Baca Surah Al-Khafirun Sebelum Tidur Untuk Terlepas Dari Godaan Syaitan Dan Perkara Syirik.

Share

Penuhi malam kamu dengan amalan yang dapat mendekatkan kita dengan Allah S.W.T. Malah, ia adalah bekalan kita yang dapat kita kumpul untuk di akhirat kelak. Antara amalan yang boleh kamu amalkan sebelum tidur ialah dengan membaca surah Al Kafirun.

Surah yang ke 109 di dalam Al-Quran ini sangat ditakuti oleh syaitan dan iblis. Surah ini sangat popular dan seringkali kita dengar ia dialunkan di masjid, dibaca di dalam solat ataupun di luar.

Pengenalan Surah Al-Kafirun.

Sedikit intro mengenai surah ini, surah al-Kafirun diturunkan dikala kaum musyrikin berusaha mempengaruhi Nabi Muhammad SAW dengan menawarkan kekayaan supaya sehingga menjadi orang yang paling kaya di kota Makkah. Malah, baginda juga dijanjikan akan dikahwinkan dengan sesiapa sahaja yang baginda inginkan. Pun begitu, mereka memberikan syarat supaya Nabi Muhammad SAW harus menyembah berhala. Namun baginda menolak usul tersebut.

Sumber gambar: Beana

Kelebihan membaca Surah Al-Kafirun:

Seperti surah-surah lain di dalam Al-Quran, surah ini juga mempunyai kelebihan tersendiri Antara kelebihan-kelebihannya adalah:

1. Mengajar Agar Bertolak Ansur Dalam Beragama

Kandungan surah ini mengajar kita supaya bertolak ansur dalam mengamalkan ajaran agama masing-masing. Menurut Imam Qurthubi, sikap menghormati agama dan kepercayaan lain bukan bererti lemah atau mengiyakan kebenaran mereka.

Al-Quran memerintahkan agar kita menghormati penganut agama lain. Bertepatan dengan potongan akhir ayat ini yang bermaksud ‘Untukmu agama mu dan untuk ku agama ku’. Sebaliknya keimanan diri haruslah teguh disamping menbebaskan diri dari kemusyrikan dan kemunafikan. Ianya bertepatan dengan salah satu keutamaan dalam Surah Al-Kafirun.

2. Surah Al Kafirun Sangat Ditakuti Iblis

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:

“Tidak ada dalam Al-Quran yang lebih ditakuti Iblis daripada Qul Ya Ayyuhal-Kafirun, kerana ia adalah tauhid dan pembebas dari kemusyrikan”.

Imam Ja’far berkata “Bacalah 7 kali Surah ini setiap hari bagi menjaga iman. Barang siapa membiasakan diri membacanya pada saat matahari terbit dan terbenam, maka ia akan bebas dari keraguan, kesyirikan dan keyakinan yang buruk”

3. Pahala Membaca Sama Dengan Satu Perempat Al-Quran

Sudah dinyatakan di dalam Al-Quran, pahala membaca surah al-Kafirun sama dengan membaca satu perempat dari Al-Quran sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Annas RA: “Qul Ya Ayyuhal-Kafirun senilai dengan seperempat Al-Quran.” 

4. Disarankan untuk membacanya ketika Solat-Solat Malam

Hal ini diriwayatkan oleh Al Wailli dari hadis Jabir bin Abdullah yang bermaksud: “Seorang laki-laki berdiri lalu mengerjakan solat fajar dua rakaat. Ia membaca pada rakaat pertama Qul Ya Ayyuhal-Kafirun (katakan hai orang-orang kafir) hingga akhir surah. Lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Ini adalah hamba yang beriman kepada Tuhannya. Kemudian ia membaca pada rakaat kedua Qul Huwallahu Ahad (Katakanlah Dia adalah Allah yang maha Esa.”

Lalu Nabi Saw bersabda yang bermaksud: “Ini adalah hamba yang mengenal Tuhannya”. Thalhah berkata: “Maka aku suka membaca dua surat ini dalam dua rakaat ini”.

5. Dibaca Sebelum Tidur Dapat Membebaskan Kemusyrikan

Hal ini diriwayatkan oleh Abu Dawud dari Farwah bin Naufal: dari ayahnya bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah Qul Ya Ayyuhal-Kafirun kemudian tidurlah di akhirnya, sesungguhnya ayat tersebut membebaskan dari kemusyrikan”.

Bila dibaca dengan Al Ikhlas akan memperteguhkan lagi keimanan dan membebaskan kemunafikan. Hal ini disampaikan oleh Al Asymu’i dengan berkata: Dikatakan Qul ya Ayyuhal-Kafirun dan Qulhuwallahu Ahad, keduanya membebaskan dari kemunafikan.

Semoga kita semua mendapat manfaat yang banyak dengan mengamalkan membaca surah ini. Selamat beramal!

Published by
Putra