Bertemu Suami Di Kelab Malam, Kini Sama-Sama Berubah Ikuti Kelas Ngaji Tiap Minggu

Share

Tuhan jika hendak beri hidayah, bila-bila masa saja Dia boleh beri jika Dia berkehendak. Sebab itulah kita tidak boleh menghukum pahala dan dosa atau masa lampau seseorang itu seperti kita suci dan bersih dari dosa.

Kisah yang tular baru-baru ini di laman Twitter mengenai Murni Hidayah Azman Tang,23, yang pertama kali bertemu suaminya, Muhammad Azmi Che Muda,31, di kelab malam menarik perhatian ramai.

Mesra dipanggil Ninie, dia berkata kepada mStar bahawa dia bertemu dengan suaminya buat pertama kali sekitar pertengahan tahun lalu di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur.

Dalam tempoh perkenalan yang singkat,mereka telah melangsungkan perkahwinan dan tidak lagi menjejakkan kaki ke kelab malam.

Sama-sama sertai kelas mengaji Al-Quran

Tambahnya, mereka sama-sama menyertai kelas mengaji Al-Quran pada Ramadhan lalu dan nekad berubah bersama ke arah kebaikan.

“Masa tahun 2018, sebelum jumpa suami pun saya sudah memperlahankan aktiviti ke kelab malam, tapi waktu itu ada kawan ajak jumpa di Trec.

“Saya pergi masa itu bukan untuk enjoy, tapi niat untuk teman kawan sahaja. Masa tulah jumpa suami saya, dia tegur dan cakap nak berkawan.

“Saya terpikat sebab dia respect saya, dia tak sentuh saya. Saya rasa selesa, kenapa dia nak protect padahal kami tak kenal pun,” jelasnya.

Katanya, dia dan suami ada menjejakkan kaki ke kelab malam dua kali selepas berumah tangga.

Tekad baiki diri

Namun, dia mula sedar dan berniat untuk berubah sebelum nekad mengajak suami untuk memperbaiki diri dan tidak lagi ke mana-mana pusat hiburan.

“Bila pergi sana, tiba-tiba nampak ramai anak Melayu termasuk saya. Saya terfikir, sampai bila nak duduk sini?

“Saya paksa diri dan ajak suami berubah. Saya pun bukannya baik. Namun, sebagai isteri, saya kena ajak dia ke arah kebaikan,” ujarnya lagi.

Masa untuk bertaubat sudah singkat.

Bercerita mengenai kelas mengaji,suaminya begitu bersungguh-sungguh sewaktu dia menyuarakan hasrat untuk menyertai kelas Al-Quran.

“Dulu waktu kecil boleh baca. Tapi bila dah lama tinggal, kena polish baliklah.

“Saya minta suami cari kelas sebab teringin nak baca dengan lancar. Tanpa bertangguh, dia terus cari.

“Kalau kejut dia bangun waktu Subuh pun sama. Sekali kejut terus dia bangun. Dia tak akan bertangguh walau lima minit.

“Saya juga ada beli buku untuk belajar agama. Saya sedar, kita manusia dah berada di akhir zaman. Memang ada masa untuk bertaubat, tapi masa tu dah singkat, “ kata Ninie.

Sementara itu di Twitter, ramai yang terharu dengan kisahnya yang begitu menginspirasikan dan berharap agar Ninie yang sedang hamil terus istiqomah bersama suaminya.

kredit: mStar, twitter @ninietang143

Published by
Qistina