Masih terbayang betapa glamour majlis perkahwinan pelakon, Syida Melvin, 22 tahun awal tahun ini. Walaupun masih muda dalam melayari alam perkahwinan, tetapi bagi Syida dia mempunyai cara tersendiri untuk menambat hati suaminya, Mohamad Syafiq Azim Shaheen dalam mengukuhkan hubungan suami isteri.
Menurut Syida yang juga adik kepada Tilla tip yang dikongsi diperoleh dari perkongsian pengalaman ibunya sendiri serta adik beradik lain yang sudah mendirikan rumah tangga.
“Tidak ada masalah jika seseorang mahu berkahwin dalam usia muda. Apa yang penting kita dan pasangan sama-sama memahami dalam meneruskan kehidupan sebagai suami isteri.
“Bagi Syida tip pertama paling mudah diamalkan adalah kena jaga perut suami. Sebagai isteri kena rajin masak untuknya kerana dari air tangan kita itulah boleh menambat hati suami.
“Perlu adanya sikap bertolak ansur dengan pasangan. Lagi-lagi yang baru berkahwin macam kami ini. Maklumlah bila sudah berkahwin, kita mempunyai dua buah keuarga.
“Keluarga mentua dan keluarga kita sendiri. Jadi kena bijak ‘balance’ dalam apa yang dilakukan agar tidak menyinggung hati mana-mana pihak,” ungkap Syida ketika ditemui dalam satu sesi fotografi.
Menurutnya juga dalam menjaga hubungan rumah tangga itu perlu elakkan sikap negatif vibes bagi mengelakkan berlaku sebarang pergaduhan antara suami isteri.
“Jangan sesekali ada negatif vibes dalam hubungan sedia ada. Kalau boleh bajai rumah tangga dibina dengan perkara positif yang menggembirakan. Lagi satu kita sebagai isteri juga jangan sesekali bersangka buruk dengan suami.
“Misalnya kita tanya dalam kedaan marah kenapa dia balik dan mula akan fikir bukan-bukan. Kalau boleh bagi ruang untuk berehat (selepas balik kerja) dan tanam kepercayaan pada suami kita sendiri.
“Tip terakhir yang Syida boleh kongsi adalah jaga kebajika suami kita. Malah sebagai isteri memang jadi tanggungjawab kita untuk menjaga segala urusan makan pakai suami itu. Walau sibuk mana sekalipun, kebajikan mereka perlu kita jaga sebaiknya,” ujar Syida sambil tersenyum.
Pasangan ini melangsungkan perkahwinan awal Januari di di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, Pulau Pinang.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM SYIDA MELVIN