Kecantikan

Bibir Merekah & Mengelupas Boleh Disebabkan Alahan Pada Makanan Tertentu Selain Kurang Minum Air & Cuaca

Share

Bibir yang cantik, merah dan mekar memang menjadi idaman ramai wanita. Namun masalah yang sering dihadapi ialah bibir kering dan akhirnya merekah dan mengelupas. Apabila hendak makan terasa sangatlah tidak selesa.

Bibir yang pecah-pecah dan merekah adalah salah satu masalah kesihatan yang sering menjengkelkan. Bukan sahaja mengganggu penampilan, bibir kering kadangkala turut terasa pedih apabila mula berdarah.

Kulit pada bahagian bibir lebih mudah merekah dan mengelupas kerana ia tipis. Kulit di bahagian ini juga tidak mempunyai sebarang kelenjar minyak yang dapat memberi kelembapan semula jadi. Jika kita terdedah kepada keadaan ekstrem sama ada cuaca terlalu sejuk, panas atau kering, kulit pada bahagian bibir akan terlebih dahulu merekah atau mengelupas.

Apakah punca bibir kering?

Ramai orang menghadapi masalah kekeringan pada bibir, malah mulut, bermula dari kekeringan biasa akhirnya masalah melarat menjadi luka dan kadang kalanya bernanah atau menjadi kuping (scaling).

Bibir yang kering lalu merekah dan menyebabkan luka mengganggu aktiviti seharian yang melibatkan bibir seperti senyuman, makan dan ketika bercakap. Bibir akan menjadi kering apabila terdedah kepada suhu yang keterlaluan.

Tidak kira sama ada ianya ianya suhu tinggi atau suhu yang terlalu rendah. Bibir boleh merekah dan menyebabkan ketidakselesaan. Bila keadaan ini berlaku, menggunakan pelembap bibir akan membantu mengurangkan kekeringan itu.

Kekurangan air dihidrasi yang sederhana juga akan menyebabkan bibir menjadi kering. Ramai yang menyangka dengan meminum air, seseorang itu boleh menyahidrasi. Namun berhati-hatilah dengan apa minuman yang kita minum. Meminum kafein atau alkohol juga sebenarnya menyebabkan dehidrasi tanpa disedari.

Cara terbaik ialah dengan minum air secukupnya iaitu lapan gelas sehari. Namun kita harus minum air jika keadaan lebih panas, atau melakukan aktiviti di luar rumah atau badan seseorang dikirakan obesiti.

Individu yang obesiti memerlukan air melebihi orang yang tidak mengalami masalah obesiti kerana permukaan kulitnya yang lebih besar, menyebabkan lebih banyak air tersejat melalui kulit.

ARTIKEL BERKAITAN: Bibir Lembut Tanpa Rekahan, Jadikan Produk Penjagaan Ini Ruji Solekan Anda. Barulah Lipstik Onz!

Kekeringan dan rekahan bibir turut dialami oleh orang yang cuba membasahkan bibir mereka dengan air liur sendiri. Mereka menyangka dengan ’menjilat’ bibir sendiri dapat mengekalkan kelembapan bibir. Sebaliknya ianya menyebabkan bibir menjadi lebih  kering.

Photo by shiny-diamond- from Pexels.

Masalah keradangan (irritation) juga menyebabkan kekeringan bibir berlaku. Selain dari air liur (saliva), lipstik dan makanan juga boleh menyebabkan perkara yang sama. Tanpa disedari makanan yang dimakan mengandungi bahan yang seseorang alergik terhadapnya, lalu bibirnya secara tiba-tiba menjadi bengkak, kadang kala kering akibat alahan terhadap bahan itu. Ini menjadi isu serius bagi penghidap penyakit eczema.

Kehidupan di bandar kadang kala memerlukan seseorang itu bekerja dengan waktu yang panjang. Secara tidak langsung menyebabkan bibir seseorang itu kering. Ini kerana stres dan kepenatan bekerja menyebabkan daya tahan tubuh (immune system) menjadi rendah. Maka senanglah berlaku jangkitan kuman di sekitar mulut dan bibir.

Sumber kredit: Dr Zubaidi Top image: Photo by Canva

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Norhasliza