Jika anda biasa minum kordial, pasti akan terpandang wajah kanak-kanak yang menghiasi botol kordial jenama yang cukup dikenali ramai peminat kordial. Kini kanak-kanak yang menjadi ‘penghias’ botol kordial ini menginjak usia 22 tahun. Ketika menjadi penghias botol kordial tersebut, usianya baru lima tahun.
Walaupun poster itu sudah lama, tetapi syarikat berkenaan tetap mengekalkan wajah sebenar kanak-kanak kecil untuk tujuan promosi dan pemasaran. Pengguna juga sebenarnya lebih senang melihat senyuman ‘kanak’kanak’ ini setiap kali mahu membancuh kordial berkenaan.
Ramai yang menyangka wajah kanak-kanak ini milik Liyana Jasmay. Senyumannya saling tak tumpah persis Liyana Jasmay. Tetapi sebenarnya tanggapan itu salah kerana gambar kanak-kanak itu bukanlah Liyana sebaliknya milik Madihah Mohd Firdaus.Madihah Mohd Firdaus atau lebih mesra mesra dengan sapaan Dihah.
Pemilik sebenar wajah kanak-kanak itu sudah berubah menjadi seorang hijabi yang ayu dan menawan. Kecantikannya tetap terserlah dengan senyuman manis yang dilemparkan.
Menurut ibunya Fatimah Abdullah, dia mula membawa Madihah untuk menghadiri sesi uji bakat ketika Madihah berusia tiga tahun lagi. Akui Fatimah, dia sendiri tidak menyangka rezeki untuk menjadi penghias botol kordial jenama F&N ini berpihak kepada Madihah.
Madihah baharu sahaja menamatkan pengajiannya di peringkat Diploma dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Ampang. Gadis ini juga bakal menyambung pengajiannya di peringkat ijazah dalam bidang yang sama.
Sama seperti gadis lain yang seusia dengannya, Dihah juga gemar bermekap. Walau bagaimana pun untuk produk mekap, Madihah akan selektif. Mungkin kerana gadis ini memiliki kulit wajah yang agak sensitif. Madihah mengakui bahawa dia gemar belajar mekap melalui Youtube.
“Saya sukakan solekan glam. Bermain dengan warna-warna solekan seakan memberi kepuasan ketika ‘menconteng’ wajah. Warna-warna coklat menjadi pilihan saya. Ketika bersolek, saya akan lebih memberi tumpuan solekan pada bahagian mata. Untuk bahagian mata biasanya saya suka mengaplikasikan gaya solekan ‘cat eye.’
“Sebenarnya saya mula berminat dengan dunia mekap sejak masih kecil lagi. Ketika itu ibu saya mahir mekapkan pengantin. Pendek kata saya sudah mula didedahkan dengan dunia solekan sejak usia saya masih ‘hijau’ lagi. Ibu saya pun tidak kisah bila saya bermain-main dengan peralatan mekapnya,” cerita Madihah.
Untuk pilihan baju raya pula, gadis manis ini sukakan gaya fesyen yang ringkas namun tampak elegan. Sesuai dengan usianya yang muda, Dihah gemar bergaya terutama untuk ‘rakaman’ OOTD di laman Instagramnya yang kini mempunyai lebih 33,000 pengikut.
“Saya sukakan warna-warna nude, pastel, coklat dan juga merah jambu lembut. Yang pasti rekaan fesyennya serba ringkas dan tidak terlalu sarat.
“Hijab pula, saya lebih sukakan hijab daripada fabrik mix satin dan juga sifon. Kedua-dua fabrik ini menjadi pilihan saya kerana ia mudah dibentuk dan jatuh terletak ketika digayakan."
UNTUK ARTIKEL PENUH, DAPATKAN MAJALAH HIJABISTA VERSI E-MAGAZINE. MUAT TURUN APLIKASI EMALL DI GOOGLE PLAY DAN APP STORE.
KLIK LINK INI: http://emall.karangkraf.com/Shop/Magazine/HIJABISTA