Pancaran sinaran daripada 100,000 butir batu kristal Swarovski bukan sahaja bersinar terang tetapi dalam masa yang sama memberikan satu pengalaman baru buat sesiapa sahaja yang mula melangkahkan kaki masuk ke Crystal World Bawal Exclusive yang dilancarkan secara rasmi pada 5 April.
Menariknya, butik tudung mewah lagi eksklusif yang menelan belanja RM2.5 juta ringgit ini bukan sahaja memukau pandangan mata tetapi dalam masa masa yang sama mempamerkan tudung yang bernilai RM10,000 hingga RM RM113,000 selaras dengan aspirasi Bawal Exclusive yang mahu mewujudkan butik tudung paling mewah di dunia bertahtahkan kristal Swarovski.
Tidak salah untuk kita menghasilkan tudung semewah jenama antarabangasa. Jika memiliki beg tangan dengan harga berpuluh ribu kenapa tidak dengan memiliki tudung yang menjadi mahkota seorang wanita berhijab.
Bagi pengasas dan pemilik Bawal Exclusive, Puan Haliza Masyuri, dia bersyukur kepada Tuhan kerana impiannya untuk memiliki butik tudung mewah ini akhirnya tercapai setelah sekian lama bergelumang dalam perniagaan tudung.
“Tiada apa yang dapat saya katakan selain bersyukur dengan apa yang dikecapi pada hari ini. Dalam hidup tiada apa yang mustahil dan saya mahu semua orang mempunya azam dan semangat untuk terus berjaya,” kata Haliza.
Sebenarnya impian untuk memiliki butik tudung mewah sendiri bermula pada malam ulang tahun Swarovski yang ke-125 tahun apabila mereka telah dijemput ke majlis makan malam yang berprestij di Wattens, Austria.
Bawal Exclusive telah berpeluang dijemput untuk berdiri sama tinggi dengan jenama-jenama luar dari seluruh dunia. Dengan disinari kilauan lampu yang mempersona telah menambat hati mereka pada malam itu.
Pancaran kristal Swarovksi yang bermula dengan satu butir telah menghasilkan pancaran laser yang menyerlahkan lagi setiap butiran kristal yang berada dalam dewan. Ia merupakan satu kenangan yang tidak boleh dibeli di mana-mana.
“Sejak itu saya menanam impian dan berjanji akan membawa kenangan itu bersama-sama ke Malaysia. Hari demi hari, impian tersebut bakal direalisasikan pada hari ini dengan perlancaran butik tudung mewah bertaraf antarabangsa yang diberi nama Crystal World Bawal Exclusive.
“Butik tudung mewah ini bukan hanya dibina semata-mata untuk dipamerkan pada umum, malah saya ingin membuktikan kepada masyarakat di luar sana bahawa sebagai seorang wanita Muslim yang bermula dari bawah juga mampu untuk berjaya,” tambahnya lagi.
“Saya ingin menunjukkan kepada Premium Reseller Bawal Exclusive bahawa mereka juga mampu untuk menjadi seperti ini,” katanya yang berhasrat menjadikan Crystal World Bawal Exclusive sebagai sebuah butik tudung yang paling mewah di dunia yang bertahtahkan kristal Swarovski.
Istimewanya, setelah 23 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini, kini pemilik Bawal Exclusive bakal memperkenalkan pewaris mereka sebagai penyambung kepada legasi perniagaan yang diusahakan.
“Saya berharap pewaris saya dapat menjaga dan menjalankan pernigaan ini dengan sebaiknya,” tambahnya.
Sepetang bersama media melawat butik mewah ini, sejujurnya kita harus bangga dengan kejayaan anak tempatan yang menaikkan taraf jenama lokal setaraf jenama antarabangsa.