Surah Yassin (سورة يس) dikenali sebagai hati Al-Quran. Surah ini juga adalah surah yang ke-36 dalam Al Quran dan terdiri daripada 83 ayat.
Menurut sebuah hadis, Surah Yasin dinamakan Mub’mah (pemberi berita baik) di dalam kitab Taurat kerana ia mengandungi manfaat kepada pembacanya dalam kehidupan dunia juga akhirat, seperti menghindari penderitaan dunia akhirat dan juga menjauhkan kedahsyatan kehidupan akhirat.
Surah Yassin juga dikenali sebagai ‘Rafi’ah Khafidah’ iaitu yang mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan menurunkan darjat orang-orang yang ingkar (tidak beriman). Sebaik-baiknya kita digalakkan membaca Surah Yasin selepas solat Dhuha. Insya Allah akan terbuka seluas-luasnya peluang dan rezeki melimpah ruah tanpa disangka.
Kelebihan membaca surah Yassin setiap pagi.
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
“Bacalah surah Yasin kerana ia mengandungi keberkatan.”
Antara kelebihan-kelebihan surah Yassin yang turut disebutkan di dalam banyak hadis adalah seperti yang dikongsikan di laman Facebook, antaranya :
1. Sesiapa yang membaca Surah Yassin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu akan dipenuhi.
2. Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati Al-Quran itu ialah Surah Yassin.
3. Sesiapa membaca Surah Yasin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca Al-Quran sebanyak 10 kali.
4. Sesiapa yang membaca Surah Yasin semata-mata kerana Allah, segala dosa-dosanya yang dahulu akan diampunkan. Oleh itu jadikanlah sebagai amalan untuk dibaca ke atas orang yang mati.
5. Jika seseorang itu membaca Surah Yassin pada setiap malam dan kemudiannya meninggal dunia, ia akan mati sebagai mati syahid.
6. Sesiapa membaca Surah Yasin, ia akan diampunkan, siapa sahaja yang membaca semasa kelaparan, akan dihilangkan kelaparannya itu, siapa membacanya dikala sesat jalan, akan menjumpai jalannya semula, siapa membaca kehilangan binatang akan mendapatkannya semula, dan bila seseorang itu membacanya kerana bimbangkan kekurangan makanan, makanan itu akan mencukupi.
Jadi, luangkanlah sedikit masa di awal pagi untuk membaca surah Yassin kerana sudah jelas, ia banyak memberikan ganjaran kepada kita. Selamat beramal!