Bukan mudah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Nabilah Bahrin atau lebih dikenali sebagai Kak Nab telah berkongsi mengenai pengalaman suka dukanya yang bermula dengan hanya menjual barangan melalui ‘car boot sales’
Pasti anda familiar dengan figura seorang ini yang sering tular dengan video makeup di laman media sosial iaitu ‘Mudahnya makeup-by kaknab’. Bukan sahaja video makeup, kini dia juga sering tular di TikTok dengan video-video makanan. Kak Nab juga sering menjadi kegemaran ramai dan terkenal dengan celotehnya (‘beletiaq’) dalam loghat utara. Suka betul dengar!
@nabilahbahrin_ Kaknab layan ikan pulak harini .. nyumss #makanlokal #fypage #fyp #kaknab #kaknabmakan #kedahfoodie ♬ original sound – nabilahbahrin_
Berusia 31 tahun, Siti Nabilah Dol Bahrin atau Kak Nab ini telah memiliki empayar sendiri dalam bidang kosmetik iaitu Averly Cosmetics dan juga butik pakaian iaitu Nabella Butik. Mari dalami kisah usahawan ini dengan lebih lanjut!
Memetik perkongsiannya bersama Nona, usahawan wanita ini mendedahkan bahawa dia mula berniaga kira-kira lapan tahun lepas.
“Terdetiknya mahu berniaga sekitar tahun 2014. Dengan hanya berbekalkan modal RM500 dari kawan lelaki yang sekarang dah jadi suami, saya gigih jual tudung dekat Pasar Tani, Pasar Malam termasuk Car Boot Sale.”
“Sebelum ini saya pernah bekerja di sektor perbankan. Pagi kerja di bank, sebelah malam pula saya berniaga di pasar. Memang letih tapi puas. Alhamdulillah, saya sentiasa dapat sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan.” ujar usahawan wanita ini.
Artikel berkaitan: Bukan Mudah Keluarkan Produk Kecantikan Lokal, Hijabi Ini Imbas Setahun Perjalanan Bergelar Usahawan
Kak Nab juga telah meluahkan rasa syukur kerana melalui perniagaan ini dia belajar erti hidup susah.
“Sejak zaman universiti lagi saya dah mula berniaga kecil-kecilan. Saya jual barang-barang terpakai kepunyaan sendiri secara Door to Door. Ketuk pintu rumah orang untuk menjual sebab kawasan tersebut jauh dari kedai dan supermarket.
“Sebenarnya sejak awal berniaga, untung yang saya dapat tak adalah banyak mana. Lebih kepada kepuasan dan bantu tampung perbelanjaan yang kurang.” tambahnya lagi.
Kak Nab juga telah berkongsi mengenai keseronokan bekerja sendiri dan titik permulaan perniagaannya iaitu Nabella Butik.
“Seronoknya berniaga sebab kita boleh rancang masa sendiri, tambahan pula bila dah ada anak. Sebab itu jugalah saya berhenti kerja dan serius berniaga. Kira-kira dua tahun kumpul duit jualan tudung barulah saya mampu buka butik dengan kos RM15,000.”
Menurutnya, Nabella Butik ini pada awalnya berkonsepkan vendor, tapi bila dah ada modal lebih, dia mula membawa masuk barang sendiri seperti baju, tudung,
handbag, kasut dan macam-macam aksesori.
Setelah itu, apabila dia sudah dikenali dan mempunyai ramai pelanggan, dia cuba untuk mengembangkan perniagaannya dalam bidang kosmetik pula iaitu Averly Cosmetics. Produk kosmetiknya itu kini sudah pun memiliki empat produk iaitu Beauty Oil, Foundation, Krim Jerawat dan Magic Gloss.
Bak kata pepatah ‘bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian’. Perjalanan untuk mencapai kejayaan ini bukannya sesuatu yang mudah dan pasti ada dugaan tersendiri. Buat usahawan ini, dia juga pernah mengalami kerugiaan sebanyak RM20,000 akibat ditipu.
“Untung hasil jualan di butik, saya labur RM20,000 beli kain untuk koleksi raya. Waktu itu saya ambil khidmat orang tengah. Bila dapat sample, kain memang cantik dan kualiti pun ok. Sebaik saja kain sampai, saya terus hantar jahit tanpa periksa keadaan kain.
“Tailor pula tak maklumkan apa-apa. Hampir tiga puluh peratus dah siap dan dihantar kepada saya untuk cuba..Rupanya, material kain tersebut mudah koyak dan pecah. Sudahnya, saya terpaksa juga bayar kos jahit dan buang semua kain sebab dah tak boleh pakai” ujarnya lagi.
Artikel berkaitan: Pak Cik Terkejut Dengar Graduan Ijazah Jual Takoyaki Sepenuh Masa, Ambil Pengalaman Itu Sebagai Pembakar Semangat
Walaupun pernah ditipu berpuluh ribu ringgit, ianya tidak mematahkan semangat usahawan ini untuk terus bangkit. Dengan hanya berbekalkan usaha dan bermula daripada bawah, kini sudah membuahkan hasil buat usahawan ini. Para hijabi boleh menjadikan kisah Kak Nab ini sebagai inspirasi dan pembakar semangat di masa hadapan.
Sumber info dan gambar: Nona dan nabilahbahrin_
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.