Nama Lesti Kejora mungkin tidak begitu dikenali dalam kalangan penggemar dunia seni tempatan, namun bagi yang memilih untuk menikmati muzik dangdut dan asli pasti kenal dengan sosok wanita anggun ini. Merupakan antara artis muda yang berjaya dalam gelanggang seni tarik suara di Indonesia, komposer terkenal Malaysia, Allahyarham Pak Ngah, pernah mecipta lagu untuknya.
Ketika muncul dalam dunia hiburan Indonesia pada usia 15 tahun dalam rancangan D’Academy musim pertama dan bergelar juara, penampilan Lesti tidak berhijab. Namun pada awal 2019 ketika berusia 20 tahun dia memutuskan untuk tampil menutup aurat dengan baik. Kini pada usia 22 tahun dia antara penyanyi genre dangdut paling berjaya dan kaya di Indonesia.
.
Baru melangsungkan perkahwinan dengan pelakon, Rizky Billar, perkahwinan gilang gemilang mereka dipancarkan secara langsung menerusi saluran televisyen Indosiar dan mencapai jutaan tontonan oleh rakyat Indonesia.
Paling menarik perhatian Hijabista adalah busana yang digayakan penyanyi bersuara merdu ini. Polos tanpa sebarang perincian sulaman mahupun batuan, namun manipulasi fabrik yang dilakukan cukup mewah dan menakjubkan. Teknik draping dari bahagian pinggang busana sehinggalah ke lengan memebrikan nafas yang romantis dalam paduan serba moden.
Busana hasil buatan pereka fesyen terkenal Indonesia, Hian Tjen, menampilkan rekaan gaun perkahwinan yang sangat sofistikated ini. Setiap mata pastinya terpukau dengan pilihan Lesti dan pastinya dia punya citarasa tinggi dalam memilih busana. Apa yang menarik disebalik rekaan busana itu terselit satu sulaman dengan perkataan ‘Leslar’ yang merupakan nama pendek gabungan Lesti dan Rizky Billar. Ringkas namun penuh makna.
.
Gaya berhijab Lesti juga tidak diabaikan apabila pemilihan menggayakan hijab penuh menutup leher dan kemasan di kepala cukup diselitkan dengan hiasan kepala berbatuan mewah. Info menarik tentang penghasilan gaun perkahwinan ini, pasuka Hian Tjen hanya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkannya. Walaupun begitu, hasil tetap mengagumkan.
Sumber foto: Instagram Lesti Kejora & Hian Tjen