Pengalaman beg ditoreh dan dihalau di ‘airport’ bukanlah calang-calang dugaan buat suami isteri yang bercuti ke luar negara. Lebih mendebarkan apabila pernah terpisah lebih lima jam di stesen keretapi berkelajuan tinggi di Singapura.
Tidak dapat dinafikan suami isteri yang bercuti bersama akan dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dalam rumah tangga. Dalam setahun luangkan beberapa kali masa untuk bercuti bersama.
Bagi blogger Bella Idura aktiviti bercuti bersama suaminya, Mohd Firdaus bukan sahaja memberikan satu pengalaman baru buat dia dan suaminya tetapi juga dalam masa yang sama mengeratkan lagi hubungan mereka berdua.
Percutian bersama mengeratkan hubungan suami isteri apabila kami berkerjasama dan berbincang untuk membuat sesuatu keputusan. Ini kerana percutian kami selama ini tidak pernah melalui mana-mana travel agency. Semuanya diaturkan sendiri.
Selalunya saya yang akan menyusun itinerary dan bajet, suami pula akan lebih berusaha bila sampai di destinasi untuk mengikut itinerary dan menyusun masa bila tiba disana. Dengan kerjasama ini, kebanyakan destinasi kami di luar negara akan berjaya mengikut itinerary yang disusun.
PENGALAMAN MENDEBARKAN
Sepanjang bercuti bersama, banyak kali juga alami pengalaman yang mendebarkan antaranya hampir terlepas flight ke Krabi dan Hongkong. Semasa di Singapura kami terpisah selama lebih lima jam ketika mahu menaiki kereta api laju.
Suami sempat menaiki kereta api tetapi Bella tidak sempat dan menyebabkan Bella tertinggal dengan hanya kamera di tangan. Suami merayau-rayau mencari Bella di semua stesen sehinggakan ditangkap polis Singapura. Akhirnya polis tersebut membantu suami mencari Bella dengan membuat pengumuman di semua stesen.
Sesat bersama ketika menaiki bot di Bangkok! Kami berada di dalam bot sehingga malam dan penjaga tiket bot tersebut sangat kurang ajar dan menghalau kami kerana ia adalah perjalanan bot yang terakhir.
Pemandu bot berhentikan kami di satu kawasan yang sangat sunyi seperti kuil. Nasib kami baik kerana pemandu bot tersebut sangat baik telah menghubungi bot lain yang melalui kawasan kami untuk menumpangkan kami ke stesen keretapi terdekat.
Beg kami ditoreh semasa di airport Macau kerana ada losyen di dalamnya, walaupun losyen itu kurang dari 100 ml. Tidak setakat itu, kami tidak ke kaunter “verification id” kerana Bella kurang mengkaji tentang sistem imigresen di Macau, menyebabkan kami hampir dihalau oleh imigeresen Macau.
Sedangkan waktu itu kapal terbang hanya 100 meter di depan kami! Sekali lagi kami bernasib baik kerana pekerja AirAsia bersama-sama merayu supaya melepaskan kami masuk.
Agak mengecewakan kerana sebelum kami ke kaunter yang terakhir kami terpaksa melalui 4 kaunter imigresen yang lain tetapi tidak seorang pun menahan kami menyebabkan kami rasa ia ok. Setelah melalui semua ini, kami lebih berhati-hati dan menjadikan ia pengajaran untuk perjalanan yang akan datang.
PENGALAMAN LUCU
Pengalaman lucu ialah ketika mencari jalan untuk ke sesuatu tempat. Kami akan bertengkar untuk menentukan langkah perjalanan kami seterusnya walaupun ada peta ditangan. Tapi bila kami sampai ke destinasi yang kami nak tuju, kami akan ketawa mengingatkan siapa yang betul dan siapa yang salah.
*Buatlah tempahan tiket penerbangan awal untuk mendapatkan harga tiket yang lebih murah kerana ia akan menjimatkan banyak kos percutiaan kita.
*Pastikan itinerary disusun mengikut kesesuaian kita bukan amazing race untuk sampai ke semua tempat.
*Pastikan bajet cukup sehingga hari terakhir perjalanan.
*Kaji tahap keselamatan, cuaca, budaya, mata wang yang digunakan, tempat makanan halal dan belajar sedikit bahasa sebelum sampai ke sebuah negara baru.
*Persetujuaan bersama amat penting. Jadi berbincanglah untuk membuat apa sahaja keputusan bagi memastikan perjalanan kita lebih seronok dan bermakna.
Sumber: Bella Idura