Mewah, bahagia melihat momen anak perempuan jutawan kosmetik Dnars Skincare bertunang, cantiknya dress dan pelamin Dnar ala Morocco!
Bersatu hati dalam satu majlis, ikatan pertunangan tanda janji yang manis. Mengintai kemeriahan majlis bertunang Irdina Hakim Jasman atau Dnar, terserlah riak wajah gembiranya menjelang hari bahagia yang berlangsung pada Jumaat, 11 Oktober 2024.
Bertempat di kediaman ibu, Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan, seluruh suasana mahligai itu bertukar wajah.
Selain dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat, majlis bertunang dan menyarung cincin ini dihias indah dengan panel kerawang ukiran kayu bercorakkan Timur Tengah dan bunga-bungaan putih.
Bahagianya melihat momen anak perempuan jutawan kosmetik Dnars Skincare bertunang, cantik dress dan pelamin Dnar ala Morocco!
Persis majlis perkahwinan sebenar, perunding majlis Irdina bijak menghias pelamin mengikut permintaan Dnar.
“Pelamin Dnar pilih ni ialah Morocco Style jadi takde yang dah ready untuk barang-barang ni sebab jarang orang buat.
Tapi Dnar request dengan Awie D Pesona Bridal dan mereka custom semua termasuk ukiran. Semua Dnar serahkan kepada mereka cuma maklumkan tema dan warna.
Dnar dan pasangan bayar RM6,000 saja untuk pelamin ni sebab kami dah ada baju dan buat mekap sendiri. Sebenarnya pelamin ni sesuai untuk kahwin tau, cantik dan eksklusif,” kongsi Dnar sambil mempelawa bakal pengantin di sekitar Kelantan mendapatkan pelamin yang sama pada harga RM7,500 (pakej penuh).
Namun paling meruntun kenangan, adalah sekeping gambar Dnar disamping Allahyarhamah ibu tercinta yang dibingkai kemas berdekatan pelamin.
‘And I always need you till my last breath when I’m getting older.’
Ringkas tulisan Dnar menggambarkan rindu yang tertahan. Sebagai anak kedua dan anak perempuan sulung dalam keluarga, beliau diuji kehilangan figura seorang ibu ketika usia baru mencecah belasan tahun.
Kini berusia 21 tahun, Dnar bangkit daripada kesedihan menyambung legasi jenama kosmetik Dnars tinggalan Allahyarhamah Faziani Rohban. Pengasas hebat itu meninggal dunia pada Mei 2019 akibat nahas kemalangan jalan raya.
Memiliki raut wajah yang saling tak tumpah seperti ibu tersayang, adik kepada Iqbal Hakim itu aktif berniaga menggunakan platform media sosial.
Mengimbau kenangan sewaktu Allahyarhamah ibunya menjadi penghias kulit depan Majalah Nona edisi Mei 2016, mendedahkan nama jenama kosmetik Dnars dipilih bersempena singkatan nama Irdina sendiri.
JELITA
Mengikat tali pertunangan selama 6 bulan, majlis pernikahan Dnar dan pasangannya dijangka berlangsung pada April 2025.
Sempena majlis pertunangan, Dnar memilih sepasang dress labuh rona krim dengan sulaman emas rekaan pereka fesyen Kashfi Zulkufli. Wajah ayunya di tatarias oleh jurusolek artis, Amy Hana bertemakan Arabic look, menyempurnakan tema majlis dengan konsep serupa.
Semoga bahagia mengiringi kedua-dua bakal mempelai. Adat berdarah manis, bersabarlah meniti pelbagai ujian semoga ikatan jodoh berpanjangan hingga ke jenjang pelamin. Tahniah Dnar!
Artikel berkaitan: https://www.hijabista.com.my/3-dekad-bergelar-penyanyi-datuk-nora-ariffin-adakan-konsert-solo-disember-ini/
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI