Bekas Dewi Remaja Mia Ali ‘Tidak Sengaja’ Berhijab :”Tiba-tiba Nak Pakai Hijab Ketika Keluar Dengan Suami”

Share

Mia Ali atau nama penuhnya, Nur Maissitah Ali pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja 2009/2010. Empat bulan selepas tamat pertandingan Dewi Remaja, Mia telah berkahwin dengan Sazrin Aizul ketika usianya 21 tahun.

Menyertai pertandingan Dewi Remaja tetap menjadi salah satu kenangan manis buat Mia. Kisah penghijrahan Mia bermula ketika wanita ini mengambil keputusan untuk berhijab pada tahun 2014, ketika usianya 25 tahun.

“Perasaan untuk berhijab itu datang secara tiba-tiba. Saya masih ingat ketika itu awal tahun 2014. Saya teringin hendak berhijab semasa keluar dengan suami dan anak sulung saya. Saya terjumpa kawan-kawan. Ramai yang bertanya dan tumpang gembira dengan perubahan yang saya lakukan.

“Dari situ terdetik dalam diri saya bahawa sudah tiba masanya untuk saya berhijab. Keesokan harinya apabila keluar, saya terus menyarungkan hijab dan nekad berhijab sepenuhnya. Bila difikirkan, saya seperti ‘tidak sengaja’ memakai hijab. Pendek kata Allah jentik hati saya untuk berhijab dengan cara ini,”ujar Mia membuka bicara.

TIDAK TAHU HAMIL ANAK KEDUA KETIKA MULA BERHIJAB
Memilih gaya hijab yang serba ringkas serta gemarkan hijab daripada fabrik sifon, Mia menyukai shawl berbanding bawal. Mengikut kata Mia, shawl lebih mudah dipakai dan dia bebas untuk melilit gaya hijab mengikut keselesaan dan situasi.

“Tidak dapat dinafikan ketika mula-mula berhijab, perlu keluarkan bajet untuk beli tudung. Namun rezeki Allah yang beri. Apabila niat kita baik, Allah pasti akan bantu dan memudahkan urusan kita.

“Perasaan ketika baru memakai hijab ini adalah sikit rasa susah hati bukan kerana apa tetapi memikirkan untuk terus kekal dengan imej berhijab. Namun apabila difikirkan kembali, berjijab itu wajib jadi memang kita mesti buat.

“Paling istimewa ketika mengambil keputusan untuk berhijab, saya tidak tahu pun yang saya sedang hamil anak kedua. Mungkin inilah hikmah yang Allah hendak beri dan tunjukkan pada saya, syukur, alhamdulillah. Dorongan suami, ahli keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya cukup terharu dan terus istiqamah untuk berhijab,” cerita Mia tentang detik-detik penghijrahannya.

MAHIR MEMBUAT 60 JENIS RESIPI KEK
Biarpun tidak sepenuhnya menyertai industri hiburan, Mia kini lebih fokus pada perniagaan yang dibina dari minat dan kesabarannya, Mia’s Kitchen. Berkelulusan Diploma dalam bidang pengurusan perniagaan di Kolej Poly-tech MARA, Mia kini bahagia dikurniakan dua orang puteri

“Saya bermula dengan ‘kosong.’ Mia’s Kitchen, sebuah perniagaan online bermula pada Julai 2015. Semuanya dilakukan di rumah. Saya ada mengikuti kelas pembuatan kek dan pastri. Sebenarnya saya memang suka makan kek. Dari situlah terbitnya keinginan untuk mengikuti kelas membuat kek.

“Alhamdulillah kini saya mahir membuat 60 jenis resipi kek dan pastri. Antara yang paling mendapat tempat dihati pelanggan antaranya ialah raspberry pistachio cheesecake, kek pandan gula Melaka, nutella chocolate cake dan banyak lagi,” jelas Mia.
Tatkala ditanya apakah rahsia dia kekal ramping dan slim meskipun gemar memasak pelbagai jenis hidangan, ini jawapan Mia.

“Sebelum belajar membuat kek, saya sebenarnya memang seorang yang suka makan kek. Maka sebab itulah saya mengambil keputusan untuk mengikuti kelas membuat kek dan pastri. Tapi yang ‘ajaibnya’ saya tidak pula suka makan kek yang saya buat (sambil ketawa kecil).

“Jarang saya makan masakan (kek) yang saya buat. Mungkin inilah sebabnya mengapa saya tiada masalah berat badan. Tempahan kek dan pastri pula perlu lebih awal mengikut kesediaan saya untuk menyiapkan tempahan. Jika terlalu banyak tempahan dalam satu masa, saya terpaksa menolak,” ujar Mia yang bercita-cita untuk membuka sebuah kedai bakeri suatu hari nanti.

GEMAR BERSENAM DI GIMNASIUM
Mencungkil rahsia kecergasan Mia, wanita ini rupanya gemar bersenam di gimnasium. Akui Mia, dari segi pemakanan dia agak kurang ‘berpantang’ namun Mia bertuah kerana berat badanya tidak mudah naik.

“Saya akan bersenam di gimnasium sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Kalau ada masa lebih, empat kali seminggu. Selain itu saya juga kerap melakukan kerja-kerja mengemas rumah dan ia juga satu senaman yang bagus untuk mengeluarkan peluh.

“Ketika bersenam di gimnasium, saya gemar berlari di atas treadmill. Saya jarang berjogging dan saya lebih selesa bersenam di gimnasium sahaja. Selain itu saya banyak amalkan minum banyak air suam. Air yang cukup juga penting untuk mendapatkan kulit yang sihat dan cantik.

“Untuk kesihatan dalam pula saya mengamalkan vitamin C dan primrose oil. Saya tidak mengamalkan sebarang amalan atau petua tradisional. Ini sahajalah yang saya praktikkan dalam kehidupan harian saya. Lagi pun jadual harian saya agak padat. Syukur dalam usia 30 tahun kesihatan saya baik,” tutur Mia lagi.

TERIKUT-IKUT MENU DIET SIHAT SUAMI
Berkongsi cerita tentang diet harian yang diamalkan oleh Mia, akui ibu jelita ini dia beruntung kerana suaminya juga amat menjaga pola pemakanan harian. Suami Mia jenis orang yang suka berdiet.

 

“Dia sangat selektif dengan apa yang dimakan. Oleh itu secara tidak langsung, saya sendiri terikut-ikut dengan menu makanan sihat yang diamalkan oleh suami. Bagus juga kerana lumrah seorang wanita suka mencuba pelbagai jenis makanan.

“Saya masak hidangan yang ringkas-ringkas sahaja. Cara penyediaan makanan pula lebih kepada bakar dan panggang. Ia lebih menyihatkan. Pada saya menu diet sihat yang suami amalkan turut memainkan peranan untuk saya menjaga berat badan. Jadi tidaklah saya menghadapi masalah berat badan naik,” akhiri Mia menutup perbualan.

 

Published by
Norhasliza