“Bukan Semuanya Harus Dikongsikan…”- Wany Hasrita Komen Tentang Sempurna Di Laman Sosial!

Share

Media sosial hari ini diibaratkan seperti teman rapat kita dalam menjalani kehidupan harian. Disitulah tempat untuk meluahkan bicara hati, disitu jualah ruang untuk berkongsi momen indah dan tidak kurang juga, platform untuk menunjukkan sisi kecantikan diri dan kejayaan karier.

Pun begitu, biarpun ia dilihat sebagai banyak kelebihannya, masih tercalit kekurangan dalam menggunakan media sosial. Mengejar definisi kesempurnaan barangkali sudah menjadi gaya hidup manusia pada hari ini untuk mendapat sebakul pujian juga untuk mengaut bilangan pengikut yang ramai. Adakah ia relevan sehingga ada yang sanggup mengambil risiko untuk kekal sempurna di laman sosial?

Berbicara mengenai isu ini, Hijabista menemu bual penyanyi muda yang semakin rancak melakar nama dalam industri muzik tempatan, Wany Hasrita tentang perspektifnya mengenai kesempurnaan di laman sosial.

Menurut Wany, walaupun sebagai seorang selebriti, dia tidak memandang laman sosial sebagai ruang untuk tampil sempurna. Akur dengan corak gaya hidup kini yang rakus mengejar label kesempurnaan, baginya, ia bukanlah sebuah perkara yang harus difokuskan ketika menggunakan laman sosial.

Apa kata kita ketepikan dahulu soal kesempurnaan itu. Fokuskan kepada nilai positif ketika menggunakan platform laman sosial.

“Sebenarnya, kita memiliki pilihan untuk mencorakkan laman sosial kita sendiri. Seperti saya, saya lebih senang untuk berkongsi perkara yang patut dikongsikan di laman sosial. Contohnya perihal kerja dan ada kalanya mengenai aktiviti harian. Namun harus diingat, bukanlah semuanya harus dikongsi. 

Simpankan sedikit privasi hidup anda untuk memberi kebaikan kepada diri sendiri. Harus menjadi lebih bijak supaya laman sosial yang kita miliki, digunakan dengan cara yang betul dan penuh manfaat,” kongsinya.

Tambahnya,kita tidak perlu untuk tampil sempurna di laman sosial. Malah lebih pentingkan kepada positiviti.

“Apa kata kita ketepikan dahulu soal kesempurnaan itu. Fokuskan kepada nilai positif ketika menggunakan platform laman sosial. Pelbagai jenis bentuk dan fungsi media sosial yang wujud pada hari ini. Oleh itu, gunakanlah dengan sebaik mungkin untuk sebarkan nilai positiviti kepada semua,” ujarnya.

Sumber gambar: Instagram Wany Hasrita

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

 

Published by
Putra