“Kain satin ni sebenarnya tak moleklah kalau kita nak buat pakai kat luar. Kainnya berkilat, menarik perhatian, nampak lekuk badan.” -Netizen
“Kain satin ni bahaya, sekali kena angin je terus nampak bentuk.” -Netizan
Itu antara komen-komen netizen yang respon terhadap isu tular baru-baru ini di platform media sosial berkaitan pakaian Muslimah yang dihasilkan daripada fabrik satin.
Isu tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Malah, ia turut mendapat perhatian daripada pendakwah dan aktivis terkenal Ustazah Asma’ Harun.
Berikut penjelasan dan nasihat Ustazah Asma’ Harun mengenai isu tersebut yang telah dimuat naik di Facebook miliknya.
“Sebenarnya bukan sahaja kain satin, bahkan apa sahaja kain yang sifatnya melekat pada badan dan boleh memperlihatkan lekuk tubuh adalah tidak menepati syariat Islam.
“Sekarang ramai sudah mula berfikir untuk mencari baju raya, berhati-hatilah dalam memilih pakaian, dikhuatiri hanya kerana ingin mengikut trend semasa kita mengabaikan nilai agama.”
KONSEP MENUTUP AURAT BAGI WANITA
Jelas Ustazah Asma’ hukum menutup aurat bagi wanita ketika berhadapan dengan bukan mahram adalah WAJIB.
“Ia satu kewajipan yang tidak ada pertikaian berdasarkan surah al-Ahzab ayat 59 dan juga surah al-Nur ayat 30-31.
“Bila perlu keluar di khalayak, pakailah pakaian yang menutup aurat dengan sempurna iaitu menutup seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.”
Antara syarat-syarat yang ditetapkan syarak dalam menutup aurat ialah:
1- Pakaian mestilah yang tidak menampakkan bentuk badan.
2- Pakaian mestilah yang tidak menampakkan warna kulit.
3- Pakaian mestilah yang tidak terdedah, tidak nipis, tidak ketat dan seumpamanya sehingga boleh mendatangkan fitnah dan kebinasaan.
BERPAKAIAN & BERHIAS BERLEBIH-LEBIHAN
Menurut Ustazah Asma’ yang juga Pengasas Yayasan AlHijrah dan Penaung NGO Sahabat Amal Care ini, walaupun ramai yang sudah ada kesedaran untuk menutup aurat namun terdapat juga perkara yang tidak diambil perhatian sehingga membawa kepada TABARRUJ (berlebih-lebihan).
“Tabarruj ialah perbuatan wanita berhias secara berlebihan dengan menampakkan perhiasan dan anggota tubuh sehingga menarik perhatian lelaki yang bukan mahram.
“Bukan itu sahaja, ada juga yang gemar memilih warna-warna terang semata-mata untuk mengikut trend dan mempamerkan kecantikan diri.”
Tambah Ustazah Asma’ wanita boleh berhias berlebihan hanya kepada suaminya sahaja. Ia berdasarkan kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah yang menyatakan bahawa:
“Mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Dan disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka Ijmak para ulama’ bersepakat adalah HARAM melainkan kepada SUAMINYA SAHAJA.”
Kesimpulannya pemilihan fabrik yang tepat, tidak ketat, tidak jarang dan tidak menampakkan bentuk tubuh sangat penting kerana ia akan memelihara kemuliaan peribadi seorang wanita.
“Pakaian itu mestilah tidak tabarruj (berlebih-lebihan) dan tidak menarik perhatian bukan mahram untuk melihatnya.
“Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk difahami dan diambil perhatian bersama,” tulis Ustazah Asma’.
Sumber & Kredit: Facebook Ustazah Asma’ Harun