Baca Surah Al-Kahfi Di Hari Jumaat Lebih Baik Untuk Mengelakkan Diri Dari Fitnah Dajjal Kelak.

Share

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya satu kebaikan dengan bacaan itu dan satu kebaikan digandakan menjadi 10 kebaikan yang serupanya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat al-Tirmizi).

Sudah terang lagi bersuluh, membaca Al-Quran walaupun dengan doa yang pendek memberi banyak ganjaran kepada kita. Al-Quran diturunkan untuk menjadi nadi petunjuk kepada kita semua sebagai umat Islam. Sempena hari Jumaat yang penuh mulia ini, kita disarankan untuk membaca satu surah yang amat digalakkan dibaca di hari Jumaat. Surah itu ialah Surah Al-Kahfi.

“Barang siapa membaca al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya antara dirinya hingga ke Baitul Atiq (Ka’bah).” (Riwayat ad-Darimi)

“Barang siapa membaca al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya selama waktu antara Jumaat yang satu ke Jumaat berikutnya.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Sumber gambar: Al-Mukhlisin

Antara kelebihan Surah al-Kahfi adalah seperti yang diriwayatkan Abu Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Siapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal Surah al-Kahfi akan terpelihara daripada dajjal.” (Riwayat Muslim).

Dalam riwayat Abu Dawud pula seperti yang dikatakan oleh Qatadah, Rasulullah SAW bersabda: 

“Barang siapa yang menghafal ayat akhir daripada Surah al- Kahfi akan terpelihara daripada fitnah Dajjal.”

Pembaca Majalah Hijabista sekalian, membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat amat digalakkan ke atas setiap Muslim tidak kira 10 ayat terawal mahupun 10 ayat terakhir atau sebahagiannya dan lebih baik membaca satu surah lengkap. Ini adalah kerana surah ini dapat dijadikan sebagai benteng keimanan yang kukuh dah dapat menghindari daripada fitnah dajjal.

Tambahan pula pada akhir zaman ini tentangan terhadap Islam semakin kuat sehingga Rasulullah SAW bersabda: “Akan sampai satu masa manusia yang mempunyai kesabaran pada agamanya akan menjadi seperti orang yang menggenggam bara api.” (Riwayat al-Tirmizi)

Maka dengan itu, lengkapkanlah amalan kita hari ini dengan membaca surah al-Kahfi pada pagi Jumaat yang barakah ini. Ambil sedikit masa untuk dekatkan diri kita dengan Allah S.W.T. Semoga kebaikan yang kita lakukan akan dihitung dan diberi ganjaran untuk dijadikan bekalan hari akhirat kelak. Selamat beramal!

Published by
Putra