Buat pertama kalinya NASA telah mencipta tudung khas untuk angkasawan Nora Al Matrooshi setelah beliau lulus program latihan NASA baru-baru ini.
Nora Al Matrooshi mencuri perhatian orang ramai kerana menjadi wanita Arab pertama yang lulus program Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat atau NASA.
Wanita berusia 30 tahun itu menjelaskan, NASA membangunkan strategi untuk menutup rambutnya sambil memakai sut angkasa dan topi keledar ikonik dikenali sebagai Unit Mobiliti Ekstravehikular atau EMU.
“Sebaik sahaja memasuki EMU, anda akan memakai topi (dilengkapi mikrofon dan pembesar suara) yang menutupi rambut,” kata Nora Al Matrooshi kepada AFP seperti yang dilaporkan oleh France24.
Cabaran datang apabila Nora Al Matrooshi menanggalkan tudung yang biasa dipakainya, sebelum memakai topi keledar khas. Ini lebih rumit kerana hanya bahan khas boleh digunakan dalam EMU.
“Jurutera pakaian menjahit tudung sementara supaya saya boleh memakainya, masuk ke dalam pakaian angkasa dan kemudian memakai topi komunikasi. Kemudian menanggalkannya dan rambut saya akan ditutup. Saya benar-benar hargai,” kata Nora.
Nora Al Matrooshi bersedia untuk melangkah ke angkasa lepas bersama rakan-rakan angkasawannya, memakai pakaian yang direka khas oleh NASA.
NASA merancang untuk menghantar Nora ke bulan pada 2026 untuk misi Artemis 3.
Untuk info, Nora Al Matrooshi merupakan seorang jurutera mekanikal yang pernah bekerja dalam industri minyak. Beliau menjadi inspirasi kepada para wanita khususnya yang berhijab untuk terus mencapai impian mereka.
“Bergelar seorang Muslim menyedarkan saya tentang sumbangan nenek moyang saya, para ulama dan saintis Islam sebelum saya yang mengkaji bintang. Saya menjadi seorang angkasawan hanya untuk membina legasi yang mereka mulakan beribu-ribu tahun dulu,”
kata Nora.BACA JUGA: Bijak & Bercita-Cita Tinggi NORA ALMATROOSHI Wanita Arab Pertama Lulus Program NASA
Selepas dua tahun bekerja keras termasuk berlatih berjalan di angkasa lepas, Nora Al Matrooshi bersama rakan sekerjanya dari Emirat, Mohammad AlMulla dan 10 orang yang lain dalam kelas latihan, telah melayakkan diri sebagai angkasawan.
Kumpulan itu yang dikenali sebagai “The Flies” kini layak untuk misi NASA ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), pelancaran Artemis ke bulan. Jika semuanya berjalan lancar, mereka juga boleh terbang ke Marikh.
“Saya mahu manusia kembali ke bulan dan pergi lebih jauh. Saya mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan itu,” kata Nora.
Nora Al Matrooshi memuat naik pelbagai aktivitinya sebagai angkasawan menerusi Instagram peribadinya. Beliau juga aktif dalam misi kemanusiaan terutamanya bersuara dalam mempertahankan Palestin.