“Berdoa Biarlah Dengan Ilmu Supaya Kita Tahu Apa Yang Kita Minta”- Deep Perkongsian Ustazah Nazirah

Share

Kita perlu sentiasa meletakkan keyakinan bahawa setiap doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT tidak akan ditolak. Apabila kita yakin Allah itu Maha Pemurah, Maha Kaya, tentu kita juga akan yakin Dia mampu memakbulkan apa sahaja yang kita hajatkan.

Sebab itulah kita dianjurkan berdoa dengan menggunakan nama-nama Allah yang baik mengikut keperluan doa itu.

Kita memang akan bahagia bila doa kita dimaqbulkan seperti yang dihajatkan, namun hakikatnya kita lebih bahagia jika ia disimpan, kerana ia akan menjadi nikmat kekal, dan sudah tentu kita lebih perlu dijauhkan daripada keburukan yang kita tak mampu tanggung.

Berikut perkongsian Ustazah Nazirah Nur Mukmin.

Ada orang mesej saya tanya betul ke doa ini?

Nak jawab pun serba salah.

1) Doa eloklah jika dipelajari dengan ejaan Arabnya dan berguru atau ditanyakan pada guru yang sahih. Kalau ambik direct yang melayu, pada huruf-huruf yang mudah dikelirukan seperti ء dan ع ada perbezaan makna yang sangat besar.

2. Doa yang baik kata ulama datangnya dari Al-Quran dan hadis. Yang lebih penting bacalah doa apa pun Allah maha mendengar segala permintaan hambanya. Cuma terkadang ada doa yang cepat dimaqbulkan, sebahagiannya ditangguhkan dahulu bersesuaian dengan keperluan si peminta hajat tersebut. Maka bersangka baiklah.

3.Ayat Al-Quran yang dicatatkan dalam ni ada yang tidak penuh. Mungkin pencatatnya tertinggal ketika mendengar kuliah. Maka saya catatnya surah dan ayatnya untuk puan2 yang bertanya rujuk. Semoga membantu.

4. Surah Ali Imran : 38

رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Surah ali imran : 173

حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

Surah As saafat :100

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

Doa selusuh orang beranak itu wallahualam. Saya tak rajin jumpa lagi. Bunyinya pun kalau di matching dengan wording arab agak sukar untuk diteka.

Apa pun jangan mengikut ajaran orang secara membuta tuli. Biarlah berdoa dengan ilmu supaya kita tahu apa yang kita minta.

Tak semesti lafaz bahasa Arab. Bahasa Melayu pun Allah faham sebab Dia yang ciptakan segala bahasa di dunia ini. Yang penting jangan putus asa berdoa.

BAGAIMANA MENDAPATKAN DOA YANG MUSTAJAB?

Pertama: Berdoa dengan Penuh Harap dan Yakin

Antara adab berdoa, seseorang itu perlulah meminta kepada Allah SWT dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya agar permintaan itu dimustajabkan. Demikian juga, seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap (agar doa dimustajabkan) dan juga perasaan takut (dari doa tertolak). Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. (Surah al-Anbiya’: 90)

Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub AS berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan. Nabi Yunus AS berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan Nun, kemudian Allah mustajabkan doanya. Berikutnya, Nabi Zakaria AS juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak. Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah SWT.

Begitu juga berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa.

Riwayat al-Tirmizi (3479)

Kedua: Memuji Tuhan Sebelum Berdoa

Antara adab dalam berdoa adalah dengan memuji Allah SWT sebelum meminta sebarang hajat. Hal ini sebagai contoh mudahnya adalah dengan melihat kepada bacaan surah al-fatihah yang dibacakan oleh seseorang. Ia berdasarkan sebuah riwayat yang panjang daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW menceritakan berkenaan bacaan al-Fatihah di dalam solat. Lalu Allah SWT membahagikan solat kepada dua bahagian, untuk diri-Nya dan untuk para hamba-Nya.

Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat 5 pujian daripada ayat pertama hinggalah ke ayat yang ke lima kepada Allah SWT. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Maksudnya: Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus. (Surah al-Fatihah: 6)

Demikian juga seperti yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang menceritakan berkenaan doa Nabi Ibrahim A.S, baginda memulakan dengan katanya:

الَّذِي خَلَقَنِي فَهُوَ يَهْدِينِ (78) وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ (79) وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ (80) وَالَّذِي يُمِيتُنِي ثُمَّ يُحْيِينِ (81) وَالَّذِي أَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لِي خَطِيئَتِي يَوْمَ الدِّينِ

Maksudnya: Dialah Tuhan yang telah menciptakan aku maka Dia jugalah yang memberikan petunjuk. Dialah Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang memberikan kesembuhan. Dan Dialah Tuhan yang mematikan aku kemudian menghidupan semula (diriku). Dan Dia jugalah Tuhan yang sangat aku harapkan supaya Dia mengampunkan kesalahan-kesalahanku pada hari akhirat.(Surah al-Syu’ara: 78 – 82)

Kesemua ungkapan di atas ini, jika diteliti ia adalah suatu puji-pujian seorang hamba kepada Tuhannya. Maka Nabi Ibrahim AS tidak terhenti sekadar lima pujian ini, bahkan baginda menyambungnya dengan lima buah permintaan kepada Allah SWT melalui firman-Nya:

رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ (83) وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ (84) وَاجْعَلْنِي مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ (85) وَاغْفِرْ لِأَبِي إِنَّهُ كَانَ مِنَ الضَّالِّينَ (86) وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ

Maksudnya: Tuhanku, berilah hikmah kepadaku dan golongkanlah diriku bersama dengan orang-orang yang soleh. Berilah kepadaku lisan yang benar buat orang-orang yang terkemudian. Dan jadikanlah aku di antara mereka yang mewarisi syurga al-na’im. Dan ampunkanlah bapaku, sesungguhnya dia tergolong dalam kalangan mereka yang tersesat. Dan janganlah Kau hinakan aku pada hari kebangkitan.


Surah al-Syu’ara’ (83-87)

Justeru, dapat kita fahami bahawa petunjuk qurani di dalam berdoa adalah dengan memulakannya dengan ucapan pujian-pujian kepada Allah SWT.

Sebagai tambahan, cukuplah kami nyatakan di sini dua hadis untuk melengkapkan jawapan di atas.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللَّهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرَبِ، فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ

Maksudnya: “Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan.”
Riwayat al-Tirmizi (3382) dan Abu Ya’la dalam Musnadnya (6396)

Daripada Abi Hurairah R.A katanya, Rasulullah SAW bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam hal keadaan kamu yakin dengan penerimaan Tuhan. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak menerima doa daripada hati orang yang lalai.

Riwayat al-Tirmizi (3479), al-Hakim (1817) dan Ibn Hibban (1/372)

Semoga Allah menjadikan diri kita sentiasa tabarru’ dan munajat kepada-Nya sama ada ketika senang atau susah. Amin.

Sumber kredit: Facebook Ustazah Nazirah Nur Mukmin dan laman web Mufti Wilayah

Published by
Norhasliza