Bangga Lihat 2 Pelajar Wanita Berhijab Jadi Juara Debat Bahasa Mandarin Di China, Kalahkan 16 Wakil Universiti Lain

Share

Sebelum ini penyanyi Shila Amzah telah mencipta nama di China hingga mampu menguasai bahasa itu dengan baik di sana. Dan baru-baru ini  dua orang pelajar wanita berhijab dari Malaysia juga turut berjaya mencipta nama di sana. Keduanya menjadi Johan Debat Bahasa Mandarin mengalahkan 16 buah universiti dari pelbagai negara termausk Jepun, Swedeen, Australia, Korea dan Mexico.

Pertandingan Debat Bahasa Mandarin Pelajar Antarabangsa di China (Beijing, Hebei, Tianjin) telah bermula pada 15 April hingga 15 Jun 2018 lalu.

Menurut laman sosial facebook Education Malaysia, Beijing_EMSB memberitahu  pada pusingan awal pasukan dari Beijing Foreign Studies University(BFSU) berjaya mendapat Johan di peringkat Beijing dan seterusnya terpilih mewakili Beijing untuk bertanding dengan wakil dari provinsi Hebei.

Dua pelajar Malaysia berhijab berkenaan yang telah mengharumkan nama negara ini, iaitu Nur Afifah binti Elias dan Arina Safwah binti Jailan yang merupakan ahli pasukan debat BFSU. Mereka telah menunjukkan kesungguhan dan kualiti penguasaan Bahasa Mandarin yang cemerlang.

Setelah mengharungi lima pusingan selama tiga bulan, akhirnya, kumpulan debat dari BFSU ini telah berjaya meraih johan dalam pertandingan kali ini dan berjaya mencipta sejarah baru dalam rekod penyertaan BFSU.

Antara tajuk yang diperdebatkan termasuklah “Media sosial lebih mendekatkan masyarakat atau sebaliknya” dan “Penularan di media sosial barah atau penawar?”.

Education Malaysia Beijing amat berbangga dengan prestasi dan pencapaian yang diperolehi oleh pelajar Malaysia ini. Ini menunjukkan kualiti dan potensi yang ada pada pelajar Malaysia setanding dengan negara-negara membangun yang lain. Semoga lebih ramai lagi pelajar Malaysia dapat mencipta kejayaan di negara tembok besar ini.

 

Published by
Siti Zurina