbangkan dunia dan akhirat bersama sama.
“Semoga juga, jalan hidup ku mencari rezeki dan jodohku dipermudahkan untuk aku dan orang yang aku sayang. Aamiin Ya Allah Ya Mujib.”
Terserlah keceriaan pada wajah Syada yang kini popular dengan lagu Hasrat tatkala insan-insan tersayang berada di sisi meraikan ulangtahun kelahirannya kali ini.
Syada meluahkan kesyukuran atas peluang yang diberikan Allah SWT untuk terus bernafas dan menambah pahala ibadah serta kebaikan.
Semoga Syada terus bersemangat, positif dan melalui kehidupan yang mendatang dengan lebih matang.
Kredit Foto: Instagram Syada Amzah
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini