Seringkali ramai wanita tertanya-tanya sama ada bolehkah membaca ayat-ayat dalam Al-Quran ketika dalam keadaan haid. Mungkin sudah kebiasaan ada di antara kita mengamalkan bacaan potongan daripada ayat-ayat dalam Al-Quran sebagai amalan harian.
WANITA HAID MEMBACA AL-QURAN DAN MENGULANG HAFAZAN: BOLEH ATAU TIDAK BAGAIMANA PULA JIKA SAYA MENYENTUH AL-QURAN.
“Ustazah, saya sudah terbiasa membaca surah al-Fatihah sebelum tidur. Adakah boleh jika saya membaca surah tersebut ketika saya dalam keadaan haid? Bagaimana pula jika saya hanya memegang al-Quran tanpa membacanya ketika menyemak bacaan anak saya?”
JAWAPAN:
WANITA HAID MEMBACA AL-QURAN
Bagi menjawab persoalan pertama, ulama telah membahaskan kepada dua pendapat seperti berikut:
1. PENDAPAT PERTAMA: HARAM
Ini merupakan pendapat jumhur ulama berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَقْرَأْ اَلْحَائِضُ وَلَا الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Quran.” (HR al-Tirmizi)
Justeru, para ulama melarang wanita membaca al-Quran walaupun sedikit mahupun mengulang hafazannya tanpa sebarang keperluan ketika dalam keadaan haid dan berjunub kerana ingin memelihara kesucian ayat al-Quran.
2. PENDAPAT KEDUA: HARUS
Ini merupakan pendapat ulama Malikiyyah dan tokoh ulama silam seperti al-Bukhari, Ibnu Jarir al-Tabari, Ibnu al-Munzir, al-Zahiriyyah, al-Syaukani, al-San’ani, al-Sya’bi dan pendapat Imam al-Syafie dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur.
Hal ini berdasarkan kepada hujah Imam Malik terhadap hadis Nabi Muhammad SAW:
قَوْلُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم لِلسَّيِّدَةِ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهَ عَنْهَا لَمَّا حَاضَتْ فِى حُجَّةِ الْوَدَاعِ “افْعَلِي مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي” اَلْبُخَارِي،
فَلَمْ يَمْنَعْهَا إِلَّا مِنَ الطَّوَافِ، وَلَوْ كَانَتْ تِلَاوَتُهَا لِلْقُرْآنِ مُحَرَّمَةً لِبَيِّنِهَا؛ فَإِنَّ الْحَاجَّ يَشْغَلُ وَقْتَهُ بِتِلَاوَةِ الْقُرْآنِ
Maksudnya: “Daripada Nabi Muhammad SAW, beliau telah berkata kepada Saidatina Aisyah r.a. tatkala Aisyah didatangi haid ketika haji wada’: “Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang yang melakukan haji selain daripada melakukan tawaf sehinggalah kamu bersuci.” (HR al-Bukhari)
Maka, di dalam hadis tersebut menyatakan bahawa tidak dilarang bagi wanita haid untuk mengerjakan haji kecuali tawaf. Sekiranya membaca al-Quran dihukumkan sebagai haram, maka sudah pastilah ianya jelas dinyatakan, sedangkan jemaah haji banyak meluangkan masanya dengan membaca al-Quran.
Golongan yang berpegang kepada pendapat ini membenarkan wanita haid atau nifas membaca al-Quran mahupun mengulang hafazan dengan beberapa syarat, iaitu:
1) MENGAJAR DAN BELAJAR AL-QURAN
Harus hukumnya bagi seorang guru mahupun pelajar menyebut ayat al-quran walaupun dalam keadaan haid atau nifas.
2) MENGULANG HAFAZAN DI DALAM HATI
Dibolehkan untuk mengulang hafazan namun di dalam hati sahaja. Walau bagaimanapun, tidak boleh menambah ayat baru bagi tujuan hafazan.
Al-Nawawi menyatakan, ia hanya boleh dibaca dalam hati sahaja tanpa menggerakkan lidah.
Ibnu Munzir, al-Syaukani dan al-San’ani pula berpandangan, jika wanita yang menghafaz al-Quran dan ingin mengulangi hafalan, maka ia diharuskan untuk membaca al-Quran bagi tujuan tersebut.
3) MERUPAKAN AMALAN HARIAN
Harus membaca ayat al-Quran yang berbentuk zikir harian dan menjadi amalan sebagai bacaan doa seperti yang terkandung dalam al-Ma’thurat dengan niat zikir pendinding dan membaca tiga Qul.
