Bahaya ‘Syiqaq’ Dalam Rumahtangga! Ketahui Hak Anda Sebagai Wanita Jangan Sampai Jadi Asbab ‘Cerai Berai’

Share

Terbaharu media tempatan melaporkan bahawa pelakon jelita, Puteri Sarah Liyana bertindak memfailkan penceraian terhadap suaminya yang juga pengarah terkenal Syamsul Yusof atas tuntutan ‘Syiqaq’.

Persoalanya tahukah anda apa itu Shiqaq? Dan apakah hak wanita yang menuntut penceraian setelah dimadukan akibat perbuatan ‘Shiqaq’ yang dilakukan oleh pasangan?

Justeru, Hijabista terpanggil untuk menjelaskan isu ‘Syiqaq’ dalam rumahtangga ini, dan apakah hak yang boleh dituntut wanita sekiranya perkara ini terjadi dalam perkahwinan.

Apa Itu Tuntutan Syiqaq Menurut Syariat Islam?

Merujuk Mahkamah Syariah, Syiqaq dari segi bahasa membawa maksud pertengkaran, pergaduhan dan pertelingkahan yang berlaku didalam rumahtangga, melibatkan pasangan suami dan isteri dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Manakala makna yang dicerap menerusi istilah syarak pula adalah pertelingkahan yang tidak dapat diselesaikan lagi, di antara suami dan isteri sehingga mengakibatkan kedua-dua individu tidak mungkin hidup Bersama dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, apatah lagi saling menghormati antara satu sama lain.

Hijabista difahamkan bahawa Shiqaq yang berlaku dalam perkahwinan, terbahagi kepada lapan jenis ataupun keadaan yang biasa dibincangkan di mahkamah menurut kanun-kanun syariah.

Artikel berkaitan: Minta Cerai, Tak Sanggup Bermadu? Ini Penjelasan Ustaz Tentang ‘Hukumnya’ Menurut Islam!

Shiqaq dalam perkahwinan berlaku dalam keadaan berikut:

  1. Perkelahian yang kerap antara suami dan isteri dengan angkara beberapa sebab-sebab yang dinyatakan seperti berikut

i. Nusyuz dari seorang isteri.

ii. Kezaliman yang dilakukan oleh suami terhadap isteri.

iii. Ketidaktentuan siapa yang benar antara kedua-duanya.

iv. Salah seorang isteri atau suami yang berdusta atau menuntut sesuatu yang bukan hak.

2. Perkelahian yang kerap antara suami dan isteri sehingga menimbulkan kesukaran menjalankan tanggungjawab masing-masing. Saling tuduh menuduh tidak menjalankan hak dan tanggungjawab.

3. Suami atau isteri saling tuduh menuduh mempunyai hubungan yang melampaui Hukum Syarak dengan perempuan atau lelaki lain.

4. Perkelahian yang kerap hingga berlaku ‘keganasan rumah tangga’ seperti pukul memukul.

5. Suami atau isteri telah meninggalkan rumah kediaman, tidak tinggal bersama.

6. Perkelahian antara suami isteri yang menyebabkan pengabaian terhadap anak-anak mereka.

7. Kegagalan isteri dalam permohonan cerai oleh sebab kegagalan pembuktian semasa perbicaraan di Mahkamah Syariah.

8. Apa-apa tindakan lain yang boleh menyebabkan dharar syarie terhadap suami atau Isteri.

Apa Yang Boleh Dilakukan Jika Terjadi Syiqaq? Lantik Hakam!

Islam merupakan agama yang indah, begitu juga setiap syariat yang ditetapkan untuk penganutnya bukanlah berbentuk bebanan. Jika berlakunya Syiqaq dalam rumahtangga dan pasangan ini masih mahu menyelamatkan rumah tangga masing-masing dari keruntuhan sebuah institusi kekeluargaan.

Islam datang menawarkan solusi yang selayaknya dan membantu menamatkan konflik berterusan seperti ini, dengan jaminan daripada Allah.

Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa’, ayat 35 yang bermaksud;

“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya.”

Hakam yang ditafsirkan di dalam kaedah Hakam yang digunapakai oleh mahkamah syariah adalah seorang individu yang dilantik mahkamah serta mempunyai kuasa sebagai penimbang tara dalam menyelesaikan masalah perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri.

Melihat kepada firman Allah dalam potongan surah An-Nisa jelas menunjukkan bertapa beratnya, tanggungjawab, peranan dan fungsi Hakam (Orang Tengah Pendamaian Suami Isteri) bahkan tanggungjawab ini amat mulia di sisi syariat Islam.

Apa Berlaku Sekiranya Hakam Gagal Sebagai Ejen Pendamai?

Bagaimanapun, sekiranya hakam menemui jalan buntu dan gagal menyelesaikan konflik rumahtangga yang dihadapi oleh pasangan suami isteri di bawah tanggungjawabnya, Hakam boleh diberi kuasa oleh Mahkamah untuk menamatkan konflik dengan memberi penyelesaian jatuh Talaq atau Khul’.

Tetapi ini hanya berlaku sekiranya perdamaian tidak dapat dicapai, serta bukti-bukti berlakunya konflik rumah tangga telah dikemukakan kepada mahkamah syariah. Hakam berfungsi secara penyelesaian ‘serampang dua mata’ sama ada menyelesaikan konflik dengan cara berdamai atau berpisah.

Sumber: MAIS & Blog Hakam Mahkamah Syariah

Artikel berkaitan: ‘Semoga Jodoh Sehingga Ke Akhir Ayat….’ Pasangan Ini Rujuk Setelah 16 Tahun Cerai, Netizen Tumpang Bahagia.

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Haifa Nasir