Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Sudah terang lagi bersuluh, andai kebaikan yang diamalkan, maka kebaikan jualah yang mengakhiri perjalanan hidup kita.
Sehingga kini, pemergian Allahyarhamah Adibah Noor, 52, meninggalkan kesan kepada orang ramai. Malah, berita tentang kebaikannya mula menghiasi ruangan laman sosial yang tidak pernah diceritakan sebelum ini. Ternyata, kebaikannya penuh dengan sejuta keikhlasan.
Antara individu yang turut berkongsikan tentang kebaikan penyanyi lagu Terlalu Istimewa ini ialah seorang pengamal media yang dikenali sebagai Opie Sofia. Menurut Opie, arwah merupakan seorang yang murah hati dan sentiasa membantu kenalan rapatnya. Seperti Opie sendiri, arwah membantunya untuk memudahkan urusannya menunaikan ibadah umrahnya yang lalu.
Kongsi Opie, semuanya bermula apabila dia bekerjasama dengan arwah untuk menghasilkan penulisan lirik bagi sebuah lagu ciptaan Azlan Abu Hassan, ‘Bahasa Rindu’. Dalam proses menghasilkan penulisan lirik itu, arwah tidak menyatakan jumlah yang ingin dibayar kepada Opie.
Namun, apabila arwah mengetahui bahawa Opie sedang mengumpul wang simpanan untuk menjalankan ibadah umrah, arwah terus masukkan sejumlah wang yang mencukupkan tabungannya untuk mengerjakan ibadah umrah pada sembilan tahun yang lalu.
Sebaik sahaja mengetahui saya sedang mengumpul wang untuk menunaikan umrah, tiba-tiba arwah masukkan wang yang mencukupkan tabungan saya.
Allahyarhamah Adibah Noor juga turut dikenai sebagai seorang pencinta kucing. Memiliki lebih 40 ekor kucing, pihak pusat pelindungan haiwan, Anugerah Mahligai Arah Nasib Abadi Haiwan (AMANAH) memikul amanah dan tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan tinggalan pelakon yang pernah dikenali dengan watak Kak Yam menerusi filem Sepet pada tahun 2005 arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.
Adibah atau nama sebenar, Adibah Noor Mohamed Omar menghidapi penyakit kanser ovari Tahap 4. Arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.40 petang Sabtu di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Sumber: BOOM!
Sumber gambar: Instagram Adibah Noor & Opie Sofia
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.