Setiap daripada kita mesti ada baju kesayangan kan? Tapi apa yang anda lakukan jika baju kesayangan itu menjadi buruk akibat tompokkan ‘tahi lalat’. Nak pakai tak boleh, nak dibuang sayang pula.
Untuk pengetahuan anda, punca utama baju atau fabrik mengalami masalah ditumbuhi tahi lalat ataupun kulat baju ini adalah kerana pakaian itu mempunyai rembesan peluh, sentiasa dalam keadaan lembap dan tidak kering dengan sempurna.
Jadi untuk mengekang masalah baju bertahi lalat ini, disini Hijabista kongsikan empat cara untuk hilangkanya dengan lebih mudah! Tak perlu lagi menyetal baju dengan begitu teruk! Dan tak perlu buang pakaian kesayangan anda jika terdapat tahi lalat.
@amni.ariq_outfitlawa 5 bahan hilangkan tahi lalat pada baju ✨ #tips #tipspenjagaanbaju #tiktok #tiktokindia #tiktokviral #fyp #fypシ #amniariq ♬ suara asli – BreakBeat
1. Gunakan Cuka
Pertama sekali yang anda perlu lakukan adalah dengan ambil secawan cuka dan masukan ke dalam sebaldi air, kacau sebati dan masukan baju yang telah ternoda dengan tahi lalat tersebut, rendam sehingga tenggelam.
Baju berkenaan hendaklah direndam sekurang-kurangnya selama sejam, sebelum di bahagian bertahi lalat itu di cuci menggunakan sabun pencuci.
Untuk lebih mudah menanggalkan kesan tompokkan tahi lalat itu, basuh menggunakan air panas semasa memberus dan membilas.
Setelah itu, keringkan baju tersebut di ampaian. Pastikan baju betul-betul kering sebelum diangkat. Pasti anda akan teruja melihat hasilnya!
2. Atau Baking Soda
Jika kehabisan cuka di rumah, jangan risau! Anda masih boleh menanggalkan kesan tahi lalat pada baju itu dengan mencampurkan sedikit air pada baking soda sehingga berbuih dan tempelkan pes tu pada bahagian baju yang bertahi lalat.
Biarkan baking soda itu meresap ke dalam baju untuk seketika sebelum anda berus dan bilas baju berkenaan.
Jika tahi lalat tersebut masih degil dan sukar untuk ditanggalkan, bolehlah hijabi tambahkan sedikit cuka putih ke dalam campuran serbuk air bersama baking soda tersebut.
3. Jus Lemon Dan Garam Pun Boleh!
Selain dua bahan yang Hijabista cadangkan diatas, boleh juga mengatasi masalah tahi lalat dengan jus lemon dan garam.
Caranya mudah sahaja, perahkan sebiji lemon ke dalam mangkuk dan ambil jusnya sahaja. Kemudian campurkan jus lemon tersebut dengan secubit garam. Gaulkan sehingga garam melarut sebati dalam jus lemon itu. Sapukan pada bahagian baju yang bertahi lalat. Kemudian, berus dan bilas seperti biasa.
Untuk kesan yang lebih efektif, hijabi boleh merendam baju bertahi lalat itu ke dalam baldi berisi air suam dan tuangkan larutan lemon dan garam ke dalam baldi itu. Baju hendaklah di rendam selama satu jam sebelum di bilas.
4. Cecair Peluntur Hanya Untuk Baju Putih
Jika anda terlalu malas untuk menyediakan pelbagai bahan yang tersenarai diatas, cara paling mudah adalah dengan merendam baju bertahi lalat itu dengan menggunakan peluntur (Clorox).
Namun, perlu diingatkan bahawa cara ini hanya sesuai bagi pakaian berwarna putih sahaja! Kerana jika dilakukan untuk pakaian berwarna bimbang warna akan menjadi luntur.
Caranya adalah dengan melarutkan sedikit peluntur bersama air. Rendam baju putih yang bertahi lalat itu dan taburkan sedikit sabun pencuci serbuk sebelum memberus untuk menanggalkan tompokkan tahi lalat yang mencacatkan baju kesayangan anda.
Ulangi langkah sama beberapa kali sehingga tompokkan tahi lalat tanggal dan hilang. Mudah bukan? Selamat mencuba!
Sumber: Tik Tok Amni.Ariq
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.