Hari graduasi memang menjadi hari yang sangat bermakna buat mereka yang telah tamat belajar. Segala usaha titik peluh belajar selama ini dapat diraikan bersama-sama rakan seperjuangan dan juga ahli keluarga yang tercinta.
Tidak terkecuali, Nor Farhatul Fairuzah Panut yang merupakan Juara Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa 2019 berkongsi mengenai hari bersejarahnya itu di laman sosialnya apabila berjaya menamatkan pengajian Tingkatan Enam (Atas) dalam jurusan syariah di Sekolah Menengah Agama Perempuan Labu, Negeri Sembilan.
Berkongsi mengenai gaya hidupnya, sejak kecil lagi beliau sudah terbiasa mengamalkan membaca al-Quran sebelum ke sekolah mahupun sebelum keluar bermain bersama rakan sebaya.
Walau terlewat sekalipun ke sekolah, beliau, empat kakak serta abangnya perlu memenuhi rutin harian membaca al-Quran yang ditetapkan ibu bapanya.
Hasil berkat asuhan secara konsisten itulah membuatkannya berjaya muncul sebagai johan qariah MTHQA ke-61 yang sertai 74 peserta dari 41 negara serta paling muda dalam kalangan qariah.
Menurut anak bongsu daripada lima beradik ini, beliau tiada petua khusus bagi menjaga kelunakan suaranya tetapi mengelak minuman berais, makanan berminyak dan terlalu pedas untuk menjaga suara sebelum menyertai pertandingan.
Selain latihan bersama ibunya, Jaliah Simin, Nor Farhatul Fairuzah sanggup menjelajah ke seluruh negeri untuk menimba ilmu bacaan al-Quran dan taranum daripada mantan johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan.
“Saya akan manfaatkan ilmu itu untuk panduan hidup. Saya sentiasa bersedia berkongsi ilmu itu supaya memberi inspirasi kepada remaja lain.
“Cuma saya harapkan, lebih ramai anak muda gunakan ilmu ini sebagai terapi diri, kerjaya dan panduan hidup. Seperti saya, rasa kosong tanpa membaca al-Quran. Bacalah ilmu ini selagi ada masa,” katanya.
kredit: berita harian, instagram @farhatulfairuzah