Bahagia adalah apa yang semua orang inginkan. Selalunya, orang yang banyak tersenyum dan ketawa dianggap lebih bahagia. Apakah kebahagiaan itu sebenarnya? Heather Lyons, ahli psikologi dan pemilik Baltimore Therapy Group di Towson, Maryland, berkata ahli psikologi mendefinisikan kebahagiaan sebagai kesejahteraan subjektif seseorang individu.
Cuba kita renung dan fikir. Apa sebenarnya yang membahagiakan kita? Makanan yang sedap di restoran terkenal? Melancong ke luar negara dengan pakej paling mahal? Rupanya-rupanya makanan yang paling sedap atau tempat yang paling menarik itu tidak bermakna langsung jika kita menikmatinya seorang diri!
Makanan biasa-biasa pun, kalau dinikmati bersama orang yang tersayang, makanan akan jadi sangat sedap. Tempat pelancongan dekat rumah pun, kalau kita pergi bersama isteri dan anak-anak, ia akan jadi sangat menarik.
Bahagia itu bukan tentang diri kita seorang saja. Bahagia itu bergantung kepada berapa ramai orang di sekeliling kita yang dapat kita bahagiakan bersama-sama. Kebahagiaan tidak bermakna sama sekali jika kita menikmatinya seorang diri. Semakin ramai yang terlibat, semakin bermakna pula sebuah kebahagiaan.
Ada orang menyangka pencapaian peribadi itulah kebahagiaan. Tetapi akhirnya dia sedar dia sebenarnya keseorangan dan kesepian. Ramai orang beranggapan, wang ringgit tidak boleh membeli kebahagiaan. Ia betul pada satu sudut tetapi tidak semestinya tepat pada setiap keadaan.
Ada orang yang Allah kurniakan kelebihan dengan kekayaan. Kemudian dia manfaatkan kekayaan tersebut untuk memenuhi impian orang lain. Itulah perkara yang membahagiakan.
Ganti balik kesusahan ibu bapa ketika membesarkan anak-anak di waktu kecil. Reward pasangan atas kesusahan dan pengorbanan setiap hari dalam keluarga. Beri keselesaan kepada anak-anak dengan merealisasikan impian mereka sementara masih sebumbung dengan kita.
Bantu orang sekeliling yang susah dan memerlukan pertolongan. Tunaikan hajat siapa saja mempunyai hajat yang baik-baik. Itu semua boleh dibeli hanya dengan wang ringgit. Syaratnya, letak kekayaan atau apa saja kelebihan yang kita ada itu di tangan. Bukan letak di hati.
Bila kita letak duit di tangan, kita akan jadi pemurah dan berlapang dada. Bila kita letak duit di hati, kita akan jadi kedekut dan berkira-kira. Kerana duit kita letak di tangan, jika hilang pun kita tak susah hati berpanjangan. Allah yang maha memberi, Dia juga berhak mengambilnya balik pada bila-bila masa.
Tapi kalau kita letak duit di hati, setiap masa rasa keluh kesah dan sentiasa rasa tak cukup. Ketika itu, kekayaan yang kita ada tidak lagi membahagiakan kita. Malah ia menyusahkan jiwa raga kita.
Rasulullah SAW pun ada menyebut; sebaik-baik manusia ialah orang yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain.
Apa maksudnya? Boleh tak kita beri manfaat dalam keadaan kita tak punya apa-apa?
Mesti kita kena ada sesuatu dahulu baru kita boleh bagi manfaat bukan? Tak kiralah kekayaan harta benda, kepandaian dan kecerdikan, kesihatan tubuh badan atau apa saja kelebihan.
Dan semua itu tidak bermakna jika kita menikmatinya seorang diri. Ia akan mencapai maksudnya yang sebenar apabila dapat dikongsi dengan orang ramai. Itulah hakikat sebenar sebuah kebahagiaan. Betulkan balik persepsi kita tentang bahagia. InsyaAllah kita akan ketemu bahagia yang kita cari selama ini.
Sumber kredit: Ustaz Khairul Anuar Basri
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.