Setelah lima tahun ‘berehat’ penyanyi terkenal Shila Amzah selamat melahirkan cahaya mata perempuan pada 9 Mei 2024.
Zuriat keduanya itu dilahirkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Berita gembira itu telah dimaklumkan oleh suami Shila yang juga pempengaruh media sosial, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli atau Ubai menerusi akaun Instagram miliknya.
“Alhamdulillah, isteri saya sudah selamat bersalin. Gugur air mata dan sebak melihat isteri bertarung nyawa demi cahaya mata tercinta.”
Menurut Ubai, dia merasa sangat terharu apabila pertama kali dapat melaungkan azan pada zuriat mereka itu.
“Pengalaman pertama kali melaungkan azan pada cahaya mata kami, sungguh luar biasa. Perasaan yang tak dapat saya ungkapkan,” kongsi Ubai.
Dalam hantaran sama, Ubai turut meluahkan mengenai arwah ibunya, Rohani Jamal yang meninggal dunia akibat kanser ovari pada Julai tahun lalu pasti gembira dengan kelahiran cucu sulungnya itu.
BACA JUGA: Hidup Kekal Positif & Optimis Di Tahun 2024! Shila Amzah Kongsi 2 Cara Hijabi Boleh Realisasikanya!
Ubai turut berkongsi nama puteri pertamanya.
“Cucu pertama arwah mak dah selamat dilahirkan. Mesti arwah mak gembira. Takdir dan perancangan ALLAH itu sangat hebat.
“Akan kami jaga sehabis baik amanah dan rezeki yang KAU berikan ini.
“Assalamualaikum puteriku, Rhea Akira,” tulisnya.
Sementara Shila dalam hantaran terbaharunya di Instagram, dia sentiasa bersangka baik dengan perancangan yang telah ditetapkanNya.
Shila sememangnya mengimpikan untuk bersalin secara normal selepas melalui kelahiran secara pembedahan ketika melahirkan anak sulungnya lima tahun lalu.
“Alhamdulillah, bayi perempuan kami sudah lahir. Saya sentiasa percaya kepada ketentuan Allah SWT, lebih dari segalanya.
“Terima kasih atas segala doa dan ucapan.”
Tak dilupakan, Shila turut mendoakan pasangan yang sudah lama menanti zuriat.
“Sha doakan semua yang TTC juga akhirnya ditiupkan benih zuriat di dalam rahim kalian, AllahummaBarik.”
Shila turut menitipkan penghargaan buat suaminya
“Terima kasih sayang for being with me @ubaimz you’ve been a great Papa to Seth, and now we have Rhea. For more joy and laughter as a family of four!”
Untuk info, Shila dan Ubai mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 2023. Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 27 Mei 2023.
Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018 sebelum bercerai pada Februari 2022.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia lima tahun.
Tahniah Shila Amzah dan Ubai. Selamat berpantang buat Shila, semoga dimudahkan segala urusan.