Cantik Dalam Rona Putih Bersih. Ini Enam Pereka Fesyen Pilihan Selebriti Malaysia Untuk Majlis Pernikahan 2021

Share

Biarpun pandemik Covid-19 melanda negara sudah hampir dua tahun lamanya, namun itu tidak menghalang majlis pernikahan dilangsungkan. Tahun ini ramai selebriti tempatan yang mendirikan masjid dan mengadakan majlis secara sederhana lantaran prosedur operasi standard yang ditetapka kerajaan.

Sebut sahaja tentang perkahwinan, rona putih tidak boleh lari dari menjadi pilihan bakal ratu sehari. Seperti enam selebriti yang Hijabista tampilkan ini, mereka semua memilih untuk mengenakan persalinan nikah rona putih. Namun masing-masing memiliki citarasa tersendiri dan semestinya bekerjasama dengan pereka fesyen pilihan bagi merealisasikan impian busana pernikahan mereka.

Bermula dengan Ayda Jebat, Neelofa, Intan Ladyana, Risteena Munim, Ernie Zakri hinggalah Elisya Sanda, siapa pula pereka fesyen yang menjadi ‘orang kuat’ dalam menjadikan selebriti-selebriti ini bak bidadari kayangan?

  1. LYNDA RAHIM (Ayda Jebat)


.


.

Penyanyi dan pelakon popular ini anggun menggayakan busana kurung moden rekaan pereka fesyen, Lynda Rahim. Baju kurung moden rona putih ini dibiarkan polos pada bahagian badan namun diserikan dengan sulaman manik dan labuci pada bahagian bahu dan tangan bagi memberikan aura mewah.

  1. ALIA BASTAMAM (Neelofa)


.


.

Wedding of the year yang menjadi bualan ramai. Penampilan Neelofa yang berniqab membuatkan ramai tertanya-tanya bagaimana agaknya rupa busana perkahwinan yang akan digayakan. Memilih untuk menggayakan busana rekaan pereka tersohor, Alia Bastamam, Neelofa anggun dalam persalinan gaun labuh berinspirasikan gaya timur tengah. Semestinya potongan busana tersebut tidak terlalu ketat sesuai dengan penampilan Neelofa yang berniqab. Busana mewah ini disertakan dengan 5000 taburan batu Swarovski dan diserikan dengan bulu pelepah. Memang cantik!

  1. HATTA DOLMAT (Intan Ladyana)


.

Intan memilih untuk menggayakan busana nikah kurung moden rekaan pereka feseyn tersohor, Hatta Dolmat. Rekaan baju kurung moden ini dibiarkan ringkas polos dan hanya dihiasi dengan hiasan renda dan juga peletakan bunga 3d pada bahagian hujung baju dan lengan. Menariknya bahagian kain baju kurung tersebut direka meleret bagi memberikan efek lebih dramatik.

  1. EZUWAN ISMAIL (Risteena Munim)


.


.

Pelakon ini memilih untuk mengenakan busana pernikahan berkonsep gaun potongan duyung rekaan Ezuwan Ismail. Menariknya persalinan ini siap dengan hiasan ala niqab jarang yang dsuntik mewah dengan batu jemeki. Mengekalkan gaya yang ringkas dan tidak terlalu sarat, Ezuwan hanya meletakkan perincian sulaman labuci dan manik di bahagian sisi busana dan juga di bahagian tangan. Menyuntik aura dramatik labuh tangan busana pernikahan ini dibiarkan berjela mencecah ke lantai.

  1. AMAZÉ (Ernie Zakri)


.

Ernie Zakri dan jenama fesyen Amazé tidak dapat dipisahkan lagi. Jenama yang dipacu dua individu iaitu Zeed Jamil dan Amar Madfie ni sudah sebati dengan setiap penampilan penyanyi genit bersuara lantang ini. Menggayakan rekaan kurung moden berpanel dan diserikan dengan perincian sulam tebuk berinspirasikan sulam tekat yang popular di negeri Perak. Rekaan baju kurung ini menyerlahkan sisi moden dalam siluet tradisi yang sangat klasik dan malar segar.

  1. TEH FIRDAUS (Elisya Sandha)


.

Antara selebriti yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Elisya Sandha memilih untuk menggayakan persalinan rekaan pereka muda berbakat, Teh Firdaus. Rekaan busana gaun pernikahan ala kurung moden ini sangat cantik ditubuh Elisya. Penggunaan fabrik renda menampakkan kemewahan busana ini yang tidak perlu ditatah sarat dengan batuan berkilau. Gandingan bersama layah panjang memberikan efek dramatik.

Cantik bukan? Mungkin pereka-pereka fesyen ini boleh menjadi pilihan anda untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Biarpun kita masih dihimpir pandemik dan majlis harus dilaksanakan dalam skala yang kecil, namun jangan biarkan suasana mengekang kebahagiaan.

Sumber gambar: Instagram

Published by
Fiezreen