Sebelum ini penyertaan gadis ini dalam pertandingan ratu cantik mengejutkan ramai. Maklumlah dirinya yang berhijab tetapi cukup berani menyertai pertandingan sedemikian. Siapa sangka dengan keazaman yang tinggi membolehkan Nurul Zuriantie Shamsul , 21 tahun, mengharumkan nama negara apabila menduduki tempat kelima dalam pertandingan Ratu Cantik Miss Universe New Zealand 2018. Tampil cukup anggun dengan dress labuh rona emas perincian batuan manik yang diserikan dengan hijab juga rona sedondon.
Malah solekan mantap juga menyerikan lagi penampilan gadis manis ini yang telah berpindah ke New Zealand bersama keluarga ketika berusia lima tahun.
Nurul yang merupakan anak kelahiran Ampang Selangor memberitahu saat paling indah dalam pertandingan berkenaan adalah apabila melihat kedua-dua ibu bapanya yang penuh rasa bangga melihat dirinya diumumkan sebagai lima finalis teratas.
Mengakui tidak kecewa dengan keputusan itu sebaliknya terharu dengan apabila diumumkan sebagai salah seorang daripada Top 5.
Malah pelajar tahun akhir jurusan Psikologi di Universiti of Waikato New Zealand ini turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokongnya sepanjang menyertai pertandingan berkenaan.
“Alhamdulillah untuk tempat kelima ini. Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong saya. Ia tidak berlaku tanpa kasih sayang dan sokongan anda. Ia begitu bermakna untuk saya.
Artikel Berkaitan: Pelajar Melayu Berhijab Sertai Pertandingan Ratu Cantik
“Ini hanyalah permulaan dan saya tidak sabar untuk apa yang Allah telah rancang untuk saya. Hari ini juga hari ulang tahun ke-21 saya dan saya akan meneruskan fasa kehidupan seterusnya,” katanya dalam satu catatan di laman Instagramnya.
Dia juga berkata sentiasa bersikap tenang, tidak gugup dan berpusa hati sepanjang acara akhir itu berlangsung.
Sebelum ini dia berjaya menjadi antara 20 finalis yang mara ke peringkat akhir pertandingan berkenaan. Disiarkan secara langsung Sabtu malam waktu Malaysia melalui laman sosial facebook Miss Universe New Zealand.
Nurul juga mencatat sejarah apabila menjadi satu-satunya peserta Asia beragama Islam dan bertudung yang berjaya mara ke pentas akhir pertandingan ratu cantik itu di New Zealand.
Sementara itu, peserta berusia 27 tahun, Estelle Curd dimahkotakan sebagai pemenang Miss Universe New Zealand 2018, sekali gus mewakili negara itu bagi pertandingan Miss Universe ke-67 yang bakal berlangsung di Bangkok, akhir tahun ini.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM NURUL ZURIANTE