Anak terasa hati dengan mak? Bolehkah seorang anak memusuhi ibunya? Ini perkongsian penuh makna dari Ustazah Norhafizah Musa.
“Kita sebagai anak jangan sesekali bermusuh. Saya berpegang kaedah ini. Kadang-kadang sebagai ibu, sebagai anak, kita mudah berasa hati. Ada mak cepat terasa hati dengan anak, ada anak berasa hati dengan mak. Tapi jangan dibiarkan. Jangan dibiarkan larut dalam rasa sakit, rasa terluka.
“Kadang-kadang suami terluka dengan isteri. Isteri terluka dengan suami. Bagi ustazah ia adalah perasaan-perasaan yang akan menjerat, yang akan menyempitkan kehidupan kita. Jadi apa kita nak buat? Kita keluar daripada perasaan itu. Kita jangan layan. Dunia ini luas. Banyak lagi tempat yang kita boleh pandang, sudut pandang yang kita boleh pandang.
Perasaan itu sebenarnya tidak baik untuk anak dan juga ibu. Maka sebab itulah perasaan itu harus dibuang jauh-jauh.
“Jadi caranya macam mana? Amalkan doa ini.
Allahummagh firlana warhamna watub alaina.
Maksudnya: Ya Allah. Ampunkanlah kami. Kasihanilah kami. Dan terimalah taubat kami.
“Senang. Minta ampun terus. Untuk kita dan anak kita. Untuk kita dengan orang yang kita terluka. Sebab dia pun buat salah, kita pun buat salah. Dan kasihanilah kami, kasihanilah dia kerana dia telah menyakitkan hati saya. Kasihanilah sebab saya terasa hati dengan dia.
“Kita sama-sama perlu dikasihani oleh Allah. (Watubalaina) dan terimalah taubat kami. Bukan maksud terima taubat, tetapi maksud terima taubat ini adalah kita berharap agar Allah memperbaiki diri kita semula. Anak kita sakitkan hati kita, mudah-mudahan Allah baiki dia. Kita sakitkan hati suami kita, mudah-mudahan Allah perbaiki kita.
“Jadi bila kita baca doa ini, alhamdulillah, tidak panjang, tidak melarat-larat, kecil hati sampai hendak bermusuh. Cepat ingat pada Allah. Amalkan doa ini.
Sumber kredit: Instagram Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa