Matang dan berdikari. Itulah ciri-ciri yang membuatkan Alha Alfa terpaut hati dengan tunangnya, Noor Azlin Ismail. Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil yang lebih dikenali dengan Alha Alfa telah mengikat tali pertunangan pada 29 Disember tahun lalu.
Dalam mood darah manis, kedua-dua bakal mempelai ini bakal disatukan pada tanggal 28 September 2019 bersempena tarikh lahir Azlin. Sikap matang dan tidak meminta-minta yang ada pada diri Azlin telah membuahkan rasa cinta Alha pada gadis berwajah manis itu.
“Tahun lepas kami memilih untuk mengikat tali pertunangan pada 29 Disember 2018 sempena hari kelahiran saya yang ke 30. Tahun ini pula 28 September itu bersempena tarikh lahir Azlin yang ke 23,”ujar Alha.
Akui Alha sikap matang yang ada pada diri Azlin membuatkan dia jatuh hati pada wanita itu.
TIDAK SUKA MEMINTA-MINTA
“Azlin orangnya bukan jenis suka meminta-minta. Dia juga jenis orang yang tak banyak cakap. Cool sahaja orangnya. Meskipun usia kami berbeza tujuh tahun namun pemikiran Azlin sangat matang. Mungkin pengalaman yang dilaluinya membesar bersama ibu dan adik beradiknya selepas kehilangan ayah tersayang telah mematangkan hidup Azlin,”ujar Alha anak kelahiran Taiping, Perak.
Perkenalan antara Alha dan Azlin bermula ketika Azlin menjadi model mekap Alha ketika kelas mekap di Taiping. Sejak detik itu Alha merasakan sudah wujud keserasian antara mereka berdua.
“Saya suka orang yang tidak banyak cakap. Ciri itu ada pada Azlin. Dalam tak diam, kami sudah lima tahun kenal antara satu sama lain. Kalau marah pun dia jenis diam sahaja. Lagi satu, Azlin ni jenis yang cukup faham dengan situasi saya bekerja. Dia tak mudah merajuk kalau saya tidak balas Whatsapp atau call kerana dia faham dengan tugas saya yang sentiasa sibuk,” jelas Alha lagi.
BUKAN KERANA HARTA DAN STATUS
Ditebak tentang persoalan Azlin memilih Alha dek kerana status dirinya sekarang. Ini jawapan Alha.
“Kalau nak kata dia memilih saya kerana status saya sekarang itu tidak benar. Azlin kenal saya waktu saya masih belum ada apa-apa. Waktu itu saya masih struggle nak majukan kerjaya dan bisnes saya.
“Dia juga bukan wanita yang mata duitan. Sepanjang kami kenal, dia tidak pernah meminta-minta. Saya masih ingat ketika mula-mula call ibunya untuk serius dan masuk meminang.
“Bila ditanya tentang berapa wang hantaran mak dia hanya cakap, saya hendak ambil Azlin pun dia sudah bersyukur sangat. Nak bagi berapa pun tak apa. Allahu saya rasa syukur sangat kerana masih ada orang yang ikhlas dan tidak memandang kebendaan,”ungkap Alha.
Dalam pada itu, menerusi perbincangan antara kedua-dua keluarga juga, pihak perempuan akan menerima senaskhah al-Quran sebagai hantaran pada majlis akad nikah mereka.
PERKONGSIAN ALHA
Ditanya bagaimana Alha dan Azlin mengukuhkan hubungan sepanjang lima tahun perkenalan sehingga bakal bergelar suami isteri, Alha tidak keberatan berkongsi tip.
1.Ada persefahaman. Faham dengan tugas masing-masing. Apatah lagi kerjaya saya yang sentiasa sibuk dan memerlukan komitmen yang tinggi.
2.Saling mempercayai antara satu sama lain. Ini penting bagi mengelakkan syak wasangka yang akhirnya boleh ‘membunuh’ sebuah perhubungan.
3.Walau sesibuk macam mana sekali pun, jangan sesekali lupa untuk saling berhubung antara satu sama lain. Ini penting bagi memastikan masing-masing rasa diperlukan di samping rasa ‘dekat’ walau pun berjauhan.
4.Jujur antara satu sama lain. Azlin dia suka bercerita dengan saya apa sahaja tentang dirinya. Contohnya kalau keluar makan tiba-tiba ada orang belanja atau tiba-tiba ada orang bagi surat. Semua ini penting bagi mengelakkan salah faham.
5.Perlu ada sifat cemburu tapi cemburu yang berpada-pada. Kalau cemburu buta sampai mengokong itu tidak bagus untuk sesebuah perhubungan.
Sumber kredit gambar: alhaalfa
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI