Tahniah Hijabista ucapkan kepada penyanyi yang kini cantik berhijab, Zizi Kirana, yang sudah melangsungkan pernikahan sebentar tadi dan kini bergelar isteri kepada pelakon popular yang sedang meningkat naik, Yusuf Bahrin. Pasangan yang masing-masing berusia 36 dan 29 tahun ini telah selamat disatukan pada jam 10.40 pagi tadi di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Acara penikahan mereka telah disiarkan secara langsung menerusi aplikasi siaran langsung menerusi Instagram Zizi Kirana sebentar tadi. Menariknya tentang pasangan ini, bibit-bibit percintaan mereka sudah mula dihidu media dan warganet apabila Yusuf memanggil Zizi dengan panggilan sayang dalam satu hantaran video dan mereka dikatakan mula rapat setelah muncul bersama dalam rancangan All Together Now Malaysia yang diterbitkan oleh Astro.
Menerusi laporan mStar, pelantun lagu popular Eh ini telah menerima mas kahwin bernilai RM300 bersama senaskah Al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan manakala wang hantaran tidak pula didedahkan.
Dalam hantaran di Instagramnya, Zizi Kirana berkata, “Alhamdulillah Dengan Izin ALLAH , Kami Selamat Di Ijab Kabul Dengan Sekali Lafaz . Terima Kasih Untuk Doa Dari Keluarga , Sahabat Dan Kalian Semua , Semoga Allah Memberkati Kita Semua.”
BUSANA MENAWAN
Dalam sebuah majlis pernikahan pastinya busana yang digayakan menjadi perhatian. Biarpun dilangsungkan sederhana menepati prosedur standard operasi yang ditetapkan mereka tetap tampill anggun dan kacak dalam elemen tradisi.
.
Pasangan merpati dua sejoli ini tampil bagai pinang dibelah dua dalam persalinan serba hitam rekaan pereka fesyen, Shanell Harun. Zizi tampil menawan dalam rekaan busana penikahan potongan kurung Pahang rona hitam yang diserikan dengan sulaman dan perincian rona emas dan ditambahkan lagi dengan fabrik songket mewah. Yusuf pula kelihatan bak pahlawan dalam baju melayu klasik diserikan dengan samping songket sedondon dengan isterinya itu.
Wajah manis ratu sehari ini ditatarias oleh jurusolek, Datuk Alha Alfa manakala Yusuf pula ditaatrias oleh Chomel.
Semoga penyatuan dua jiwa ini kekal sehingga ke jannah. Amin.
Sumber gambar: Instagram Shanell Harun, Zizi Kirana & Alha Alfa
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bolehkah Wanita Period Baca Al-Quran & Ulang Hafazan Serta Sentuh Al-Quran
Seringkali ramai wanita tertanya-tanya sama ada bolehkah membaca ayat-ayat dalam Al-Quran ketika dalam keadaan haid. Mungkin sudah kebiasaan ada di antara kita mengamalkan bacaan potongan daripada ayat-ayat dalam Al-Quran sebagai amalan harian.
WANITA HAID MEMBACA AL-QURAN DAN MENGULANG HAFAZAN: BOLEH ATAU TIDAK BAGAIMANA PULA JIKA SAYA MENYENTUH AL-QURAN.
“Ustazah, saya sudah terbiasa membaca surah al-Fatihah sebelum tidur. Adakah boleh jika saya membaca surah tersebut ketika saya dalam keadaan haid? Bagaimana pula jika saya hanya memegang al-Quran tanpa membacanya ketika menyemak bacaan anak saya?”
JAWAPAN:
WANITA HAID MEMBACA AL-QURAN
Bagi menjawab persoalan pertama, ulama telah membahaskan kepada dua pendapat seperti berikut:
1. PENDAPAT PERTAMA: HARAM
Ini merupakan pendapat jumhur ulama berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَقْرَأْ اَلْحَائِضُ وَلَا الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Quran.” (HR al-Tirmizi)
Justeru, para ulama melarang wanita membaca al-Quran walaupun sedikit mahupun mengulang hafazannya tanpa sebarang keperluan ketika dalam keadaan haid dan berjunub kerana ingin memelihara kesucian ayat al-Quran.