Antara contoh bacaan doa dari al-Quran:
a. Doa Nabi Nuh a.s.
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ
وَتُبْ عَلَيْنَآ إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah: 128-129)
b. Doa Nabi Yunus a.s.
لَا إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku termasuk orang yang zalim.” (Surah al-Anbiya’: 87)
c. Doa Nabi Musa a.s.
رَبِ اشْرَحْ لِى صَدْرِى
وَ يَسِّرْ لِى أَمْرِى
وَ احْلُلْ عُقْدَةً مِّن لِّسَانِى
يَفْقَهُوا قَوْلِى
Maksudnya: “Ya Tuhanku lapangkanlah dadaku, mudahkanlah urusanku, lancarkanlah lidahku agar mereka mengerti perkataanku.” (Surah Taha: 25-28)
HUKUM WANITA HAID MEMEGANG AL-QURAN
Manakala bagi persoalan jika wanita haid menyentuh mahupun membawa al-Quran, terdapat dua keadaan:
1. HARAM
Jumhur ulama menyatakan haram bagi wanita haid menyentuh mahupun membawa al-Quran semata-mata tanpa terjemahan, sepertimana firman Allah SWT:
لَّا يَمَسُّهٗۤ إِلَّا الۡمُطَهَّرُونَ
Maksudnya: “Tidak disentuh (al-Quran) melainkan hamba-hamba yang bersih suci.” (Surah al-Waqiah: 79)
Seterusnya, terdapat hadis Nabi Muhammad SAW:
عَنْ عَبْدِ الله بن عُمَر رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا يَمَسُّ الْقُرْآنَ إِلَّا طَاهِرٌ
Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: Tidak boleh menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci.” (HR al-Daruqutni)
2. HARUS
Walau bagaimanapun, jumhur ulama menyatakan adalah dibolehkan bagi wanita haid menyentuh, membawa dan mengulangkaji sekiranya ia merupakan tafsir al-Quran kerana terdapat makna-maknanya. Ia bukanlah bermaksud hanya ayat al-Quran semata-mata.
Hal ini disebutkan di dalam kitab Syarh Mukhtasar Khalil oleh al-Kharasyi al-Maliki:
يَجُوزُ لِلْمُحْدِثِ مَسُّ التَّفْسِيرِ
Maksudnya: “Dibolehkan bagi mereka yang berhadas untuk menyentuh tafsir.”
Walau bagaimanapun, menurut mazhab Syafie, haram menyentuh dan membawa tafsir bagi wanita haid sekiranya ayat al-Quran lebih banyak daripada tafsirnya. Sepertimana yang disebutkan oleh al-Nawawi r.a. di dalam kitabnya al-Majmu’:
وَإِنْ كَانَ التَّفْسِيرُ أَكْثَرَ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَفِيهِ أَوْجُهٌ أَصَحُّهَا لَا يَحْرُمُ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِمُصْحَفٍ
Maksudnya: “Sekiranya tafsir itu lebih banyak daripada kebiasaannya, maka padanya ada beberapa pendapat dan yang paling sahih adalah tidak diharamkan (untuk menyentuh dan membawanya) kerana ia bukanlah mushaf.”
RUMUSAN:
1. Wanita haid dibolehkan membaca al-Quran dan mengulang hafazannya berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah dijelaskan.
2. Hanyalah dibenarkan menyentuh dan memegang tafsir al-Quran bagi wanita haid namun mestilah tafsirnya melebihi kandungan ayat al-Quran.
3. Sekiranya kandungan ayat al-Quran lebih banyak daripada tafsirnya maka perbuatan ini tidak dibenarkan menurut mazhab Syafie.
Wallahua’lam.
Rujukan:
1) Manhaj Fiqh al-Syafi’i oleh Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.
2) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
https://muftiwp.gov.my/…/irsy…/irsyad-fatwa-umum/2057-18
https://muftiwp.gov.my/…/861-irsyad-al-fatwa-ke-194…
3) Akhbar Kosmo oleh Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham
https://www.ukm.my/…/311_HUKUM_WANITA_HAID_MEMBACA_AL…
4) Jawapan Kemusykilan Agama
http://kemusykilan.islam.gov.my/index_jawapan.php…
Sumber kredit: Ustazah Asma’ Harun Top image: Photo by RODNAE Productions from Pexels Photo by RODNAE Productions from Pexels