“Bila Berada Di Kerajaan Allah, Wang Ringgit Tak Bererti Lagi” – Fouziah Gous Akui Gelaran Hajjah Tak Mudah Baginya

Share

Bertahun-tahun wanita ini memasang niat untuk berhijab. Walau cuma berkata-kata dalam hati tentang hasrat itu tapi pada masa yang sama perlahan-lahan dia cuba memperbaiki diri. Namun akhirnya waktu itu tiba jua tatkala dia mendapat panggilan menunaikan haji bersama suami.

Sempena Edisi Hijabersary, Hijabista mendekati isteri, ibu kepada dua cahaya mata dan juga usahawan Fouziah Gous untuk berkongsi tentang penghijarahan dirinya yang baru lima bulan.

Sejak bila hati Fouziah terdetik untuk berhijab?

Hati dah berkata-kata untuk berhijab since day one saya berkahwin. Dalam tempoh lima tahun ini meskipun belum berhijab saya perlahan-lahan cuba mengubah diri terutama dari segi pemakaian.

 Bila sudah bergelar isteri saya tak lagi beli pakaian-pakaian seperti skirt dan sebagainya. Tapi saya sendiri sebenarnya bukanlah seorang yang seksi, cuma sukakan fesyen.

Jadi bagaimana hijrah hijab itu bermula?

Saya sedar saya bukan seorang yang sempurna jadi saya sentiasa berusaha menjadi lebih baik dan mencari yang lebih baik dalam kehidupan. Saya cuba jaga solat saya dan cari persekitaran yang mendorong ke arah kebaikan.

Bila kita amal dan cuba buat perkara yang baik, perlahan-lahan hati kita jadi mudah untuk berubah. Dan bila dapat panggilan haji saya tahu ia adalah waktunya untuk saya berubah.

Jadi saya tekad pulang saja daripada mengerjakan rukun Islam kelima bersama dengan suami saya akan terus bertudung. Alhamdulillah hasrat itu dipermudahkan. 

Sebenarnya sebelum itu lagi saya selalu terdetik dalam hati, Dia memberi rezeki yang banyak namun ada satu perasaan yang menyelinap dalam hati saya kenapa saya tidak boleh mengikut kehendak-Nya.

Saya selalu berdoa agar Allah memberi hidayah kepada saya dan berhijab mungkin salah satu daripadanya.

Gaya hijab bagaimana pilihan Fouziah dan ada tak perasaan kekok keluar dengan penampilan baru?

Saya tidak rasa kekok dengan imej baru ini kerana dari dulu saya sudah biasa berhijab terutama ketika di bulan Ramadan dan sewaktu bergelar model dulu. Jadi bila nak mengubah penampilan saya tiada masalah.

Lagi pun hijab pilihan saya ringkas saja. Saya juga akan  pastikan selesa dengan hijab yang digayakan. Oleh sebab itu pada kebanyakan masa saya memilih untuk mengenakan tudung bawal atau shawl dengan lilitan mudah.

Apa reaksi suami dengan perubahan ini?

Suami saya seorang yang tegas. Dia sudah lama mahu saya bertudung, sejak mula kami bergelar suami isteri malah dia sentiasa mendoakan saya ke arah itu.

Tapi saya selalu katakan kepadanya kalau saya bertudung nanti ia bukan sebab dia tapi saya akan buat kerana Allah. Saya tak mahu melakukannya kerana paksaan dan bukan juga untuk impress orang lain.

Fouziah antara selebriti muda yang sudah bergelar hajjah, boleh ceritakan pengalaman itu?

Saya bersyukur dapat panggilan menunaikan haji pada usia yang yang muda dan tubuh masih sihat dan bertenaga kerana untuk saya mendapatkan gelaran hajjah ini adalah sesuatu yang sangat mencabar.

Ada pelbagai dugaan yang perlu saya lalui. Saya dan suami mengetahui visa haji kami diluluskan hanya dua hari sebelum tarikh berangkat.

Ia agak last minute dan nak dijadikan cerita pada masa yang sama anak saya yang berusia 10 bulan mengalami masalah kesihatan akibat usus tersekat hingga perlu dibedah.

Saya hanya dapat menemaninya seketika saja kemudian terpaksa meninggalkan anak yang baru dibedah dan masih di ICU untuk berangkat ke Makkah. Tetapi pada waktu itu tidak ada sedikit pun perasaan untuk tarik diri.

Cerita tak habis di situ ketika transit, rombongan haji saya kemudian terkandas pula di Manila selama dua hari kerana masalah teknikal hingga menyebabkan kami hanya tiba sehari sebelum wukuf.

Itu belum lagi dengan cabaran terpaksa berjalan berjam-jam lamanya, dugaan di khemah, keadaan cuaca yang berangin dan pelbagai lagi.

Bila dapat menyelesaikan rukun haji ini saya rasa sangat bersyukur hingga mengalirkan air mata kerana menjadi insan terpilih untuk melaluinya. Dan yang pasti semua itu memberi saya pengalaman yang tidak ternilai harganya. Sebab inilah saya katakan gelaran hajjah itu bukan mudah buat saya.

Pulang dari Makkah dengan hijab dan gelaran hajjah apa perubahan yang Fouziah rasai?

Pengalaman menunaikan haji bersama suami ini telah banyak mengajar saya. Saya dapat rasakan diri saya ini sekecil-kecilnya sehingga kita rasa sudah sampai ke tanah. Bila kita berada di kerajaan Allah, wang ringgit tak bererti lagi.

Dia yang mengatur semuanya. Setinggi mana pun pangkat tapi di sana kita adalah sama. Apabila mengharungi cabaran demi cabaran di sana saya rasa diri saya cukup kerdil dan kini saya tak kisah, saya boleh letak diri serendah-rendahnya.

Dalam pada itu bila dah bergelar hajah ini semangatnya rasa lain macam sikit. Semangat untuk setiap apa yang saya lakukan itu adalah kerana Allah.

KREDIT FOTO: NANA AZMAN & INSTAGRAM FOUZIAH GOUS

Published by
Siti Zurina