2. PENDAPAT KEDUA: HARUS
Ini merupakan pendapat ulama Malikiyyah dan tokoh ulama silam seperti al-Bukhari, Ibnu Jarir al-Tabari, Ibnu al-Munzir, al-Zahiriyyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi dan pendapat Imam al-Syafie dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur.
Hal ini berdasarkan kepada hujah Imam Malik terhadap hadis Nabi Muhammad SAW:
قَوْلُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم لِلسَّيِّدَةِ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهَ عَنْهَا لَمَّا حَاضَتْ فِى حُجَّةِ الْوَدَاعِ “افْعَلِي مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي” اَلْبُخَارِي،
فَلَمْ يَمْنَعْهَا إِلَّا مِنَ الطَّوَافِ، وَلَوْ كَانَتْ تِلَاوَتُهَا لِلْقُرْآنِ مُحَرَّمَةً لِبَيِّنِهَا؛ فَإِنَّ الْحَاجَّ يَشْغَلُ وَقْتَهُ بِتِلَاوَةِ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Daripada Nabi Muhammad SAW, beliau telah berkata kepada Saidatina Aisyah r.a. tatkala Aisyah didatangi haid ketika haji wada’: “Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang yang melakukan haji selain daripada melakukan tawaf sehinggalah kamu bersuci.” (HR al-Bukhari)
Maka, di dalam hadis tersebut menyatakan bahawa tidak dilarang bagi wanita haid untuk mengerjakan haji kecuali tawaf. Sekiranya membaca al-Quran dihukumkan sebagai haram, maka sudah pastilah ianya jelas dinyatakan, sedangkan jemaah haji banyak meluangkan masanya dengan membaca al-Quran.
Golongan yang berpegang kepada pendapat ini membenarkan wanita haid atau nifas membaca al-Quran mahupun mengulang hafazan dengan beberapa syarat, iaitu:
1) MENGAJAR DAN BELAJAR AL-QURAN
Harus hukumnya bagi seorang guru mahupun pelajar menyebut ayat al-quran walaupun dalam keadaan haid atau nifas.
2) MENGULANG HAFAZAN DI DALAM HATI
Dibolehkan untuk mengulang hafazan namun di dalam hati sahaja. Walau bagaimanapun, tidak boleh menambah ayat baru bagi tujuan hafazan.
Al-Nawawi menyatakan, ia hanya boleh dibaca dalam hati sahaja tanpa menggerakkan lidah.
Ibnu Munzir, al-Syaukani dan al-San’ani pula berpandangan, jika wanita yang menghafaz al-Quran dan ingin mengulangi hafalan, maka ia diharuskan untuk membaca al-Quran bagi tujuan tersebut.
3) MERUPAKAN AMALAN HARIAN
Harus membaca ayat al-Quran yang berbentuk zikir harian dan menjadi amalan sebagai bacaan doa seperti yang terkandung dalam al-Ma’thurat dengan niat zikir pendinding dan membaca tiga Qul.
Antara contoh bacaan doa dari al-Quran:
a. Doa Nabi Nuh a.s.
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah: 128-129)
b. Doa Nabi Yunus a.s.
لَا إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku termasuk orang yang zalim.” (Surah al-Anbiya’: 87)
c. Doa Nabi Musa a.s.
