Arwah Suami Antara ‘Pendorong’, Jentik Hati Salamiah Untuk Berhijab!

Share

Biduanita, Salamiah Hassan yang enggan membicarakan tentang perjalanan hijrah yang dimilikinya, sebaik sahaja mengumumkan tentang khabar baik berkenaan, kini mengakui bahawa salah satu faktor dia terbuka hati mengambil keputusan menutup aurat adalah diatas dorongan Allahyarham suaminya, Gery Hughes.

Terdahulu, penyanyi veteran berusia 72 tahun itu telah mendapat hidayah untuk mengenakan hijab dan menutup aurat sepenuhnya sejak Mac lalu.

Salamiah Berhijab Atas Kemahuan Sendiri, Arwah Suami Antara ‘Pendorong’ Utama

Tegas Salamiah, keputusan berkenaan dibuat atas kerelaan hatinya sendiri, tanpa sebarang paksaan oleh sesiapa pun.

“Saya berhijab bukan kerana sesiapa tetapi kerana Allah SWT dan arwah pun pernah suruh. Sebelum ini saya sering mewarnakan rambut kerana ingin menutup uban-uban halus yang tumbuh. Apabila melihat situasi itu, arwah bertanya kenapa tidak berhijab untuk menutup uban.

“Imbas kembali perbualan itu, arwah turut memuji anak saudara saya yang bertudung kerana dilihat cantik dan manis. Saya menegaskan kaum wanita bertudung bukan untuk menutup uban sebaliknya atas tuntutan agama.

“Namun arwah menjelaskan kenapa tidak bertudung untuk menutup aurat dan dalam masa yang sama sembunyikan uban,” katanya lapor sebuah akhbar tempatan.

Rasa Sedih Kehilangan Suami Masih ‘Berbekas’ Di Hati!

Mengulas berhubung perkembangan terbaharunya, Salamiah berkata, perasaan sedih kehilangan suami masih berbekas dihatinya. Meskipun terpaksa kuat untuk meneruskan kehidupan tanpa suami tercinta dan menerima ketentuan yang maha esa.

“Saya sudah berjanji dengan diri untuk tidak menangis apabila berbicara mengenai arwah. Saya harus kuat dan bangkit meneruskan hidup.

“Jika bercerita mengenai arwah banyak kenangan yang kami kongsikan bersama. Sebagai saudara baru dalam Islam, arwah membaca Al-Quran dan penterjemahan dalam Bahasa Inggeris, malah dia juga turut merujuk kepada saya setiap kali membaca,” kata Salamiah mengimbau kenangan bersama Arwah Gery.

Artikel Berkaitan: Lalui Fasa ‘Pra Menopaus’ Pernah Tertekan Dan Sunyi, Tak Halang Atilia Bahagia Dengan Cara Sendiri!

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini

Published by
Haifa Nasir