“Balik Dari Umrah, Rasa Seperti Ada Hutang Dengan Allah S.W.T..”- Dahlia Shazwan Kongsi Kisah Penghijrahannya Ke Imej Berhijab!

Share

Dalam diri kita, pasti ada sifat dan keinginan untuk berubah ke arah kebaikan. Walaupun bukan perubahan yang besar, namun sebagai manusia, perubahan itu yang menentukan pengakhiran diri kita nanti.

Sempena meraikan bulan suci Ramadan, kali ini team Hijabista berkongsi coretan penghijrahan seorang selebriti yang dikenali ramai. Bingkisan ceritanya benar-benar membuahkan inspirasi kepada semua, terutamanya kepada mereka yang sudah menanamkan niat untuk berhijrah menjadi yang lebih baik.

Gadis Trivago, begitulah panggilan popular yang seringkali menjadi ‘trademark’ utama selebriti ini. Dahlia Shazwan, seorang personaliti televisyen dan iklan, pengacara juga penerbit berkongsi rasa yang tersirat, di sebalik penghijrahan imejnya yang kini berhijab. 

PERMULAAN HIJRAH DAHLIA

Setiap perubahan bermula dengan sebuah persoalan. Persoalan yang menyelubungi diri Dahlia ketika itu ialah dia merasakan seolah-olah ada satu perkara yang kurang dan seakan-akan dia mempunyai hutang dengan Allah S.W.T. Perasaan ini timbul apabila dirinya pulang dari melakukan ibadah umrah.

“Selepas pulang dari umrah pada tahun 2020 bersama-sama dengan ibu dan kakak, saya merasakan seperti saya mempunyai tanggungjawab yang belum lagi dilunaskan. Seperti hutang yang belum diselesaikan.

Baca juga: Gusar Terbabas Dari Jalan Allah SWT, Amalkan Pilihan Doa Pendek Ini Untuk Diberikan Hidayah Dari-Nya!

Rupa-rupanya, ia berkaitan dengan imej saya. Hati mula tidak tenang memikirkan tentang rasa gundah yang timbul di sudut hati, membelenggu fikiran untuk mencari solusi yang tepat. Perancangan awalnya, saya ingin memakai hijab pada bulan Ramadan tahun itu.

Namun, perancangan Allah lebih baik. Seminggu selepas saya pulang dari tanah suci, saya terus mengenakan hijab, pelengkap gaya saya sebagai seorang muslimah,” ulasnya lanjut.

Tambah Dahlia, dari detik itulah bermulanya proses penghijrahannya memakai hijab hingga ke hari ini.

CARA DAHLIA PERBAIKI DIRI?

Selepas pulang dari umrah pada tahun 2020 bersama-sama dengan ibu dan kakak, saya merasakan seperti saya mempunyai tanggungjawab yang belum lagi dilunaskan. Seperti hutang yang belum diselesaikan

Biarpun kini sudah berhijab, namun Dahlia seringkali merasakan bahawa dirinya masih banyak kekurangan. Masih bertatih dalam mengumpul ilmu akhirat, Dahlia banyak belajar dan sentiasa berusaha untuk menutupi kekurangan diri dengan ilmu yang diperolehinya setiap hari.

“Saya dahagakan ilmu. Oleh itu, saya mencarinya setiap hari di mana-mana sumber yang boleh dipercayai. Saya akan mendengar ceramah ataupun khutbah di Youtube, untuk menyempurnakan diri saya sebagai seorang wanita Islam.

Saya percaya apabila dada semakin penuh dengan ilmu, kita akan menjadi lebih sensitif dengan perkara-perkara yang tidak elok,” tambahnya lagi.

Dahlia juga turut menyatakan bahawa dirinya kini lebih fokus kepada kemajuan diri daripada menantikan sebuah keputusan dalam mengejar erti kesempurnaan dalam proses penghijrahannya.

“Jika dahulu saya lebih teruja untuk menantikan sesuatu keputusan. Namun, hari ini, saya percaya bahawa Allah S.W.T tidak melihat kepada hasil, tetapi proses perubahan yang kita lakukan itu. 

Baca juga: Risau Iman Semakin Berkurang, Amalkan Doa Ini Untuk Mendapatkan Ketetapan Iman Oleh-Nya.

Niat yang kita tanamkan dalam hati itu ialah kunci keberkatan dari-Nya. Ada kalanya, kita terleka dan tergelincir. Namun, jangan mudah mengalah. Bangun dan lakukan semula perubahan yang ingin kita lakukan.”

PERUBAHAN DIRI DAHLIA

Berbicara mengenai perubahan dalam dirinya selepas berhijrah, Dahlia menyatakan bahawa dirinya lebih sensitif dan mudah peka dengan perasaan orang lain.

“Kita kadang-kala terlupa, sedang kita asyik mengejar membina hubungan baik dengan Allah S.W.T, tetapi kita lupa untuk memperbaiki hubungan sesama manusia. Malah, ia adalah perkara yang sangat penting dan dituntut di dalam Islam,” ujar Dahlia.

NASIHAT

Kita kadang-kala terlupa, sedang kita asyik mengejar membina hubungan baik dengan Allah S.W.T, tetapi kita lupa untuk memperbaiki hubungan sesama manusia

“Usah tunggu untuk berubah, usah juga tunggu untuk mendapat seru, petunjuk mahupun hidayah. Jika anda sudah mula berfikir dan terjentik hati untuk mendapat hidayah, maka itulah seruannya. Maknanya Allah masih sayang pada kita. Jadi, buatlah perkara yang disukai Allah, dan bukan melakukan perkara yang dimurkai oleh-Nya,” kongsi Dahlia menutupi ruang bicara No Turning Back.

Sumber gambar: Instagram Dahlia Shazwan

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.

Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shoppe 

Published by
Putra