Biarpun Tanpa Tangan, Gadis Ini Turut Bantu Jahitkan Baju PPE Menggunakan Kaki

Share

Walaupun tiada tangan, Norfarrah Syahirah Shaari tidak pernah menjadikannya sebagai kekurangan malah membuktikan pada semua yang dia juga boleh melipat cebisan kain dengan sempurna dengan menggunakan jari kaki.

Dengan tanda pagar #darikomunitiuntukkomuniti, videonya yang tular dalam media sosial meraih hampir 5,000 tontonan selepas dikongsikan penyanyi yang juga penyampai radio Kool FM, Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin.

Video berdurasi 1 minit 59 saat itu menarik perhatian ramai lebih-lebih lagi menjadikan sesiapa yang melihatnya terkesima dengan keupayaan gadis luar biasa itu.

Lincah sahaja melihat jari jemari kaki kakitangan Kolej Komuniti Teluk Intan kelainan upaya itu menjahit kelengkapan perlindungan diri (PPE) petugas perubatan barisan hadapan (frontliner).

“Ramai yang nak tengokkan macam mana saya menjahit guna kaki. Ok, saya tunjuk skill saya menjahit guna kaki je dengan cara saya sendiri. Semangat nak menjahit baju PPE Frontliner ni.

“Ni je yang mampu saya dan team staf kolej komuniti Teluk Intan serta beberapa sukarelawan tukang jahit sekitar Teluk intan yang semangat nak membantu. Semoga urusan kami dipermudahkan, amin,” jelasnya.

Siapa sangka, dirinya juga yang merupakan seorang penceramah motivasi itu terus memberikan inspirasi kepada orang ramai dengan beberapa videonya yang tular memandu kereta dan tutorial memakai selendang serta telekung.

Projek amal dan tanggungjawab sosial (CSR) #DariKomunitiUntukKomuniti itu melibatkan 10 sukarelawan yang juga kakitangan Kolej Komuniti Teluk Intan termasuk Norfarrah Syahirah.

Aktiviti menjahit PPE untuk frontliner Hospital Teluk Intan dan Klinik Kesihatan Teluk Intan oleh team sukarelawan itu bersama 30 tukang jahit komuniti yang tinggal di sekitar 10 kilometer dari kolej terbabit.

Sebanyak 400 meter kain PPE yang dipotong di kolej dan di rumah beberapa tukang jahit dikumpulkan sebelum diagihkan kepada sukarelawan untuk dijahit di rumah masing-masing.

kredit: Sinar Plus

Published by
Qistina