رَبِ اشْرَحْ لِى صَدْرِى
وَ يَسِّرْ لِى أَمْرِى
وَ احْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِى
يَفْقَهُوا قَوْلِى
Maksudnya: “Ya Tuhanku lapangkanlah dadaku, mudahkanlah urusanku, lancarkanlah lidahku agar mereka mengerti perkataanku.” (Surah Taha: 25-28)
HUKUM WANITA HAID MEMEGANG AL-QURAN
Manakala bagi persoalan jika wanita haid menyentuh mahupun membawa al-Quran, terdapat dua keadaan:
1. HARAM
Jumhur ulama menyatakan haram bagi wanita haid menyentuh mahupun membawa al-Quran semata-mata tanpa terjemahan, sepertimana firman Allah SWT:
لَّا يَمَسُّهٗۤ إِلَّا الۡمُطَهَّرُونَ
Maksudnya: “Tidak disentuh (al-Quran) melainkan hamba-hamba yang bersih suci.” (Surah al-Waqiah: 79)
Seterusnya, terdapat hadis Nabi Muhammad SAW:
عَنْ عَبْدِ الله بن عُمَر رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا يَمَسُّ الْقُرْآنَ إِلَّا طَاهِرٌ
Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: Tidak boleh menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci.” (HR al-Daruqutni)
2. HARUS
Walau bagaimanapun, jumhur ulama menyatakan adalah dibolehkan bagi wanita haid menyentuh, membawa dan mengulangkaji sekiranya ia merupakan tafsir al-Quran kerana terdapat makna-maknanya. Ia bukanlah bermaksud hanya ayat al-Quran semata-mata.
Hal ini disebutkan di dalam kitab Syarh Mukhtasar Khalil oleh al-Kharasyi al-Maliki:
يَجُوزُ لِلْمُحْدِثِ مَسُّ التَّفْسِيرِ
Maksudnya: “Dibolehkan bagi mereka yang berhadas untuk menyentuh tafsir.”
Walau bagaimanapun, menurut mazhab Syafie, haram menyentuh dan membawa tafsir bagi wanita haid sekiranya ayat al-Quran lebih banyak daripada tafsirnya. Sepertimana yang disebutkan oleh al-Nawawi r.a. di dalam kitabnya al-Majmu’:
وَإِنْ كَانَ التَّفْسِيرُ أَكْثَرَ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَفِيهِ أَوْجُهٌ أَصَحُّهَا لَا يَحْرُمُ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِمُصْحَفٍ
Maksudnya: “Sekiranya tafsir itu lebih banyak daripada kebiasaannya, maka padanya ada beberapa pendapat dan yang paling sahih adalah tidak diharamkan (untuk menyentuh dan membawanya) kerana ia bukanlah mushaf.”
RUMUSAN:
1. Wanita haid dibolehkan membaca al-Quran dan mengulang hafazannya berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah dijelaskan.
2. Hanyalah dibenarkan menyentuh dan memegang tafsir al-Quran bagi wanita haid namun mestilah tafsirnya melebihi kandungan ayat al-Quran.
3. Sekiranya kandungan ayat al-Quran lebih banyak daripada tafsirnya maka perbuatan ini tidak dibenarkan menurut mazhab Syafie.
Wallahua’lam.
Rujukan:
1) Manhaj Fiqh al-Syafi’i oleh Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.
2) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
https://muftiwp.gov.my/…/irsy…/irsyad-fatwa-umum/2057-18
https://muftiwp.gov.my/…/861-irsyad-al-fatwa-ke-194…
3) Akhbar Kosmo oleh Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham
https://www.ukm.my/…/311_HUKUM_WANITA_HAID_MEMBACA_AL…
4) Jawapan Kemusykilan Agama
http://kemusykilan.islam.gov.my/index_jawapan.php…
Sumber kredit: Ustazah Asma’ Harun Top image: Photo by RODNAE Productions from Pexels Photo by RODNAE Productions from Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Betul Ke Wanita Keras Kepala Calon Isteri Terbaik. No 11 Akan Membuat Anda Kagum!
Wanita ini dilahirkan dengan sifat yang tersendiri. Ada yang pendiam, peramah, kasar dan ada juga yang keras kepala. Apa sahaja yang dia cakap betul dan tiada orang boleh melawan keputusannya. Malah mereka yang jenis begini sukar untuk dikawal kerana segala kemahuannya mesti dituruti.
Jom semak sifat sebenar wanita jenis keras kepala ini dan mereka ini sebenarnya adalah calon terbaik untuk dijadikan seorang isteri
1. Tahu Apa Yang Diinginkan
Wanita keras kepala benar-benar tahu apa yang dia mahu dan mempunyai kemahuan besar untuk meraihnya. Ia tegas dengan apa yang dirasakannya dan apabila hal tersebut menyangkut pada orang-orang yang dicintainya, ia tidak akan muda menyerah. Jatuh cinta pada wanita keras kepala bermakna ia juga akan keras kepala dalam mencintai anda. Ia akan tetap mencintai anda dengan maksimum.
