Menutup aurat bukan pilihan tapi wajib. Hijab atau tudung pula bermaksud pakaian yang menutup aurat wanita Muslimah pada bahagian kepala dan sekitarnya. Kewajipan itu disebutkan dalam al-Quran dan hadis.
Firman ALLAH SWT: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah
kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah an-Nur, ayat 31)Baru-baru ini tular mengenai penampilan bertudung seorang pesilat negara wanita ketika menyertai Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Ayer Keroh, Melaka. Beliau dikenali sebagai Merrywati Manuil yang berasal dari Sandakan, Sabah.
Penampilannya yang bertudung telah menarik perhatian masyarakat. Ramai yang menyangka dia ialah seorang gadis Melayu Islam. Dalam sebuah penulisan di Facebooknya, Merrywati mengatakan beliau memakai tudung semasa pertandingan kerana ingin menghormati kesenian silat Melayu walaupun beliau bukan beragama Islam.
Malah baginya, tudung membuatkan dirinya nampak lebih sopan, kemas dan beradab semasa pertandingan. SubhanAllah. Jika kita perhatikan wanita ini bukan beragama Islam, tetapi hatinya turut merasa selesa mengenakan tudung yang menjadi kewajipan buat wanita Islam. Malahan, dia sanggup mengenakannya dalam lapangan silat yang kita tahu memerlukan pergerakan yang aktif, dan lincah.
Allahuakbar, ini menjadi bukti bahawa dengan bertudung dan menutup aurat tidak menyekat seseorang wanita itu untuk melakukan apa jua aktiviti termasuklah aktiviti lasak sekalipun.
Jadikan kisah ini satu suntikan semangat dan inspirasi buat kita untuk terus istiqamah menutup aurat dengan sempurna. Besar ganjaran buat mereka yang istiqamah di jalan kebaikan. Mudah-mudahan juga, Allah memberikan taufiq dan hidayahnya buat sahabat-sahabat kita yang belum beragama Islam.
Didoakan buat yang sedang berusaha untuk menutup aurat dengan sempurna semoga diberi kemudahan dan kekuatan dalam menjalankan perintah Allah. Buat mereka yang sudah sempurna menutup aurat, mudah-mudahan kita terus istiqomah menjalankan perintah Allah yang satu ini hingga ke akhir hayat. Allahumma ameen.
Daripada Syahr bin Hausyab, beliau berkata:
قُلْتُ لِأُمِّ سَلَمَةَ:يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ قَالَتْ كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ: (يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) قَالَتْ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَكْثَرَ دُعَاءَكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَ يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلَّا وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ
Maksudnya: “Aku katakan kepada Ummu Salamah, “Wahai Ummul Mukminin, apakah doa yang sering dibaca Rasulullah SAW apabila Baginda bersamamu? Beliau berkata, “Doa beliau yang paling banyak adalah, “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku diatas agama-Mu.”
Ummu Salamah berkata, “Wahai Rasulullah, berapa kerap anda berdoa, “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku diatas agama-Mu?”
Baginda berkata, “Wahai Ummu Salamah, sesungguhnya tidak ada seorang manusia pun melainkan hatinya berada di antara dua jari di antara jari-jari Allah. Siapa yang Allah kehendaki maka Dia akan meluruskannya dan siapa yang Allah kehendaki maka Dia akan memalingkannya.” (HR Tirmizi, hadis hasan)
Sumber kredit: Ustazah Asma’ Harun Top image: Photo by hasan-almasi from Unsplash
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.