“Ya, saya sudah berhijrah dan mengenakan hijab sepenuhnya. Bagaimanapun, tak perlulah saya ulas panjang lebar, lagi pun, saya rasa tidak perlu diumumkan.
Heroin drama Titian Cinta, Farah Nabilah mengakui kini sudah berhijab sepenuhnya namun enggan memberikan penjelasan lebih mengenai penampilan terbaharunya itu.
“Cuma, saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan saya dan segala kebaikan kepada keluarga,” jelas isteri kepada Mohammed Amirul Yunus ini.
Sebelum ini, Farah dilihat sering mengenakan selendang sebelum memuat naik video berhijab dengan sempurna ketika mempromosikan produk bayi kegunaan anak lelakinya, Andre Omar menerusi laman Instagram tiga hari yang lalu.
Farah juga turut bersyukur apabila melihat ramai rakan artis lain yang berhijrah penampilan baru-baru ini.
“Saya tumpang gembira dengan penghijrahan mereka. Semoga kita terus dilindungi dan kuat bergelut dengan ujian pandemik COVID-19 ini,” ujarnya.
kredit: BH Online