Perkahwinan bukanlah sesuatu perkara yang remeh-temeh. Ianya melibatkan dua insan yang bersetuju untuk sentiasa bersama tidak kira susah atau senang. Termasuklah saling membantu satu sama lain. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Adatlah dalam rumah tangga, adakalanya berselisih faham. Namun jangalah jadikan alasan untuk beralih arah.
Tiada manusia yang sempurna. Setiap manusia ada kekurangan masing-masing. Tidak perlulah terus-terusan mencari yang sempurna kerana sampai bila-bila pun kita tidak akan berjumpa dengan insan yang sempurna.
Dalam rumah tangga, suami dan isteri itu saling memerlukan. Suami melengkapkan isteri manakala isteri melengkapkan apa yang kurang pada suami. Itulah sebenarnya tujuan sesebuah perkahwinan. Jika kesempurnaan yang dicari maka sampai bila-bila pun kita tidak menemui kesempurnaan yang diimpi-impikan.
Berikut perkongsian Mizan Dzai tentang mengapa dalam rumah tangga perlu ada toleransi kerana suami dan isteri itu saling melengkapi antara satu sama lain.
BENDA BOLEH BAIKI JANGAN DIGANTI
Ada isteri lembut bicara menyambut suami di depan pintu sambil menunggu kucupan di dahi tapi masak air pun boleh kering, sudahnya bungkus tomyam dan kailan ikan masin di kedai Kak Yah Utara.
Ada isteri yang garang bak singa tapi setiap kali memasak mulut terkumat-kamit membaca selawat dan doa agar rumahtangga bahagia melalui kesedapan masakannya.
Ada isteri pandai melawa, segak bergaya sendat berbalut nangka tapi bila bab melayan suami, bukan main payah sampai nak kena suami mengamuk baru nak dengar kata.
Ada isteri sekadar cukup muka berpelembab dan pencuci tapi hidup di dunia dan akhiratnya demi redha suami, setiap nafas, bangun dan tidurnya hanya buat syurga yang kekal abadi.
TAK SEMPURNA
Sebab itu kita yang lelaki dan suami ni jangan la tak sudah-sudah pandang orang lain yang kononnya lebih baik dari isteri di sisi. Takkan pernah habis kalau nak dicarinya kekurangan isteri.
Kereta rosak pandai baiki. Kereta dah lama pandai pula dimodifikasi tapi isteri gemuk lonyot sana sini terus dicari ganti. Tuan puan, ini kita panggil bangang abadi.
Suami, sesekali rajinkan diri jenguk cermin kat rumah tu. Entah-entah kita punya kekurangan lagi banyak dari isteri. Silap-silap isteri yang banyak berkorban sepanjang hidup bagai hamba abdi.
Ini tidak, nampak bini orang lain lawa, dijelingnya si isteri.
Nampak bini orang lain manja, dibanding-bandingkannya dengan si isteri.
Nampak bini orang lain ada bisnes atau kerjaya masyuk bergaji, dikutuk-kutuknya isteri sendiri.
Nampak bini orang lain sempurna serba serbi, gatal juga kepala nak berpoligami kononnya melengkapi kekurangan si isteri.
LAYAKKAH NAK BERPOLIGAMI
Dalam sedar atau tidak, ramai sebenarnya cemburukan kehidupan yang kita miliki. Sebab tu kena banyakkan bersyukur, hargai apa yang sudah tentunya jelas depan mata sendiri.
Kita yang lelaki ni kalau nak berpoligami tapi keluarga sedia ada pun masih porak peranda, isteri pun kita tak pernah ajak solat bersama, isteri bahagia atau pun tidak sepanjang bernikah pun tak pernah kita bertanya, tak usah la.
Poligami itu tak salah, yang selalunya salah adalah cara yang kita guna pakai untuk ke arah berpoligami. Perhalusilah poligami itu sebaiknya, bukan semata-mata mampu kewangan, mampu kebatinan.
Nak mengurat pengganti atau madu buat isteri, tunjuklah kita hebat bukannya sebat semua kebodohan dunia dengan menceritakan aib dan keburukan isteri. Bukan dengan meletakkan semua kesalahan pada isteri sebagai lesen untuk kita berpoligami.
Kalaupun dah tak sayang dah tak cinta, sampaikanlah niat pada walinya. In shaa Allah bapa, abang atau saudara lelakinya akan bawa dia pulang ke rumah keluarga.
JADILAH LELAKI YANG BERTANGGUNGJAWAB
Bukannya diseksa dengan menyakiti hati atau batang tubuhnya. Be a gentleman. Lelaki yang kuat adalah lelaki yang mampu menahan talak atau perasaan marah pada isterinya.
Lelaki yang sabar pula ialah lelaki yang mampu mendidik dan membentuk isterinya manakala lelaki yang rugi adalah lelaki yang menjandakan isteri mereka untuk janda pilihannya.
Sabar, baik isteri mahupun suami.
Jadilah pasangan yang kuat menghadapi dugaan hidup dalam menjalani bahtera cinta sejati. Jadilah lelaki contoh untuk anak-anak lelaki kita kagumi. Jadilah lelaki contoh untuk anak-anak perempuan kita kahwini nanti.
Tidak pernah wujud isteri yang sempurna, apatah lagi suami yang cukup segalanya. Jangan dibuka ruang buat haiwan yakni pihak ketiga yang menunggu saat dan detik untuk menyondol rumahtangga kita.
Perkahwinan adalah institusi yang menemukan pasangan dan rakan kongsi hidup yang sehati dan sejiwa untuk sama-sama mengharungi segala suka dan duka erti kehidupan.
Selami serta hayati makna sebuah perkahwinan, iaitu saling bertoleransi dan melengkapi bukannya sesukahati mencari pengganti.
Sumber kredit: Mizan Dzai