Sopan menawan, gaya aktres Cut Syifa terima anugerah SCTV 2024 dalam persalinan dress biru rekaan Dimas Singgih raih pujian peminat.
Selebriti Indonesia yang konsisten berhijab sejak tahun 2021 ini diangkat sebagai penerima anugerah SCTV 2024 menerusi kategori ‘Pasangan Karakter Sinetron Paling Ngetop’ disamping aktor Rizky Nazar melalui sinetron My Heart.
Tidak menyangka diberi penghargaan tersebut, pasangan yang memegang watak Alfa dan Andra itu mengakui terkejut kerana calon-calon lain terdiri daripada pelakon luar biasa.
Memetik sumber Liputan6, Cut Syifa menjadikan penghargaan ini sebagai motivasi untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik untuk peminatnya. Wanita jelita ini juga tidak menyangka masih banyak yang menantikan karyanya, hingga meraih penghargaan berprestij tersebut.
“Ini sebuah penghargaan yang memotivasikan saya untuk terus berkarya dan terus memberikan yang baik untuk karya-karya saya. Mungkin ada rasa jenuh dan kesal melihat komentar negatif. Tapi senang masih ada yang suka sama saya.
Ini buat yang sudah vote kita, terima kasih buat fans peribadi dan sinetron My Heart, dan team sinetron ini. Ini buat kalian semua,” ucap Cut Syifa.
Dalam majlis yang diadakan pada Rabu, 20 November lepas, Cut Syifa mengenakan sepasang dress biru House of Dimas Singgih dengan hijab sedondon. Bagaikan Puteri Elsa Muslimah, gayanya yang elegan memukau tiap mata yang memandang.
Cut Syifa yang merupakan seorang pelakon dan model memulakan kerjayanya dalam dunia hiburan sejak 2007.
Namanya semakin popular sejak memegang watak Maesaroh dalam Tukang Bubur Naik Haji: The Series. Sehingga kini, wajah jelitanya masih menghiasi layar skrin televisyen.
Selain televisyen, aktiviti harian Cut Syifa boleh diketahui menerusi akaun media sosial peribadinya. Cut Syifa sangat aktif memuat naik kandungan foto dan video di Instagram. Setiap hantarannya itu sering dibanjiri pujian berkat penampilannya yang semakin menawan.
Pada awal pembabitannya dalam industri hiburan, Cut Syifa tampil dengan rambut panjang. Namun, pada tahun 2021 Cut Syifa berazam untuk berhijab.
Sehingga kini, wanita berusia 25 tahun ini konsisten menutup aurat dan sering memuat naik kandungan foto atau video dirinya menyarungkan pelbagai busana Muslimah yang moden dan stylish.
Penampilan Cut Syifa sering mencuri tumpuan. Ini kerana dia sentiasa kelihatan bergaya dengan pakaian Muslimah dan gaya tudung yang ringkas. Selain semakin anggun, Cut Syifa turut memancarkan aura yang menenangkan buat sesiapa yang memandangnya.
Dengan kecantikan dan pesona hijabi yang dimiliki, Cut Syifa membuktikan bahawa dia bukan hanya sekadar aktres, bahkan ikon yang membanggakan dalam dunia fesyen Indonesia.
Artikel berkaitan: https://www.hijabista.com.my/anak-perempuan-jutawan-kosmetik-dnars-skincare-bertunang-cantiknya-dress-pelamin-ala-morocco/