Malam tadi, bekas pengacara rancangan 999, Zakiah Anas telah membuat kemunculan khas sebagai penyampai berita Buletin Utama di TV3.
Penampilan istimewa personaliti televisyen berusia 55 tahun itu bersama 11 lagi bekas penyampai TV3 adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun ke 38 stesen berkenaan yang akan diraikan pada 1 Jun ini.
Tetap anggun seperti dahulu, kemunculan Zakiah yang telah digandingkan bersama rakan penyampai Khairul Rizuan Azizan mendapat perhatian ramai terutamanya daripada peminatnya yang rindu dengan kehadirannya di kaca televisyen.
Di ruangan komen di Instagramnya, ramai yang menitipkan rasa rindu dan teruja dengan kemunculan istimewanya ini yang disifatkan sesuatu yang telah lama dinantikan oleh para peminatnya.
“Dari dulu sampai sekarang cantik sangat..dah bertudung iras Ziana Zain pun ada.
“Their calmness n aura tu another level… taji masih tak tumpul..please bring back the seniors…
“Meremang bulu roma saya cara cakap tak ubah macam dulu. Susunan ayat sebutir sebutir,” antara komen di instagram.
Buat pengetahuan semua, Zakiah merupakan penyampai Buletin Utama pada tahun 1993 hinggalah tahun 2001.
Selain itu, beliau juga merupakan bekas pengacara rancangan 999, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini, Majalah 3 & Bincang Petang di saluran TV3.