Sejak kecil lagi, impian untuk menjadi seorang doktor sudah tertanam dalam diri. Akui doktor muda bernama Dr. Siti Zubaidah Abdul Hakam, 30 tahun, dia memang suka dan cukup teruja untuk pergi ke klinik kerana mahu lihat doktor memeriksa pesakit. Dia suka melihat proses di mana pesakit akan diperiksa oleh doktor, diberi ubat dan sembuh walaupun sebenarnya yang menyembuhkan itu adalah kerja Allah. Terdetik di hati mahu membantu orang yang memerlukan.
“Tahun ini merupakan tahun ketiga saya bergelar seorang doktor. Alhamdulillah, saya suka dengan apa yang saya lakukan. Benda yang paling mencabar pada saya adalah sewaktu housemanship.
“Ketika itu, saya baru sahaja balik dari Moscow dan banyak perkara yang perlu belajar. Sistem yang digunakan di Malaysia juga tidak sama seperti di Moscow, jadi ia agak mencabar untuk saya belajar daripada mula kerana menjadi seorang doktor memerlukan anda menjadi individu yang sentiasa bertindak pantas dan cepat.
“Sejujurnya, kerjaya sebagai seorang doktor ini betul-betul mengubah kehidupan saya. Sebelum bergelar seorang doktor lagi, saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi segala dugaan yang datang.
“Bila tengok orang sakit, saya akan rasa lebih sensitif terhadap orang lain. Jika dulu, mungkin saya tidak akan fikir tentang orang lain. Setiap pesakit yang datang pasti ada masalah yang tersendiri.
“Setiap kali jumpa doktor, mereka pasti akan mengadu masalah dan doktor akan cuba selesaikan masalah yang mereka alami. Secara tidak langsung, ia mengubah pemikiran saya dari semua segi bila berjumpa dengan orang luar,” ujar Dr. Siti Zubaidah yang lebih mesra disapa sebagai Siti.
Siti akui pekerjaan sebagai seorang doktor memang seronok walaupun sibuk. Ia memberi satu kepuasan kepada doktor muda ini kerana dapat membantu orang ramai. Walaupun balik ke rumah dalam keadaan yang letih dan tidak sempat untuk mengalas perut, tapi dia tahu dia sudah menggalas tanggungjawab dengan sebaiknya.
Dan urusan lain hanya terserah kepada Allah untuk menyembuhkan dan terserah kepada pesakit itu sendiri sama ada mahu mengikut nasihat doktor atau tidak.
Perlu Banyak Berkorban
“Buat hijabi yang mahu bergelar seorang doktor, anda perlu kuat dari segi mental. Tidak dapat dinafikan bahawa doktor merupakan satu pekerjaan yang sukar. Belajar tentang perubatan dan menjadi seorang doktor adalah satu perkara yang berbeza.
“Anda perlu utamakan orang lain berbanding diri anda sendiri. Malah, masa untuk bersama keluarga juga amat terhad. Kadangkala, nak makan pun tidak sempat. Jika anda tidak boleh korbankan perkara ini, lebih baik jangan jadi seorang doktor kerana anda sendiri yang akan tertekan dan akhirnya berhenti kerja.
“Orang luar mungkin tidak faham dengan apa yang kami lalui. Sebab itulah banyak video-video yang viral yang tersebar di media sosial. Saya tidak bersetuju dengan tindakan ini.
“Sepatutnya, pesakit perlu mengikut peraturan hospital di mana tidak boleh merakam dan ambil video. Doktor mengikut segala prosedur yang telah ditetapkan. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan apa yang kami lakukan dan mula untuk viralkan di media sosial.
“Tindakan anda itu salah sebenarnya. Memang ada sesetengah doktor yang buat silap tetapi itu bukan cara untuk menegur. Kami tahu kerja kami dan tidak mungkin kami sengaja untuk lakukan kesilapan. Kami cuba lakukan kerja secepat yang boleh kerana kami tahu ramai yang menunggu,” tambah Siti lagi yang mendapat pendidikan di Russian National Research Medical University, Moscow Russia.
Sebelum mengakhiri perbualan,, Siti berharap satu hari nanti dia mamput membuka Klinik Estetik sendiri. Akui Siti, dia sememangnya berminat untuk belajar dan mendalami ilmu tentang estetik ini. Hal kecantikan seakan sudah sebati dalam dirinya.
Malah, Siti juga berharap dia mampu memiliki rangkaian produk kecantikan sendiri. Ketika di Moscow lagi, Siti sudah menghadiri beberapa kelas berkaitan kulit dan telah mengeluarkan serum yang dicipta sendiri olehnya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI