Riak adakalanya hadir dalam keadaan yang bercampur-baur seperti beribadah kerana Allah, tetapi dalam masa yang sama terselit kemahuan untuk dihargai dan dipandang oleh manusia.
Banyak saluran merealisasikan sifat riak dalam amalan. Sebagai contoh, Contohnya, solat dengan niat untuk dikenali dan dilihat sebagai hamba Allah yang abid dan kuat beribadah. Kala membaca al-Quran, suara yang sedap lunak dan elok bacaannya. Menjadi qari yang disanjung, kemudian hanyut dengan pujian. Itu juga riak.
Berikut perkongsian dan kupasan daripada Ustazah Noor Laila Aniza Binti Zakaria
Sebahagian kisah ‘Perihal Riak’ yang kita rasa kita tidak terkena walhal kita mungkin sedang melakukannya. Baca perlahan-lahan dan berulang untuk dapat kefahaman. Riak adalah melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu bukan kerana Allah.
Buat sesuatu/tinggalkan sesuatu (untuk menunjukkan diri kita tidak suka menunjuk-nunjuk atau tidak suka riak) juga termasuk dalam perbuatan riak. Eh, macam mana itu yer? Allahu Akbar. Begitulah halus jarum Iblis.
Al Qadhi Iyadh dalam Faid Al Qadhir menyebutkan sifat riak itu termasuk dalam dalil kebodohan, tanda buruknya amalan dan buruknya pandangan. Misalnya satu orang yang tidak suka memakai pakaian yang cantik-cantik dan mewah untuk menunjukkan kepada orang lain, bahawa dirinya tidak suka bermegah padahal dia orang-orang yang berharta, adalah termasuk perbuatan Riak.
Point utama di sini, ‘menunjukkan kepada orang bahawasanya dia tidak suka bermegah’. Sifat DIA TIDAK SUKA BERMEGAH itu pun, bila dia mahu buktikan kepada orang, maka itulah RIAK.
Tak perlu buktikan pada sesiapa pun bahawa dirinya tak suka menunjuk-nunjuk. Misalnya juga, satu orang yang ingin bersedekah RM100 tetapi sebab ada kawannya bersama, maka dia tinggalkan sedekah untuk tujuan menjaga hatinya supaya tidak menunjuk-nunjuk pada kawannya.
Biarlah nanti-nanti di belakang kawannya dia bersedekah. Lalu dia menunda kebaikan itu kerana kawannya tadi. Maka itu juga dikira riak. Sifat menunda-nunda kebaikan kerana kawan, itulah riak. Sedang Allah berfirman untuk bersegera dalam kebaikan semata-mata kerana Allah.
Inilah ikhlas. Kerana itu ikhlas hal yang paling tinggi dan teratas kerana seringkali riak akan mengambil tempat. Riak itu bukan sekadar menunjukkan harta dengan tujuan berbangga-bangga tetapi juga menunjukkan diri seolah-olah ‘zuhud’ , tidak berhajat kepada harta, supaya dipandang oleh manusia dengan pandangan begitu merendah diri, itu juga dikira riak.
Bila dia tidak perlu kepada pandangan manusia untuk melakukan amal-amal solehnya. Bila dia tidak perlu buat atau tinggalkan sesuatu kerana manusia. Pakai apa sahaja kerana Allah tetapi tidak sehingga mengundang fitnah.
Pakai juga mewah berjenama, bergaya asal patuh syariah atau sederhana kemas bersih, tetap patuh syariah sebagai tanda syukur atas nikmat Allah. Maka tidak ada dosa bahkan menjadi kecintaan Allah.
Apa sahaja kerana Allah. Dan Allah itu cantik. Tidaklah sesuatu yang mulia memakai pakaian-pakaian lusuh dan buruk, atau koyak sedangkan mampu, untuk menunjukkan bahawa dia zuhud, cukup apa yang ada, sedangkan dia kaya berharta.
Zuhud itu di hati bukan di pakaian. Jika Zuhud itu di pakaian, binatang seumpama kambing, lagilah lebih-lebih zuhud. Kerana langsung tidak perlu berpakaian.
Zuhud itu bukan pada pakaian. Kerana ramai orang berpakaian ala kadar, sederhana tidak menunjuk-nunjuk, tetapi nafsunya besar di dalam. Serakahnya dan sakit matanya melihat orang lain seolah-olah menunjuk-nunjuk walhal dia merasakan diri dia yang betul kerana tidak suka menunjuk-nunjuk.
Sesungguhnya hendaklah dia menzahirkan nikmat yang Allah beri pada dirinya dengan penuh takzim dan syukur lalu dia terlihat seperti orang yang ‘ memiliki’ agar orang-orang boleh meminta sesuatu darinya.
Hendaklah dia suka memberi bukan sahaja sedekah kepada orang jauh atau orang susah tetapi melazimi memberi hadiah dalam keluarganya sendiri, suami isteri, anak-anak, menantu, cucu, kerana memberi hadiah ini tanda syukur dan ia merupakan bahagian dari perintah Nabi untuk menjinakkan hati dalam berkasih syg dan Nabi amat-amat suka memberi dan menerima hadiah.
Begitu juga berapa ramai manusia tinggalkan solat atau lengahkan solat atau berhajat qadhokan solat atas sebab manusia lain dan urusan lain yang tidak mendesak pun yakni melibatkan nyawa (jika melibatkan nyawa sekali pun, ada kaedah tertentu untuk solat).
Utamakan solat dan segera dalam solat. Lebih banyak nikmat, lebih banyak syukur. Lebih banyak taat. Lebih banyak takut Allah. Lebih banyak mengajak manusia kepada kebaikan. Lebih banyak tinggalkan apa kata orang, tinggalkan apa pandangan orang. Tetapi terus kepada apa pandangan Allah terhadapku.
Sesungguhnya Allah itu Maha Kaya. Dan Allah itu Maha Pemurah. Maka jadilah orang-orang kaya yang pemurah hati terutama pada anak-anak cucu, ibu ayah, adik beradik dan anak menantu. Dan janganlah menjadi orang-orang kaya yang membesarkan pandangan manusia di dalam hati. Juga jangan menjadi orang-orang kaya yang sombong merasa diri lebih bagus.
Serta jadilah orang-orang yang bersederhana atau orang-orang miskin, yang hatinya besar. Tetap suka memberi yang termampu dengan penuh syukur dan hanya berharap pandangan Allah terhadapnya. Juga tidak sombong dan menganggap orang kaya itu buruk bila mereka tidak mahu memberi.
Sumber kredit: Ustazah Noor Laila Aniza Binti Zakaria Top image: Photo by robert-nagy from Pexels.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.