Berniaga Sambil Bersedekah, ‘Carwash’ Lelaki Ini Tawar Khidmat Cuci Van Jenazah Percuma, Rezeki Luas Kini Miliki 14 Lori!

Share

Berniaga merupakan salah satu cara untuk mencari rezeki yang halal, namun ia juga mempunyai banyak cabaran seperti kebergantungan kepada ekonomi dan kos barangan. 

Dalam ekonomi yang tidak menentu kini, pasti ramai peniaga yang ingin menyelamatkan perusahaan atau perniagaan yang diusahakan masing-masing selama ini. Bahkan, berniaga sambil bersedekah kini tidak lagi dianggap relevan. Namun, berbeza buat insan ini.

Yusuf Abd Latif, 37, merupakan pemilik sebuah carwash yang masih lagi percaya akan konsep berniaga sambil bersedekah. Dia bersama isterinya Salina Yatiman, 36, sering memberikan cucian percuma untuk van jenazah di sekitar Segamat, Johor.

Ingin berbakti kepada masyarakat setempat.

Menurut Yusuf, idea untuk memulakan usaha terbabit tercetus secara spontan, dan dianggap sebagai salah satu cara untuk berkhidmat kepada penduduk setempat.

“Kami sudah lama memberikan cucian percuma buat van jenazah. Tetapi sebelum itu, kami tidak berkongsi di media sosial risau dikecam kerana mahu menunjuk. Kebetulan baru-baru ini masa cuci van jenazah, isteri ambil gambar. Jadi kami kongsi di Facebook.

“Selalunya apabila van jenazah datang untuk mencuci, saya memang tak ambil duit. Lagi-lagi kalau musim hujan, van jenazah kotor selepas masuk ke tanah perkuburan. Bila keluar, habis terpercik lumpur pada van jenazah” katanya menerusi mStar.

Artikel berkaitan: Sedekah Atas Niat Yang Betul Bukan Bermegah, Ikuti Adab Yang Patut Di Contohi

Disebabkan itu, dia tidak lokek untuk memberikan servis cucian secara percuma. Bahkan, dia juga tidak mengambil upah mencuci kereta peronda polis.

“Selain van jenazah, saya juga tak ambil duit kalau kereta polis yang ronda tu datang nak cuci. Sebab mereka pun meronda, jaga ketenteraman di sini. Ibaratnya dia jaga kita, kita jaga dia,” ujar Yusuf. 

Apa yang menarik perhatian penulis adalah lelaki ini memang mempunyai minat yang mendalam untuk berbakti kepada masyarakat setempat. Mana tidaknya, dia yang turut mengusahakan khidmat pengangkutan turut berkongsi pernah menggunakan lori miliknya untuk mengangkut barangan mangsa banjir.

Sebahagian lori milik Yusuf

“Selain itu, kalau terjumpa motor rosak tepi jalan, saya juga memang akan bantu mereka. Saya dah terasa benda ni, Allah bayar cash. Bila kita tolong tanpa mengharapkan wang, banyak urusan dipermudahkan.

Lelaki yang memiliki cahaya mata seramai empat orang ini memanjatkan rasa syukur dan mengakui bahawa perniagaan carwash yang diusahakan sejak tahun 2012 itu mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat. Dia juga berharap perniagaannya akan lebih maju pada masa akan datang. 

“Alhamdulillah, sambutan okay di sini. Kita pula terletak di pekan. Belakang ni estet. Jadi bila kereta-kereta dan motor dari estet nak keluar ke bandar, mereka datang cuci dulu kesan tanah merah yang melekat.

Disebabkan sibuk dengan khidmat pengangkutan yang diusahakan, perniagaan carwash tersebut telah diambil alih oleh isterinya. Hasil daripada amalan ‘bersedekah’ dan sering membantu orang ramai, Yusof kini telah memiliki 14 buah lori secara keseluruhan.

Artikel berkaitan: ‘Bukan Semua Yang Kita Miliki Itu Adalah Milik Kita’- PU Amin Kongsi Manfaat Jadikan Sedekah Sebagai Lifestyle

Sumber: Mstar

+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
S.Amira