Bibir Gelap, Lebam & Kusam Jadi Pink Semula, Rahsianya Guna Skrub DIY Gula Pasir & Minyak Zaitun

Share

Ramai wanita mengalami masalah bibir hitam. Masalah ini disebabkan oleh masalah kulit kering dan sensitif.

Disebabkan masalah ini, ramai wanita rasa kurang keyakinan diri kerana mempunyai bibir yang tidak sihat dan menutupnya menggunakan lipstik sehinggakan langsung tidak yakin jika keluar tanpa calitan lipstik di bibir.

Sebenarnya masalah bibir gelap, hitam dan kusam boleh dirawat sendiri di rumah. Pokok pangkalnya perlulah rajin.

Mungin ramai yang lupa bahawa bibir juga perlu di skrub sama seperti kulit wajah.. Hal ini kerana bibir juga punya sel kulit mati yang perlu disingkirkan..

Apabila sel kulit mati itu disingkirkan daripada bibir, barulah sapuan lipstik pada bibir jadi lebih rata dan ‘kemas.’

Berikut perkongsian Iza Abu Bakar tentang cara-cara membuat skrub bibir hanya menggunakan dua bahan sahaja iaitu minyak zaitun dan gula.

TIP CERAHKAN BIBIR SEMUDAH ABC

Apabila jarang melakukan skrub pada bibir, bibir akan jadi gelap dan kurang berseri.

Ada cara mudah dan selamat untuk mengembalikan seri pada bibir anda. Bahan-bahan pun mudah disediakan dan murah sahaja.

BAHAN BAHAN :
Minyak zaitun
Gula pasir (gula perang atau gula putih)

CARA CARANYA :
1. Titiskan minyak zaitun ke dalam bekas.
2. Masukkan gula pasir dan gaul rata hingga sebati.
3. Dengan menggunakan jari, sapukan campuran tadi pada seluruh bibir dan gosok selama 2 hingga 3 minit.
4. Kemudian barulah dibilas dengan air suam.
5. Amalkan petua ini secara konsisten In syaa Allah bibir anda akan semakin cerah dan berseri.

Selepas bibir dirawat, barulah lipstik yang disapu pada bibir mampu menaikkan seri pada wajah. Untuk menaikkan seri wajah, pemilihan lipstik juga amat penting.

Lipstik merupakan item yang wajib dimiliki oleh setiap wanita. Setiap kali keluar rumah, sekurang-kurangnya seorang wanita akan mengoleskan pelembap bibir agar tampak lebih berseri dan bermaya.

Tetapi awas ya, memakai lipstik dengan warna yang salah akan membuatkan wajah anda tampak kusam dan tidak berseri. Anda tentu pernah tersilap memilih warna gincu bibir yang sesuai dengan tona kulit anda bukan?

Jadi, jangan risau kerana Hijabista ada jalan penyelesaiannya.

3 pilihan warna gincu bibir ini pasti sesuai untuk semua jenis kulit dan ia tidak akan buat anda tampak kusam dan tidak bermaya. Warna yang wajib ada dalam beg tangan anda!

WARNA MERAH
Gincu bibir rona merah sentiasa menjadi pilihan dan tampak klasik tatkala dioles pada bibir. Jadi, gincu bibir rona merah memang wajib ada dalam beg tangan anda.

WARNA MAGENTA
Warna ini juga merupakan antara warna yang sesuai dipakai oleh semua jenis tona kulit. Warna pink tua ternyata lebih sesuai berbanding warna fushia pink yang akan membuatkan wajah anda lebih gelap dan kusam.

WARNA COKLAT
Warna coklat atau true brown pernah menjadi trend sekitar tahun 90-an dan warna ini dilihat semakin menjadi pilihan wanita masa kini. Tidak dapat dinafikan, warna coklat ini sesuai dipakai untuk semua jenis tona kulit. Kylie Jenner antara selebriti yang sering mengoles gincu rona coklat pada bibir mungilnya itu.

Kesimpulannya dengan perawatan bibir yang teratur dan juga pilihan lipstik yang tepat menjadikan ‘penampilan’ bibir anda jadi lebih menyerlah.

Sumber kredit: Iza Abu Bakar

Published by
Norhasliza