2. Berjaya Kawal Emosi
Wanita adalah makhluk yang penuh dengan emosi. Hal terbaik dari wanita keras kepala adalah ia dapat mengawal emosinya. Ia tahu betul apa yang membuatnya bersemangatdan akan berjuang mati- matian untuk terus mendapatkannya. Berkaitan dengan wanita keras kepala ertinya adalah anda akan merasakan pelbagai emosi, kerana wanita keras kepala adalah seorang yang sangat emosional, dalam cara yang positif.
3. Akan Mendorong Anda Menjadi Lebih Baik
Kadang-kadang, orang lain lebih tahu yang terbaik untuk diri anda, berbanding diri anda sendiri. Ia akan berjuang untuk anda ketika ia tahu apa perkara yang baik untuk anda. Ia tidak kenal lelah ketika hal itu berkaitan dengan kesihatan, keselamatan, dan kebahagiaan anda.
Ia tidak akan menyingkir dan membuat anda menghancurkan diri sendiri. Sebaliknya, ia akan menjadi salah satu orang yang terus mencari cara untuk mencintai anda dan membuat anda lebih mencintai diri sendiri.
4. Seorang Yang Tabah
Seorang wanita bersifat keras kepala kerana ada alasannya. Mungkin kerana ia telah berjuang begitu keras untuk sesuatu yang dimilikinya sekarang, atau pernah memperjuangkan sesuatu yang tidak mudah. Apa pun alasannya, ia keras kepala kerana suatu tujuan. Ia adalah seorang wanita yang kuat dan akan menjadi seorang tabah terhadap hal yang diinginkannya. Hal ini tidak hanya akan memberi inspirasi kepada anda, namun juga membuatnya menjadi pasangan yang hebat untuk anda.
5. Jelas Pendiriannya
Wanita ini bukan jenis yang tunduk patuh. Ia bukan orang yang akan menurut kepada anda kerana takut, kasihan, atau lemah. Wanita ini mempunyai pilihannya sendiri dan menjaganya tetap jelas untuk anda. Apabila ia tidak sependapat dengan anda, ia akan mengatakannya kepada anda, dan ia akan memberikan anda sebuah kejujuran.
6. Akan Membuat Segala Hal Menjadi Menarik
Ia adalah orang yang keras kepala, termasuk membuat beberapa konflik. Namun, siapa yang ingin jatuh cinta kepada orang yang selalu menurut? Tentu saja, tarikh dengan wanita keras kepala bermakna banyak perkara akan menjadi sukar, namun itulah seninya, ia membuat semua perkara kelihatan mengghairahkan, rumit, dan nyata.
7. Dia Boleh Berempati
Kadang-kadang, anda boleh berbalah, namun satu perkara tentang wanita keras kepala adalah ia sangat pandai dalam perbalahan. Kerana sifat keras kepalanya, ia dapat mengetahui cara untuk melihat di sudut pandang yang berbeza. Tentu saja, ia berlangsung pada perasaannya sendiri, namun bukan bermakna ia tidak akan mempertimbangkan perspektif anda. Ia mungkin tidak selalu bersetuju dengan anda, namun ia berlangsung pada apa yang dipercayainya, dan dunia anda akan berputar-putar. Inilah yang terpenting.
8. Percaya Diri Sendiri
Untuk menjadi orang yang keras kepala, anda harus merasa percaya diri terhadap apa yang anda percaya dan bertahan dengan hal tersebut. Dan seorang wanita dengan kepercayaan diri itu seksi.
9. Sangat Emosional
Ia keras kepala dan emosional, yang bermakna ia mempunyai keinginan dan impiannya sendiri. Keinginan dan impian inilah yang membuat ghairah, termasuk anda. Ia bukanlah orang yang akan menyerahkan segala hal pada nasib. Ia akan berjuang untuk anda dan memberikan hubungan yang luar biasa.
