Seperti yang diketahui umum, pasangan mempelai akan dihiasi dengan persalinan perkahwinan serta inai yang cukup indah dan memukau. Baik lelaki atau perempuan, kedua-duanya mahu kelihatan sempurna di hari bahagia masing-masing. Memakai inai merupakan satu aktiviti yang pasti akan dilakukan sebelum pasangan mempelai diijab kabulkan. Kebiasaannya, perempuan akan memakai inai pada semua jari manakala lelaki pula hanya memakai pada tiga jari. Persoalannya, apakah hukum dari sudut agama tentang hukum memakai inai ini.
Ini jawapan bagi hukum memakai inai bagi kedua-dua mempelai:
- Hukum memakai inai bagi wanita
- Hukum memakai inai bagi lelaki
Hukum memakai inai bagi wanita
Menurut ulama’ mazhab Maliki dan Syafi’ei, wanita yang bersuami disunatkan memakai inai pada setiap masa kerana inai merupakan perhiasan dan kecantikan. Wanita yang bersuami sunat berhias untuk suami sepanjang masa.
Bagi wanita yang masih belum bersuami, ulama’ mazhab Maliki berpendapat hukumnya adalah harus, manakala ulama’ mazhab Syafi’ei pula berpendapat ia makruh kerana dibimbangi berlaku fitnah ke atas diri wanita itu dan orang lain.
Walau bagaimanapun, wanita yang hendak berihram haji atau umrah disunatkan memakai inai mengikut pendapat semua mazhab sama ada yang bersuami atau tidak.
Selain memakai inai di tangan, iaitu dari hujung jari hingga ke pergelangan, wanita juga harus memakai inai di tapak kaki mereka hingga ke buku lali khususnya wanita yang bersuami.
Hukum memakai inai bagi lelaki
Fuqahak semua mazhab berpendapat haram bagi lelaki memakai inai di tangan atau di kaki kerana inai merupakan perhiasan bagi wanita. Lelaki tidak harus meniru wanita sama ada pakaian atau perhiasan sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
“Allah melaknat lelaki yang menyerupai atau meniru wanita dan wanita yang menyerupai atau meniru lelaki.”
Antara kata-kata fuqahak dalam masalah ini:
1. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan bagi wanita yang bersuami kerana terdapat Hadis-hadis yang masyhur mengenainya. Dan perbuatan itu haram bagi lelaki kecuali kerana keperluan seperti berubat dan sebagainya…” (Imam an-Nawawi di dalam kitab ‘Al-Majmuk’)
2. “Dan tidak harus menginaikan dua tangan kanak-kanak lelaki dan dua kakinya kecuali kerana ada keperluan untuk berbuat demikian, tetapi harus bagi wanita…” (Al-Fatawa al-Hindiyyah). Dinyatakan di dalam fatwa tersebut tidak harus diinaikan tangan dan kaki kanak-kanak lelaki. Maka lelaki dewasa lebih-lebih lagi.
3. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan untuk wanita dan diharamkan untuk lelaki kecuali untuk berubat…” (‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud).
Kesimpulannya, inai merupakan perhiasan bagi kaum wanita. Hukum memakainya adalah harus, sunat dan dalam keadaan tertentu makruh, iaitu bagi wanita yang tidak bersuami menurut pendapat fuqahak mazhab Syafi’ei. Bagi lelaki adalah haram kecuali dalam keadaan terpaksa seperti untuk berubat dan sebagainya.
Justeru, adat lelaki memakai inai ketika aqad nikah dan walimah adalah tidak selari dengan ajaran Islam dan perlu dihentikan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI