Ayah Galal, Wanita Berhijab Pertama Jadi Pembaca Berita Di Connecticut, Amerika Syarikat

Share

Kehidupan sebagai seorang wanita Muslim yang berhijab di sebuah negara bukan Islam ada cabarannya tersendiri, terutamanya apabila pihak sekeliling sering menjadikan hijab sebagai satu perkara yang dipertikaikan. Ada yang cuba mengharamkan pemakaiannya dan tidak kurang juga wanita Muslim berhijab diserang gara-gara pilihan mereka untuk menutup aurat.

Namun perkara ini bukanlah halangan buat mereka yang bercita-cita tinggi, kekal dengan iman dan bijak. Seperti yang berlaku kepada wartawan dan penerbit berita bernama Ayah Galal, dia menjadi wanita Muslim berhijab pertama yang tampil di kaca televisyen sebagai pembaca berita di Connecticut, Amerika Syarikat.

Dalam cacatannya yang dimuat naik di laman Instagram, Ayah berkata, ” Hari ini merupakan hari pertama saya membaca berita di @WFSBnews dan ini menandakan kali pertama wanita berhijab sebagai pembaca berita di Connecticut! Saya sangat teruja dengan pencapaian peribadi dan profesional ini.”

Merupakan sorang graduan dari Universiti Quinnipiac, dia mengambil jurusan kewartawanan dan sains politik. Laporan dan penceritaan video beliau telah diiktiraf oleh Persatuan Wartawan Profesional Connecticut dan Anugerah Media Kolej Pinnacle. Ayah juga menerima Anugerah Pencapaian Akademik Persatuan Alumni universitinya kerana memperoleh kedudukan skolastik tertinggi dalam kelasnya.

Kini bekerja sebagai penerbit berita di WTNH News 8 yang merupakan sekutu ABC di New Haven, Connecticut. Sebagai penerbit, Ayah menyelia penulisan, penerbitan dan masa siaran berita. Kebanyakan pengalamannya adalah dalam menghasilkan siaran berita jam 6 petang, 10 malam dan 11 malam untuk News 8.

 

Dalam temubual bersama CT Insider, dia berkata, “Saya takut disebabkan hijab, tiada stesen berita akan menerima saya untuk jawatan yang memerlukan saya bersiaran ke udara, jadi itulah sebabnya saya pada mulanya mengambil jawatan di belakang tabir, tetapi rakan sekerja saya mendesak saya untuk melakukannya.”

Menyifatkan sokongan rakan-rakan sebagai satu peniup semangat, wanita anggun ini berkongsi tentang hal tersebut,”Sepanjang perjalanan saya, saya mempunyai keraguan tentang bagaimana untuk menembusi industri, terutamanya sebagai seseorang yang memakai hijab, tetapi mujurlah, saya mempunyai rakan sekerja yang sangat menyokong yang telah menggalakkan saya sepanjang perjalanan karier.”

Kredit foto: Instagram Ayah Galal

+++ Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

 

 

Published by
Fiezreen