10. Seorang Yang Tidak Berputus Asa
Ia keras kepala untuk anda, bahkan ia akan membuat anda menjadi keutamaan utama. Ia akan tetap mencintai anda, bahkan ketika ia marah atau anda membuatnya kecewa. Dan kerana ia keras kepala, ia tidak akan berputus asa untuk anda.
11. Akan Membuat Anda Rasa Kagum
Seorang wanita keras kepala akan membuat anda kagum. Ia sering tidak sependapat, namun wanita ini akan mencintai anda sepenuh hati. Gila, bukan? Tidak ada salahnya untuk mencari seseorang yang akan membuat anda gila, dalam cara yang positif.
Sumber: Via Buletin Daily
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nadi Kesuma Lambang Kekuatan, Nafas Wanita Berhijab! – Nad Zainal
Umum sedia maklum bahawa pelakon kecil molek, Nad Zainal kini sedang melayari hari-hari penuh bahagia bersama keluarga tercinta, terutama apabila kini sudah bergelar ibu kepada cahaya mata.
Malah, sejak bergelar isteri kepada pengarah dan juga aktor, Ungku Ismail rezeki buat pemilik nama penuh Farah Nadia Zainal Abidin dilihat semakin mencurah-curah.
Selain masih aktif dengan kerjaya lakonan, aktres berbakat besar ini kian ligat berniaga dan mempromosikan jenama Nadi Kesuma, iaitu perniagaan tudung dubawah naunganya sendiri. Apa yang lebih manis, perniagaan tersebut diusahakan bersama suami tercinta.
‘Nadi Kesuma’ Hasil Usahasama Nad Bersama Ungku Ismail
Tampil dengan pelbagai rekaan tudung eksklusif, Nadi Kesuma kini telah berjaya menembusi pasaran Singapura. Bercerita mengenai label hijab berkenaan, Nad menerusi media sosial miliknya mendedahkan perkara ini.
“Nadi Kesuma melambangkan kekuatan, nafas wanita. Kekuatan saya terletak pada keluarga terutamanya anak-anak dan suami.
“Juga mereka yang selalu mendukung kerjaya saya, merekalah penggerak, penggaya, penyumbang idea untuk Nadi Kesuma.
“Thanks Fiqqi Abdullah, Thelikeyuti, Yumi Marina dan dah tentu my Ungku Ismail Aziz, suami dan boss legasi Karyatama,” tulis nad ringkas pada ruangan kapsyen hantaran berkenaan.
Nad Zainal ‘Bahagia’ Bersuamikan Ungku Ismail
Artikel berkaitan: Makin Cantik Sejak Behijab! Nad Zainal Letak Soal ‘Rezeki’ Di Tangan Allah!
Sejak selamat bernikah Januari lalu, makin berseri-seri Nad Zainal dan Ungku Ismail Aziz. Sering berada di sisi walau ke mana saja, pasangan selebriti romantis ini juga dilihat saling menghargai di antara satu sama lain dan berkongsi momen indah mereka di media sosial.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin sah bergelar isteri kepada pelakon kacak, Ungku Ismail pada pada 23 Januari tahun lalu. Bagaimana pun, mereka mengumumkan berita perkahwinan tersebut kepada peminat selepas hampir seminggu bernikah.
Hasil perkongsian hidup selama setahun itu, perkahwinan Nad dan Ungku Ismail telah diserikan dengan kehadiran seorang cahaya mata lelaki pada 10 Oktober 2023.
Untuk recap, hubungan serius Nad dan Ungku mula ‘dihidu’ ramai selepas aktor tersebut banyak berkongsi perkembangan pelakon Dendam Seorang Isteri itu ketika Nad terlantar di hospital akibat pendarahan paru-paru.
Pada September 2022, Nad dilaporkan bercerai dengan Muhammad Faliq Amiruddin yang dikahwini sejak 18 September 2015.
Menerusi perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim berusia tujuh tahun dan Budi Kalsom, dua tahun.
Semoga ikatan suci yang dibina Nad dan Ungku terus berkembang mekar serta berkekalan hingga ke syurga.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA.
Artikel berkaitan: Nad Zainal Dah Sedar, Tak Lagi Bergantung Pada Tiub Pernafasan
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Sumber Foto: Instagram Nad Zainal
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI