Kebiasaannya kaum Hawa akan memilih untuk menjual produk kosmetik ataupun pakaian apabila menceburi bidang perniagaan. Namun situasi itu berbeza buat Arliya Munif,21, apabila dia memilih untuk menjual perabot terpakai di Kedah.

Bukan calang-calang, usahawan muda dari Merbok ini mampu mencipta jualan mencecah RM100,000 sebulan melalui perniagaan yang diusahakannya itu sejak tahun 2017.

Menggunakan nama Perabot Berkualiti Kedah, perniagaannya itu kini menjadi perhatian penduduk setempat kerana menawarkan perabot terpakai pada harga mampu milik.

Ujarnya, dia menceburkan diri dalam perniagaan berkenaan selepas melihat perabot lama yang masih elok dibuang oleh pemiliknya disebabkan oleh kerosakan kecil.

“Idea menjual perabot terpakai bermula apabila melihat perabot lama yang masih elok dibuang sehingga mengakibatkan pencemaran.

“Kadang-kadang perabot dibuang ini masih elok. Hanya perlu baiki sedikit sahaja dan ia nampak baharu semula malah ada yang kelihatan mewah,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, dia juga menjual perabot terpakai kerana mahu memberi peluang kepada golongan B40 melengkapi keperluan rumah mereka dengan harga mampu milik.

“Melalui perniagaan ini, saya dapat jual perabot pada harga berpatutan dengan kualiti yang memuaskan hati.

IKLAN

“Lagipun kalau nak beli perabot baharu harganya mahal dan ramai orang tidak mampu,” katanya.

Bermula dengan modal sebanyak RM1,500, Arliya yang merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Shah Alam, Selangor dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan Keusahawanan ini memulakan perniagaan dengan membuka kedai pertamanya di Jeniang, Kedah.

Dia yang ketika itu sedang mengikuti pengajian diploma tidak menyangka bisnes diusahakan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Setahun kemudian, dia membuka cawangan kedua pula di Taman Lembah Bujang Saujana, Merbok.

IKLAN

Jelasnya, pembukaan kedai tersebut didorong oleh jualan yang tinggi selepas beliau memasarkan perabot terpakai yang diambil dari Singapura.

“Selepas enam bulan beroperasi, kami mula mendapat permintaan agar menyediakan perabot dari negara tersebut kerana jaminan kualitinya.

“Di samping itu, keunikan rekaan dan cara pembuatannya menyebabkan perabot dari Singapura mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelanggan,” katanya.

Seiring dengan perkembangan perniagaan yang diusahakan itu, Arliya telah mempelbagaikan produk terpakai dijualnya seperti sofa, permaidani, tilam, peti ais dan televisyen.

IKLAN

Dia juga telah menutup cawangan di Jeniang kerana mahu memberi sepenuh fokus terhadap perniagaan di Merbok.

“Kedai di Merbok telah dibesarkan bagi menampung jumlah perabot terpakai yang meningkat berkali ganda hasil permintaan tinggi daripada pelanggan,” ujarnya.

Sentiasa berfikiran positif, dia menyasarkan untuk mencapai jualan tahunan mencecah RM1juta pada tahun ini kerana yakin mampu mencapai sasaran berkenaan selepas mempelbagaikan perniagaannya menggunakan platform dalam talian.

Tambahnya, kaedah berkenaan digunakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Kita telah mengambil pendekatan mempromosikan barangan melalui dalam talian sepanjang PKP.

“Tidak sangka pula pelanggan membeli seperti biasa kerana ramai yang memanfaatkan tempoh berkurung di rumah itu untuk menghias kediaman masing-masing,” katanya.

kredit: Sinar Harian

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI